
KUALA LUMPUR – 28 OGOS 2025: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk mengkaji dan menyiasat tindakan pihak berkuasa yang melakukan penahanan serta pendakwaan secara berantai terhadap mangsa penipuan yang identitinya digunakan dalam akaun keldai. Seruan ini dibuat dalam sebuah memorandum yang diserahkan pada hari ini kepada SUHAKAM oleh PSM dan keluarga mangsa penipuan.
Kes yang dibawa dalam memorandum yang ditujukan kepada SUHAKAM ini melibatkan seorang penganggur anak muda yang bernama Einstein Cornelius Herman. Einstein menjadi mangsa penipuan apabila identitinya digunakan sindiket penipuan untuk membuka “akaun keldai”, sehingga dia telah ditahan secara berantai dan berterusan oleh polis di beberapa buah tempat. Penahanan secara berantai ini juga dikenali sebagai “roadshow” atau “tukar gari”.
Akaun keldai ialah akaun bank yang dibuka dengan identiti orang lain dengan tujuan menerima dan mengalihkan wang yang diperoleh melalui aktiviti jenayah seperti penipuan dalam talian. Pemilik akaun keldai juga mangsa penipuan kerana dia telah ditipu untuk membenarkan akaun banknya digunakan bagi tujuan pemindahan wang haram.
Einstein Cornelius Herman, mangsa yang identitinya digunakan untuk akaun keldai dalam kes ini, merupakan seorang anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang giat mencari kerja. Pada bulan Ogos 2024, melalui seorang kawan abangnya, Einstein ditawarkan untuk bekerja dengan seorang individu yang bernama CK dan dia dijanjikan gaji RM2,500 sebulan. Majikan yang bernama CK itu telah mengarahkan Einstein untuk menandatangani dokumen yang digunakan untuk mendaftarkan syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kemudiannya membawa Einstein untuk membuka akaun bank di dua buah bank.
Einstein diarahkan oleh CK untuk membuka tiga akaun di Bank CIMB, sebuah akaun peribadi dan dua buah akaun syarikat, dengan wang yang dibekalkan oleh CK. Einstein juga diarahkan untuk memaklumkan kepada pegawai bank bahawa akaun tersebut dibuka untuk kegunaan syarikat menjual telefon dan peralatan komputer. Dua buah akaun bank syarikat lagi dibuka di Bank Hong Leong atas nama Einstein tetapi tanpa kehadiran Einstein di kaunter bank. Einstein telah dibawa oleh CK ke sebuah restoran untuk berjumpa dengan seorang lelaki yang mengatakan dirinya pegawai bank dari Bank Hong Leong, untuk membuka dua akaun bank tersebut.
Pada awal bulan Oktober 2024, Einstein diarahkan oleh orang yang bernama CK itu untuk menandatangani sebuah perjanjian sewa pejabat di Batu Caves, dengan kad akses pejabat diserahkan kepada CK. Dari bulan Ogos hingga Disember 2024, Einstein diyakinkan oleh CK dan kawan abangnya bahawa dia sedang bekerja untuk CK, dan menerima bayaran gaji secara tunai. Namun, dia telah diperdaya dan tidak sedar bahawa dia telah dipergunakan dalam aktiviti penipuan sehingga dia ditahan oleh polis.
Pada 19 Disember 2024, Einstein pergi ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas polis mengunjungi rumah Einstein untuk mencarinya. Pada ketika itulah baru Einstein menyedari bahawa dia telah ditipu dan dimangsakan.

“Tetapi apa yang menghairankan adalah pegawai penyiasat memberitahu Einstein bahawa kemungkinan besar CK sudah melarikan diri menggunakan laluan tikus dan kereta yang digunakannya adalah kereta sewa,” ulas S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM yang hadir bersama semasa penyerahan memorandum kepada SUHAKAM. “Bagaimana polis boleh memberikan satu jawapan sebegini sebelum melakukan siasatan yang menyeluruh? Nampaknya polis tidak berminat untuk mencari scammer (penipu) yang sebenar, sebaliknya lebih sedia menangkap pemegang akaun keldai seperti Einstein.”
Einstein telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 9 Januari 2025 dan kemudiannya didakwa pada hari yang sama di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan (mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur atau secara fraud). Oleh sebab pegawai penyiasat di IPD Wangsa Maju menyuruh Einstein untuk mengaku salah di mahkamah supaya menyelesaikan kes itu dengan cepat dan tidak menyusahkan semua pihak, Einstein telah mengaku salah dan membayar denda sebanyak RM2,500. Selepas Einstein dibebaskan dari mahkamah, dia dipanggil untuk hadir ke IPD Wangsa Maju, dan ditangkap semula di situ untuk dibawa ke IPD Petaling Jaya. Dengan itu, bermulanya siri penahanan dan pendakwaan secara berantai terhadap Einstein. Selepas itu, Einstein telah ditangkap, direman dan didakwa di Shah Alam, Kajang, Ipoh dan Bukit Mertajam.
Einstein dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 26 Februari 2025. Selain di Kuala Lumpur dan Bukit Mertajam, Einstein juga mempunyai kes yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Mahkamah Majistret Kajang dan Mahkamah Majistret Ipoh.
“Einstein ditahan semata-mata untuk Pegawai Penyiasat menyiasat dan merakam percakapannya. Roadshow ini seolah-olah satu taktik yang mahu menakutkan dan menyusahkan Einstein supaya dia mengaku salah apabila dituduh di mahkamah,” ulas Arutchelvan. “Berdasarkan laporan polis yang telah diserahkan kepada Einstein, pengadu-pengadu telah diperdaya oleh individu yang tidak dikenali. Pengadu-pengadu mengatakan bahawa mereka kehilangan beratus ribu ringgit kerana memindah wang kepada akaun bank syarikat yang berasingan. Soalannya, adakah polis telah menjejaki individu-individu tersebut dengan syarikat telekomunikasi? Dan sekiranya ya, apakah keputusan dan tindakan yang telah diambil? Adakah polis juga menyiasat dengan teliti latar belakang syarikat-syarikat ini dan mengesan individu yang memanipulasikan akaun bank tersebut?”
“Dalam kes Einstein ini, dan seperti juga dalam kebanyakan kes penipuan yang lain, pihak polis terburu-buru untuk menangkap mangsa akaun keldai dan mendakwa mereka di mahkamah demi mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) pihak polis. Dalam usaha berlumba-lumba mencapai KPI, pihak polis gagal melakukan siasatan yang menyeluruh dan menangkap dalang sindiket penipuan,” kata selanjutnya Arutchelvan. “Pegawai-pegawai penyiasat berkenaan telah menyuruh Einstein untuk mengaku salah sebaik sahaja dia ditahan dan disiasat oleh mereka. Bukankah pihak polis seharusnya melakukan siasatan yang lebih mendalam terhadap sindiket penipuan berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Einstein? Sebaliknya, Einstein yang juga merupakan mangsa penipuan pula ditangkap dan didakwa.”
Arutchelvan mengatakan bahawa terdapat banyak pihak terlibat dalam kes ini, seperti individu lain yang terdapat dalam pendaftaran syarikat, pegawai SSM yang meluluskan pendaftaran, pegawai bank yang meluluskan pembukaan akaun bank tanpa kehadiran fizikal Einstein dan sebagainya.
“Einstein ini ditangkap dan dituduh kerana dia sasaran mudah, di mana dia merupakan ‘pemilik’ akaun bank dan namanya didaftarkan sebagai pengarah syarikat yang terlibat,” tambah Arutchelvan. “Einstein hanya mahu bekerja untuk mendapatkan gaji, tetapi dia dimangsakan dan dikenakan gari!”
Memorandum yang diserahkan kepada SUHAKAM itu mengemukakan tuntutan berikut kepada SUHAKAM:
- Mengkaji semula cara pihak polis yang menangkap mangsa penipuan dan bukannya dalang penipuan.
- Menyiasat pendekatan polis yang melakukan penahanan secara berantai (roadshow) terhadap mangsa penipuan.
- Membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara supaya pihak Peguam Negara memberi perhatian kepada kes-kes sebegini dan menghentikan pendakwaan di mahkamah.
- Membawa isu ini kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini, seperti Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Akauntan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).