
oleh K.Kunasekaran
Apabila golongan berkuasa terlepas bebas sementara golongan miskin dihukum, maka kedaulatan undang-undang itu sendiri sedang dipersoalkan.
Pendedahan terkini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, bahawa dua pertiga kes jenayah melibatkan ahli politik dari tahun 2020 hingga Julai 2025 telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA), menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan, kesaksamaan dan prinsip persamaan di sisi undang-undang di Malaysia. Pada pandangan umum, keputusan sebegini hanya mengukuhkan persepsi bahawa undang-undang dilaksanakan secara tidak sama bergantung kepada siapa yang dituduh.
Keadaan ini sangat berbeza dengan layanan terhadap rakyat biasa, yang sering dihukum berat atas kesalahan kecil. Didorong oleh kesempitan hidup sehingga terpaksa mencuri barangan asas seperti telur dan susu, mereka dimasukkan ke penjara selepas mengaku bersalah. Jarang sekali, jika ada, mereka ditawarkan alternatif seperti kompaun atau keadilan restoratif — iaitu pendekatan di mana pesalah mengambil tanggungjawab, membayar ganti rugi, atau membaiki kerosakan yang dilakukan berbanding dipenjarakan. Secara teorinya, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan garis panduan pendakwaan yang mengiktiraf amalan restoratif seperti mediasi, pampasan dan pengalihan kes (diversion), khususnya melibatkan kanak-kanak atau kes kecil. Namun dalam praktiknya, pilihan ini lebih mudah dicapai oleh golongan berada dan berpengaruh, bukannya rakyat biasa.
Pada 20 Ogos 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan pemimpin BERSATU, Adam Radlan Adam Muhammad, daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan projek Jana Wibawa. Keputusan ini dibuat selepas dia membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta dan selepas representasinya diterima oleh Peguam Negara di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Dalam erti kata lain, penyelesaian kewangan menggantikan pertanggungjawaban jenayah.
Sebaliknya, pada 2 September 2025, Mahkamah Sesyen Ipoh mendenda seorang pengarah pasar mini, J. Shanker, sebanyak RM5,000 dan merampas RM485.85 kerana menjual 47 botol minyak masak melebihi harga kawalan. Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. Secara teorinya, dia juga boleh membuat representasi kepada Peguam Negara untuk memohon kompaun atau memulangkan semula keuntungan tersebut. Namun, berbeza dengan kes Adam Radlan, tiada ruang sebegitu dipertimbangkan atau diberikan kepadanya.
Apakah mesej yang disampaikan di sini? Jika anda miskin dan sedang bergelut, seluruh kekuatan undang-undang akan dikenakan ke atas anda. Tetapi jika anda kaya dan mempunyai hubungan politik, sentiasa ada jalan keluar — melalui kompaun, representasi, mekanisme keadilan restoratif, atau klasifikasi NFA.
Memang benar bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara yang luas di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 145(3) memperuntukkan bahawa:
“Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan mengikut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah bumiputera atau mahkamah tentera.”
Perkara ini disokong oleh Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan bahawa:
“Peguam Negara hendaklah menjadi Pendakwa Raya dan hendaklah mempunyai kawalan serta arahan dalam semua pendakwaan jenayah dan prosiding di bawah Kanun ini.”
Kedua-dua peruntukan ini memberikan Peguam Negara kuasa yang amat besar dalam prosiding jenayah. Namun, budi bicara bukanlah kekebalan daripada penelitian. Dalam sebuah demokrasi yang ditadbir berdasarkan kedaulatan undang-undang, kuasa sebegini harus digunakan dengan telus, konsisten, dan bertanggungjawab, terutamanya apabila melibatkan orang kenamaan atau wang kerajaan yang banyak.
Penggunaan budi bicara secara menyeluruh — tanpa penjelasan yang jelas, pendedahan kepada masyarakat awam, atau pengawasan bebas — hanya memperdalamkan keraguan rakyat dan mengukuhkan persepsi kewujudan sistem keadilan dua darjat: satu untuk golongan berkuasa, satu lagi untuk orang kebanyakan.
Dualiti dalam penguatkuasaan ini mencerminkan kegagalan institusi yang dihuraikan oleh Profesor Terence Gomez dalam bukunya Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia. Profesor Gomez menunjukkan bagaimana sistem keadilan Malaysia terikat dengan “kompleks politik–GLC” — rangkaian elit politik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi negara yang terlindung daripada akauntabiliti. Dalam sistem ini, budi bicara dalam hal undang-undang dan kewangan sering menjadi alat keistimewaan, bukannya keadilan.
Kes Jana Wibawa sendiri menjadi contoh jelas: bukannya pendakwaan, sebaliknya representasi dan kompaun berjuta ringgit membersihkan seorang tokoh politik daripada pertuduhan serius. Perlindungan terhadap elit politik bukanlah kebetulan, mengikut hujah Profesor Gomez, tetapi hasil daripada struktur yang sudah lama berakar yang membolehkan rasuah, melemahkan pendakwaan dan meruntuhkan institusi demokrasi.
Keadilan bukan sahaja harus dilaksanakan secara saksama, ia juga harus dilihat dilaksanakan secara saksama.
Profesor Gomez telah mencadangkan reformasi berani, termasuk penubuhan pejabat pendakwa raya bebas, penyahpolitikan entiti berkaitan kerajaan, dan pengurangan drastik kuasa budi bicara menteri dalam hal undang-undang serta kewangan. Tanpa reformasi sebegini, Malaysia berisiko memperkukuhkan lagi sistem keadilan yang fungsinya dua darjat: satu di mana elit menikmati kekebalan, sementara satu lagi di mana rakyat biasa menanggung akibat.
Pendedahan Azalina bahawa dua pertiga kes melibatkan ahli politik berakhir dengan NFA bukan sekadar statistik — ia adalah satu amaran. Jika reformasi struktur tidak dilaksanakan, lebih banyak keputusan ala Jana Wibawa akan terus bertambah, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan Malaysia.
Jika Malaysia benar-benar mahu menegakkan cita-cita keadilan dan demokrasi, maka keadilan tidak boleh sekali-kali dijadikan keistimewaan golongan kaya dan berkuasa. Keadilan tidak boleh tunduk kepada keistimewaan – bukan di Malaysia, bukan di mana-mana.
==========
K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak merangkap Penyelaras PSM Batu Gajah.
