KLANG, SELANGOR – 12 NOVEMBER 2025: S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), bersama dua orang lagi ditahan oleh polis pada petang tadi, kerana mereka cuba mempertahankan rumah penduduk Kampung Jalan Papan daripada dirobohkan oleh pihak pemaju.

Hari ini memasuki hari ketiga operasi perobohan rumah di Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor. Syarikat pemaju Melati Ehsan masih terus merobohkan rumah-rumah di situ, termasuk rumah yang masih dihuni oleh penduduk. Kerajaan MADANI yang mentadbir Selangor bukan sahaja gagal menunaikan janji bertahun-tahun dahulu untuk membina rumah kepada penduduk-penduduk, malah terus membiarkan syarikat pemaju menggunakan perintah mahkamah untuk merobohkan rumah penduduk kampung. Walaupun Kerajaan Negeri Selangor berjanji baru-baru ini bahawa hanya rumah kosong tanpa penghuni yang akan dirobohkan, apa yang berlaku sepanjang tiga hari yang lalu ialah rumah-rumah yang masih dihuni oleh penduduk juga dirobohkan.

Aktivis-aktivis daripada PSM dan pelbagai organisasi turut hadir untuk bersolidariti dengan penduduk-penduduk yang nasib mereka tidak diendahkan oleh Kerajaan MADANI. Penduduk-penduduk dan aktivis-aktivis cuba mempertahankan rumah yang masih mempunyai penghuni daripada dirobohkan oleh pihak pemaju. Beberapa orang penduduk telah dikasari oleh pasukan polis.

Tiga orang telah ditahan oleh polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, atas alasan “menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”. Selain Arutchelvan, dua orang yang ditahan ialah Mythreyar, seorang aktivis sosial, dan Logeswaran, seorang penduduk di situ. Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan. Mereka bertiga kemudiannya dibawa ke lokap Balai Polis Pandamaran untuk dikurung semalaman di situ.

“Pemaju nampaknya begitu berkuasa sehingga boleh mengetepikan hasil perbincangan dengan Menteri Besar, sementara Kerajaan MADANI tidak mampu berbuat apa-apa,” kata Arutchelvan apabila menyatakan kekecewaannya terhadap Kerajaan MADANI yang gagal dalam menunaikan janjinya dan menyelesaikan masalah perumahan di Kampung Jalan Papan. “Pemimpin-pemimpin DAP seperti Anthony Loke, Gobind Singh, serta mereka yang memegang jawatan EXCO Kerajaan Negeri dan ADUN pula, langsung tidak menunjukkan keberanian untuk mencampur tangan dan berunding dengan Menteri Besar dan PMX demi melindungi peneroka bandar daripada tekanan pemaju.”

“Tiga Menteri Besar daripada Pakatan Rakyat/Harapan hanya pandai berjanji, tetapi gagal melaksanakan keputusan MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) mereka sendiri,” tambah Arutchelvan.

Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah berulang kali mengemukakan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan untuk menangguhkan perobohan rumah sebelum penempatan semula yang munasabah disediakan, mengadakan rundingan tiga pihak dan melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang menjanjikan pembinaan rumah teres bagi penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. Namun, Kerajaan Negeri Selangor masih gagal mengambil apa-apa tindakan yang bermakna sehingga hari ini.

Orang ramai berhimpun di luar IPD Klang Selatan untuk bersolidariti bersama tiga orang yang ditahan.

Baca selanjutnya tentang latar belakang isu perumahan Kampung Jalan Papan di sini.

One thought on “Arul & 2 orang lagi ditahan kerana pertahankan Kampung Jalan Papan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *