oleh Bawani KS
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil berat tentang siasatan polis terhadap Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) berhubung kenyataannya yang mencadangkan pemansuhan sistem matrikulasi. Tindakan ini amat membimbangkan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara. Ia juga mencemari semangat MADANI yang sepatutnya menggalakkan wacana sihat, pemikiran kritis dan keterbukaan dalam membina sebuah masyarakat demokratik.
Niat dan aspirasi UMANY membawa cadangan sebegitu adalah ekoran daripada kegagalan sistem yang sedia ada, yang tidak memberi peluang wajar kepada pelajar untuk menceburi bidang yang diminati mereka walaupun telah memperoleh keputusan yang cemerlang.
Kebebasan bersuara adalah asas penting, kerana walaupun pandangan itu salah, ia tetap mampu menajamkan kebenaran apabila diperdebatkan. Kepentingan akal dan dialog merupakan inti pati usaha membina sebuah masyarakat yang adil dan berbudi luhur. Menyekat kritikan adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip demokrasi serta warisan intelektual peradaban manusia.
Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat hanya akan maju apabila rakyatnya bebas menyuarakan pandangan. Menyekat suara rakyat dan menutup ruang perbahasan hanya akan melemahkan asas intelektual masyarakat. Kebebasan bersuara membolehkan sesuatu idea diuji, ditambah baik, dan diperkasakan melalui dialog-walaupun pandangan itu berbeza atau menimbulkan rasa tidak selesa.
Jika Malaysia serius dalam melahirkan generasi pemikir dan inovator, kritikan perlu diraikan bukannya dijenayahkan. Wacana awam tentang dasar pendidikan tidak wajar dianggap sebagai ancaman. Menyiasat pelajar kerana mengemukakan pandangan berbeza hanya akan melahirkan generasi yang taat tetapi tidak berfikir, patuh tetapi tidak inovatif.
Pendekatan terpilih pihak berkuasa juga amat membimbangkan. Terdapat ahli politik yang pernah secara terbuka menyeru pemansuhan sekolah vernakular tanpa berdepan sebarang siasatan, namun pelajar yang mencadangkan reformasi terhadap sistem matrikulasi pula disiasat polis. Sikap dwistandard ini menghakis kepercayaan rakyat terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Menyekat suara anak muda hanya akan melemahkan demokrasi itu sendiri. Sebuah kerajaan yang benar-benar menjunjung nilai MADANI harus melindungi ruang perbahasan terbuka dan meraikan kritikan sebagai sebahagian daripada proses kolektif untuk memperbaiki negara.
==========
Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak.