oleh Muhammad Aiman Bin Md Sees

Realiti sesebuah parti politik yang mahu membawa sesuatu gerakan atau idea secara aman, sah dan demokratik adalah untuk bersaing dalam memenangi sokongan rakyat. Maka, bertanding dalam pilihan raya adalah satu keperluan. Ini perkara asas yang sangat mudah difahami.

Bagi membidas komen para penganalisis yang menganggap usaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning ini sebagai usaha sia-sia dan membuang masa, PSM ingin menujukan fokus ke arah isu sebenar, iaitu sistem undian pemenang undi terbanyak (first-past-the-post).

Para pemerhati politik mungkin beranggapan PSM tersilap langkah, langkah kiri mungkin, sehinggakan masih tidak memperoleh kemenangan kerusi dalam pilihan raya kerana pendirian parti itu bertanding secara solo. Namun, itu adalah kerana kelemahan sistem undian first-past-the-post (FPTP) yang sentiasa memberi kelebihan kepada parti besar dan berpengaruh dan tidak memberi peluang kepada pengundi untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Sistem FPTP ini juga memberi insentif kepada pengundi melihat pilihan mereka sebagai “zero sum game” di mana pilihan yang strategik adalah terhad kepada parti yang boleh menang sahaja, berdasarkan persepsi.

Sebagai contoh, dalam perlawanan tiga penjuru, jika mereka membuang undi kepada parti yang sukar untuk menang, ia hanya akan memecah undi salah satu parti lain. Walaupun ia tidak mencerminkan hasrat sebenar, mereka akan mengundi parti yang dilihat lebih berpotensi menang sebagai cara untuk menewaskan “parti musuh”. Juga wujudnya dilema memilih antara “kemudaratan yang lebih kecil” yang memaksa pengundi untuk memilih antara dua parti besar sahaja.

Apa yang pasti ialah usaha untuk terus bertanding di dalam pilihanr aya bukan satu kesilapan kerana usaha tidak pernah merugikan, sebaliknya satu peluang untuk belajar dan berubah. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Apabila PSM memberi cadangan dan membawa isu-isu tempatan dan nasional kepada perhatian umum, PSM dicemuh, dikatakan tidak layak bersuara kerana PSM tidak memerintah. Akan tetapi, pada musim pilihan raya, usaha PSM untuk menang mandat menjadi wakil rakyat dikatakan membazir masa pula.

Benar, banyak lagi wadah lain untuk meraikan demokrasi di negara kita selain daripada bertanding di pilihan raya. Contohnya melakukan protes, demonstrasi, mengadakan sesi libat urus dengan pihak kerajaan atau menganjurkan program dan wawancara untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.

Namun, pilihan raya tetaplah menjadi wadah terbesar dan satu-satunya jalan untuk parti politik mendapat mandat rakyat secara jelas dan diiktiraf. Selain itu, komen seperti ini telah mengabaikan segala gerak kerja PSM di luar pilihan raya.

PSM dikenali sebagai parti NGO kerana PSM sentiasa membantu dalam kes pelanggaran hak pekerja di Jabatan Tenaga Kerja dan Mahkamah Perusahaan, memperjuangkan hak tanah, perumahan, kebajikan dan melakukan kajian di lapangan seperti 3 kertas kajian melalui Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan yang telah dibentang kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan. Tidak lupa juga kempen seperti Kempen Pencen Warga Emas, Akta Gaji Minimum, Reformasi PERKESO, Skim Insurans Pekerjaan dan sebagainya.

Tiada istilah jimat duit, masa dan tenaga. Semua ruang demokrasi harus digunakan oleh parti politik jika ia benar-benar serius mahu mengubah negara kita ini.

Jika disebut tentang kerjasama dengan gabungan besar khususnya Pakatan Harapan (PH), ingin diingatkan kepada pihak penganalisis bahawa, dalam PRU-15 dahulu, PH telah menolak untuk kerjasama dengan PSM. Maka, apakah yang menjadikan situasi kini berbeza? Jika PSM mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) pula, bermakna PSM akan terpengaruh dengan hala tuju parti lebih besar, dan mungkin harus berkompromi dalam prinsip-prinsip utama parti, seperti menolak politik kaum dan agama, serta menegakkan politik kelas dan ekonomi berlensa sosialisme.

Walau bagaimanapun, PSM tidak akan mengabaikan kemungkinan ini dan jika wujud peluang yang menjamin keutuhan parti dan prinsip perjuangannya, sudah pasti PSM akan bersedia untuk bekerjasama.

Buat masa ini, usaha mewujudkan blok Kuasa Ketiga bersama-sama Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ialah jalan yang terbaik. Hal ini kerana, sudah lama politik kiri dan progresif telah dibayangi gagasan besar sehingga ditenggelami oleh arus status quo.

===========

Muhammad Aiman Bin Md Sees ialah Setiausaha PSM Cawangan Kota Iskandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *