(foto: NUTEAIW)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) mengadakan protes di hadapan ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 6 Februari 2025, untuk menggesa KWSP supaya mengambil tindakan terhadap syarakat HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. yang memecat 5 orang pemimpin kesatuan secara tidak adil. Kepimpinan NUTEAIW menyerahkan satu memorandum yang mengandungi tuntutannya kepada wakil KWSP.

Menurut tinjauan NUTEAIW, KWSP merupakan pelabur kedua besar dalam DRB-HICOM Berhad, iaitu syarikat induk HICOM Automotive. KWSP memegang sebanyak 7.684% daripada saham DRB-HICOM dengan nilai RM40 juta.

Kelima-lima orang pemimpin NUTEAIW yang dipecat itu adalah ahli yang mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Sebagai pemegang amanah wang pekerja-pekerja di Malaysia, termasuk wang yang dicarumkan oleh 5 orang pekerja HICOM Automotive yang dipecat, KWSP mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan hak-hak pekerja dan menolak diskriminasi terhadap kesatuan dan pekerja-pekerja.

Menurut Dasar Kesejahteraan Pekerja KWSP yang diterbitkan di laman webnya, KWSP mengiktiraf pelbagai standard antarabangsa termasuk standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia. KWSP juga menyatakan bahawa “kebebasan berpersatuan: hak mengorganisasi dan membentuk pertubuhan majikan dan pertubuhan pekerja untuk perundingan kolektif dan dialog sosial yang baik” adalah salah satu isu penting dalam kesejahteraan pekerja.

NUTEAIW menggesa KWSP supaya mematuhi dasar kesejahteraan pekerja KWSP dengan mendesak DRB-HICOM untuk memulihkan 5 orang pemimpin NUTEAIW kepada jawatan asal mereka bersama pampasan gaji dan faedah. Jika HICOM Automotive gagal buat begitu, KWSP harus menarik balik semua pelaburan daripada DRB-HICOM.

Sumber berita: NUTEAIW 

(foto: NUTEAIW)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *