(grafik: Wikipedia)

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dipimpin oleh penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sejak tahun 2020, muncul sebagai gabungan parti politik terbesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, tetapi kerusi yang dimenangi masih tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan secara sendiri. Pakatan Harapan (PH), komponen terbesar dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, hanya memenangi 1 kerusi, dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menguasai 6 kerusi sebelum pembubaran DUN Sabah kalah di kesemua 8 kawasan yang ditandinginya.

PRN Sabah ke-17 telah diadakan pada 29 November 2025. Kira-kira 1.1 juta orang atau 64.35% pengundi yang berdaftar keluar mengundi dalam PRN Sabah kali ini. Sebanyak 596 orang calon telah bertanding untuk 73 kerusi DUN Sabah. Hanya WARISAN yang meletakkan calon di semua kawasan DUN, sementara GRS bertanding untuk 55 kerusi, Barisan Nasional (BN) bertanding untuk 45 kerusi dan PH bertanding untuk 22 kerusi. Semua kawasan DUN menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya 4 penjuru. Sebanyak 13 kerusi mengalami pertandingan 6 penjuru, 10 kerusi menyaksikan pertandingan 7 penjuru, 10 kerusi lagi menghadapi pertandingan 9 penjuru, 9 kerusi mengalami pertandingan 10 penjuru, 8 kerusi mengalami pertandingan 5 penjuru, 9 kerusi lagi mengalami pertandingan 8 penjuru, 6 kerusi mengalami pertandingan 11 penjuru, 4 kerusi mengalami pertandingan 13 penjuru, 2 kerusi mengalami pertandingan 4 penjuru, 2 kerusi lagi mengalami pertandingan 12 penjuru, dan terdapat satu kerusi ditandingi oleh 14 orang calon.

GRS telah berjaya memenangi sebanyak 29 kerusi, sekali menjadikannya gabungan parti politik yang terbesar dalam DUN Sabah. WARISAN pula menjadi parti tunggal yang memenangi kerusi terbanyak selepas menawan sebanyak 25 kerusi. BN memenangi 6 kerusi dengan semuanya calon UMNO. Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memenangi 3 kerusi; Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula memenangi 2 kerusi. PH, PN dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing memenangi 1 kerusi.

Satu-satunya calon PH yang menang ialah calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kekalahan teruk DAP di Sabah merupakan satu tamparan hebat, bukan sahaja kepada DAP, tetapi kepada PH yang merupakan komponen terbesar dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bergabung dalam PN berjaya memenangi kerusi DUN Sabah buat pertama kali. Selain itu, 5 orang calon bebas menang dalam PRN Sabah kali ini.

Walaupun keputusan PRN Sabah kali ini mewujudkan keadaan dewan perundangan tergantung, Hajiji masih dapat mempertahankan jawatan Ketua Menteri Sabah buat penggal kedua, apabila GRS yang gagal memenangi kerusi majoriti dikatakan sudah mendapat sokongan daripada 5 orang ADUN bebas, 3 orang ADUN UPKO, 2 orang ADUN STAR dan seorang lagi ADUN PH.

Sehari sebelum hari mengundi PRN Sabah, Albert Tei, seorang ahli perniagaan yang pernah menyerang GRS berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu serbuan di rumahnya. Turut ditangkap pada hari yang sama ialah Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri. Namun, yang ironinya, 8 orang ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah yang melibatkan Albert Tei telah menang dalam PRN Sabah, termasuk Hajiji Noor, Jeffrey Kitingan (penyandang jawatan Ketua Menteri I daripada STAR) dan Joachim Gunsalam (penyandang jawatan Ketua Menteri II daripada Parti Bersatu Sabah yang merupakan parti komponen GRS). Nampaknya kerajaan Sabah yang diterajui oleh GRS akan terus dihantui skandal rasuah yang tidak kehabis-habisan.

Selepas persaingan sengit dalam PRN untuk merebut kekuasaan di Sabah, rakyat Sabah akan terus dibelenggu pelbagai masalah, dari isu sosio-ekonomi, gangguan bekalan elektrik, gangguan bekalan air, hinggalah skandal rasuah yang hanya merugikan rakyat. Sama ada semasa zaman pemerintahan BN, ataupun PH-WARISAN, ataupun GRS hari ini, masalah rakyat Sabah masih berterusan. Sementara itu, golongan elit politik pula terus mempermainkan politik perkauman, xenofobia dan serangan peribadi untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu asas dalam masyarakat. Rakyat di Negeri Di Bawah Bayu masih mencari alternatif politik yang mampu mengubah nasib mereka…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *