(foto: Gegar)

KUALA LUMPUR – 2 OKTOBER 2025: Dua orang aktivis pro-Palestin yang berprotes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia pada hari ini telah ditahan polis semasa mereka berdemonstrasi bersolidariti bersama Flotila Sumud Global yang sedang dipintas dan diserang oleh rejim Zionis Israel.

Aksi protes yang diadakan pada waktu tengah hari tadi merupakan respon masyarakat Malaysia terhadap tindakan rejim Zionis Israel yang memintas dan menghalang kapal-kapal daripada Flotila Sumud Global daripada menghampiri Gaza. Aktivis-aktivis yang menyertai Flotila Sumud Global, termasuk 12 orang warganegara Malaysia telah diculik dan ditahan oleh tentera Zionis Israel selepas kapal-kapal yang dinaiki mereka dipintas.

Peserta-peserta aksi demonstrasi yang bersolidariti bersama Flotila Sumud Global telah dihalang oleh pihak polis daripada mendekati Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Ketegangan timbul apabila pihak polis bertindak kasar terhadap peserta-peserta demonstrasi. Dua orang demonstran telah dicekup dan ditangkap oleh polis. Salah seorang aktivis yang ditahan ialah Kamal Aarif, seorang ahli Pemuda Sosialis PSM dan anggota Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (GEGAR).

Dua orang aktivis pro-Palestin yang ditangkap polis itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di Jalan Pudu. Orang ramai termasuk aktivis-aktivis PSM berhimpun di luar IPD Wangsa Maju untuk mendesak pihak polis supaya membebaskan aktivis-aktivis pro-Palestin yang ditahan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pihak polis supaya membebaskan segera aktivis-aktivis yang bersolidariti bersama Flotila Sumud Global.

“Penahanan aktivis yang menyokong Palestin merupakan sesuatu yang tidak patut berlaku di bumi Malaysia kerana kerajaan Malaysia sepatutnya menyokong kuat perjuangan Palestin,” kata Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM. “Kerajaan kita seolah-olah terlalu memberi muka kepada Amerika Syarikat kerana menghalang orang ramai daripada berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat. Adalah menjadi hipokrit jika di peringkat antarabangsa kita mengutuk penahanan rakyat Malaysia di perairan Palestin, tetapi rakyat kita di Malaysia pun kena tahan kerana mengangkat isu yang sama.”

**********

Kemas kini jam 9.45 PM:

Dua orang aktivis yang ditahan polis pada waktu petang tadi telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *