Kapal-kapal daripada Flotila Sumud Global yang belayar untuk menembusi sekatan terhadap Semenanjung Gaza mula dipintas dan diserang oleh tentera rejim Zionis Israel pada 1 Oktober 2025. Beberapa buah kapal telah disekat oleh tentera Israel, dengan anak-anak kapal itu dikepung dan ditahan oleh tentera Israel. Tindakan rejim Zionis Israel yang menghalang misi pelayaran kemanusiaan Flotila Sumud Global itu dikecam oleh ramai orang di seluruh dunia.

Flotila Sumud Global ialah sebuah misi pelayaran antarabangsa yang diadakan untuk menembusi sekatan di Semenanjung Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa genosid di Semenanjung Gaza dan mewujudkan sebuah koridor kemanusiaan di kawasan perairan Semenanjung Gaza. Flotila Sumud Global terdiri daripada lebih 40 buah kapal kecil yang mengangkut kira-kira 500 orang daripada pelbagai latar belakang, seperti ahli parlimen, peguam dan aktivis. Kapal-kapal Flotila Sumud Global mula belayar pada bulan Ogos dan September 2025 dari pelbagai arah sebelum berkumpul untuk belayar bersama-sama menuju Gaza. Pernah berlaku beberapa insiden serangan dron ke atas kapal-kapal Flotila Sumud Global sebagai cubaan untuk menghalang kemaraan misi kemanusiaan ini.

Kapal-kapal daripada Flotila Sumud Global telah dipintas oleh kapal perang tentera Israel di kawasan perairan terletak kira-kira 70 batu nautika dari pantai Semenanjung Gaza. Antara aktivis-aktivis terkenal yang ditahan ialah Greta Thunberg, aktivis iklim dari Sweden. Setakat pukul 11.30 am, 2 Oktober 2025, dilaporkan bahawa 12 orang warga Malaysia yang berada di atas 5 buah kapal telah ditahan, sementara 5 orang lagi warga Malaysia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara.

Tidak lama selepas berita tentang Flotila Sumud Global dipintas oleh tentera laut Israel tersebar, tercetusnya gelombang protes secara spontan di Itali. Sebelum ini, pekerja-pekerja Itali telah mengadakan aksi mogok pada bulan September 2025 untuk menyokong Flotila Sumud Global. Aksi protes terbaru berlaku di bandar-bandar di seluruh Itali, termasuk Rom, Milan, Genoa, Bologna, Napoli, Pisa dan sebagainya. Kesatuan-kesatuan pekerja Itali menyeru untuk mengadakan mogok umum demi bersolidariti bersama Palestin. Protes juga berlaku di bandar-bandar negara lain seperti Brussel, Athens, Buenos Aires dan Berlin.

Flotila Sumud Global merupakan salah satu usaha masyarakat sivil antarabangsa untuk menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin. Dalam tempoh hampir dua tahun yang lalu, lebih 80,000 orang telah mati terkorban di Semenanjung Gaza kerana jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Sementara itu, rejim Zionis Israel juga mempergiatkan usahanya untuk mengilhakkan Tebing Barat. Pada ketika tentera laut Israel sedang menghalang Flotila Sumud Global daripada menghampiri Gaza, tentera Israel juga meningkatkan serangan keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Kezaliman rejim Zionis Israel telah dikecam oleh banyak pihak di seluruh dunia, tetapi ia masih dapat meneruskan jenayah genosid itu kerana masih mendapat sokongan padu daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS). Walau bagaimanapun, oleh sebab gelombang protes menentang jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel itu semakin hebat di banyak tempat di dunia, beberapa buah negara yang bersekutu dengan AS mula beralih pendirian mereka baru-baru ini dengan mengiktiraf negara Palestin, termasuk Australia, Britain, Kanada, Perancis dan Sepanyol. Tindakan oleh beberapa buah negara Barat itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang kosmetik, tetapi ia menunjukkan bahawa memang semakin hebat tekanan masyarakat untuk menghentikan genosid di Gaza.

Sekatan terhadap Gaza harus dicabut, dan genosid terhadap rakyat Palestin harus dihentikan segera!

One thought on “Flotila Sumud Global dipintas, diserang dan diculik tentera Israel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *