Berikut ialah cadangan yang dikemukakan oleh PSM Pulau Pinang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 14 Februari 2025, semasa Sesi Pendengaran Awam bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan / Takaful, Caj Hospital Swasta Dan Impak Kepada Kesihatan Awam.

==========

oleh Choo Chon Kai

Ringkasan pandangan

Punca asas masalah:

  • Kesihatan dijadikan komoditi yang boleh dijual beli dalam pasaran untuk keuntungan korporat (hospital swasta dan syarikat insurans).
  • Perluasan sektor kesihatan swasta yang bermotifkan keuntungan korporat dan promosi pelancongan kesihatan telah menjejaskan seluruh sistem kesihatan awam di negara kita.

Cadangan kami:

  • Bekukan pembinaan hospital swasta yang baharu.
  • Hentikan promosi pelancongan kesihatan.
  • Tumpukan usaha dalam meningkatkan taraf kesihatan awam untuk SEMUA dengan meningkatkan peruntukan dalam belanjawan kesihatan awam.

********************

Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang mengalu-alukan usaha Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mengadakan Sesi Pendengaran Awam bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan / Takaful, Caj Hospital Swasta Dan Impak Kepada Kesihatan Awam.

Walaupun sesi pendengaran awam ini mungkin lebih memberi perhatian kepada isu-isu mengenai kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta, premium insurans dan impaknya kepada sistem kesihatan awam, kami ingin mengetengahkan isu-isu yang mempengaruhi perkhidmatan kesihatan di negara kita keseluruhan di mana ia adalah saling berkaitan dengan isu-isu yang sedang diteliti oleh PAC.

Kesihatan bukan komoditi

Isu yang paling utama yang hendak kami ketengahkan adalah, nampaknya wujud satu kecenderungan pemikiran dalam kalangan pembuat-pembuat dasar kita dalam beberapa dekad kebelakangan ini yang menganggap kesihatan itu sejenis komoditi yang boleh dijual beli seperti barangan/perkhidmatan lain dan boleh dipasarkan untuk mengaut keuntungan. Pemikiran sebegini telah membawa kepada perluasan sektor kesihatan swasta di negara kita yang berpandukan kepentingan golongan pelabur dalam sektor kesihatan swasta untuk mengaut keuntungan. Akibatnya, sistem kesihatan awam di negara kita semakin terjejas kerana perluasan sektor kesihatan swasta.

Sebagai contoh, salah satu masalah utama yang wujud ialah penghijrahan doktor-doktor pakar dari hospital-hospital awam ke hospital-hospital swasta. Pada masa ini, hanya kira-kira 25% doktor pakar di negara kita berkhidmat di hospital-hospital awam, tetapi hospital-hospital awam di negara kita perlu merawat kira-kira 75% pesakit dalaman. Pengagihan sumber kesihatan yang tidak setara ini menyebabkan masalah-masalah yang menyusahkan rakyat biasa seperti tempoh masa menunggu yang panjang di hospital, kelewatan dalam mendapat diagnosis/rawatan, penurunan kualiti perkhidmatan kerana beban tugasan kakitangan-kakitangan kesihatan awam yang semakin berat, tekanan kepada doktor-doktor yang perlu menangani pesakit-pesakit yang terlalu besar jumlahnya, dan sebagainya.

Kita tidak harus melihat masalah yang dihadapi oleh sektor kesihatan awam itu hanya terhad kepada sektor awam itu sendiri, tetapi ia adalah lebih besar dan berkaitan rapat dengan kewujudan serta pengembangan sektor kesihatan swasta yang bermotifkan keuntungan korporat.

Oleh sebab wujudnya masalah dalam sistem kesihatan awam yang lama tidak diselesaikan, maka sebilangan rakyat yang mempunyai kemampuan membayar, terutamanya golongan T20 dan sebahagian M40 atasan, membeli insurans kesihatan untuk menampung kos rawatan mereka di hospital-hospital swasta. Namun, kebanyakan hospital swasta diwujudkan untuk keuntungan korporat semata-mata, sementara syarikat-syarikat insurans mengaut keuntungan melalui caj premium dan manipulasi penilaian risiko yang sering kali tidak berpihak kepada pembeli-pembeli insurans.

Kesihatan ialah hak asasi manusia yang tidak boleh diniagakan seperti produk-produk lain di pasaran. Semua rakyat, tanpa mengira orang kaya atau orang miskin, sepatutnya boleh mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik dalam sistem kesihatan awam yang dibiayai oleh kerajaan sepenuhnya melalui sistem percukaian progresif. Adalah tanggapan yang salah bahawa hospital awam hanya untuk rakyat miskin yang kurang kemampuan membayar sementara orang kaya yang mampu bayar atau mereka yang mampu membeli insurans patut pergi ke hospital swasta dengan caj penuh dan lebih tinggi. Tanggapan salah sebeginilah yang terus mendorong pertumbuhan sektor kesihatan swasta sehingga menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhan!

Oleh itu, masalah berkaitan dengan kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta dan bayaran premium insurans yang membebankan pembeli-pembeli insurans kesihatan itu harus dilihat secara menyeluruh. Punca asasnya adalah kewujudan sektor kesihatan swasta yang bermotifkan keuntungan itu! Falsafah dan dasar kerajaan yang menganggap kesihatan itu boleh diniagakan pula membolehkan masalah ini terus wujud!

Tangani masalah di puncanya

Kita harus menangani masalah di puncanya, bukan sekadar merawat simptom tanpa mengubati penyakit.

Oleh yang demikian, kami mencadangkan langkah-langkah berikut:

  • Kerajaan harus menghentikan perluasan sektor kesihatan swasta, dengan langkah pertamanya adalah membekukan semua pembinaan hospital swasta yang baharu di negara kita, dan tidak meluluskan lagi penubuhan hospital swasta yang bermotifkan keuntungan.
  • Kerajaan harus menghentikan segala promosi pelancongan kesihatan yang hanya menguntungkan sektor kesihatan swasta.
  • Kerajaan harus meningkatkan belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sektor kesihatan awam daripada 2.3% KDNK sekarang ini kepada 5% KDNK secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun akan datang.
  • Kerajaan harus menumpukan usaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam untuk SEMUA dengan cara-cara seperti membina lebih banyak hospital kerajaan dengan kemudahan lengkap di bandar-bandar utama, menambahkan bilangan kakitangan kesihatan awam, mewujudkan struktur gaji yang setimpal dan keadaan kerja yang lebih baik untuk semua kakitangan kesihatan awam supaya mereka dapat terus berkhidmat dengan bersemangat, dan sebagainya.

Kami berharap PAC dapat meneliti cadangan-cadangan kami supaya kita dapat bersama-sama memelihara dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam di negara kita untuk semua.

(foto: China Press)

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *