Kita melangkah masuk ke dalam tahun baharu 2025 dengan pelbagai ancaman dan cabaran yang bukan lagi baharu. Sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa, rakyat bawahan yang terbanyak masih dibelenggu dengan pelbagai masalah. Perjuangan rakyat untuk pembebasan, demokrasi, kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial sudah pasti harus diteruskan. Jika tidak, krisis akan menjadi lebih teruk lagi, dan rakyat biasa yang akan terus menjadi mangsa.

Di Malaysia, selepas dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara kita, rakyat bawahan masih terpaksa menghadapi cabaran kehidupan dengan pendapatan yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi, di samping terus disajikan politik toksik yang dipermainkan oleh golongan elit politik yang memecah-belahkan rakyat demi kepentingan sendiri.

Rakyat Malaysia terus menghadapi 5 ancaman lama menjelang tahun baharu ini:

1. Kehidupan sosioekonomi yang susah dan membebankan

Rakyat biasa yang membanting tulang untuk menjalani kehidupan, masih akan menghadapi masalah ekonomi yang kritikal: gaji kekal rendah tetapi kos sara hidup semakin meningkat. Walaupun kadar gaji minimum bakal dinaikkan kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025 untuk semua pekerja yang diupah oleh majikan yang mengambil kerja 5 orang pekerja atau lebih, ternyata ia masih jauh tidak mencukupi bagi pekerja-pekerja yang sudah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kadar gaji yang rendah memaksa golongan pekerja untuk bekerja dengan masa kerja yang lebih lama ataupun bekerja sambilan untuk menambahkan pendapatan supaya mencukupi untuk menyara hidup mereka dan keluarga mereka. Sudah pasti ini akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat.

Selain gaji rendah, pekerja-pekerja di Malaysia juga menghadapi masalah keterjaminan kerja yang semakin merosot. Perkara ini diburukkan lagi dengan perluasan sektor ekonomi gig, dan penyumberan luar tenaga kerja dalam pelbagai bidang termasuk dalam sektor awam (sebagai contoh, perkhidmatan kawalan keselamatan dan pembersihan di bangunan-bangunan kerajaan seperti hospital dan sekolah).

Kualiti kehidupan rakyat terbanyak dijejaskan lebih lanjut lagi apabila kerajaan masih berpegangan pada fahaman “pasaran bebas” neoliberal dan mengamalkan dasar penswastaan yang menggadaikan hak asasi rakyat kepada sektor swasta yang mengutamakan keuntungan korporat. Keghairahan Kerajaan MADANI dalam mendorong “kerjasama awam swasta” (PPP) dalam sektor-sektor penting seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur, terus menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan asas dengan bayaran yang semakin meningkat, pada masa yang sama terus menguntungkan golongan korporat swasta yang kaya raya. Sudah pasti ini akan melebarkan lagi jurang kekayaan dalam masyarakat kita.

Pembukaan “sayap swasta” dalam hospital kerajaan melalui program seperti “Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh” dan kini dijenamakan semula sebagai “Rakan KKM” merupakan pendekatan yang tidak menyelesaikan masalah pokok (iaitu pengkomoditian dan pengkomersialan kesihatan sehingga menjejaskan seluruh sistem kesihatan awam, di samping peruntukan dana kepada kesihatan awam yang tidak mencukupi), sebaliknya akan terus merosakkan sistem kesihatan awam, dan memangsakan seluruh rakyat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan berkualiti sebagai hak asasi mereka.

Tambahan pula, apabila negara kita melangkah masuk ke dalam “masyarakat menua”, kebanyakan rakyat tidak mempunyai keterjaminan pendapatan pada usia tua mereka kerana tiada pencen sejagat. Pekerja-pekerja formal yang mencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pun tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan usia tua secara bermaruah.

2. Politik perkauman yang memecah-belahkan masyarakat

Politik perkauman sudah merupakan sesuatu yang tidak asing lagi untuk rakyat Malaysia, kerana ahli-ahli politik, sama ada daripada parti pemerintah atau parti pembangkang arus perdana, sering mempergunakannya untuk meraih sokongan dan mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah sosioekonomi yang sebenar. Politik perkauman dan keagamaan yang sempit telah memecah-belahkan rakyat dan mewujudkan ketegangan hubungan antara masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Jadi, politik perkauman dan keagamaan ialah penghalang kepada masyarakat kita terus maju demi kesejahteraan bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang.

3. Ruang kebebasan demokrasi yang dihakis

Banyak dalam kalangan ahli politik yang menyandang jawatan wakil rakyat dan Menteri dalam Kerajaan MADANI, pada satu ketika dahulu, pernah kuat memperjuangkan “Reformasi” untuk memperluaskan ruang demokrasi di negara kita. Namun, selepas orang yang pernah kuat melaungkan slogan “Reformasi” itu menerajui Kerajaan MADANI sejak tahun 2022, pembaharuan politik untuk memperkukuhkan, memperluaskan dan memperdalamkan demokrasi itu nampaknya tidak menuju ke mana-mana, malah ruang demokrasi dikecutkan lagi atas alasan isu-isu “sensitif” yang melibatkan 3R.

Pembaharuan institusi, seperti reformasi sistem pilihan raya, pemansuhan undang-undang zalim dan pembanterasan rasuah, masih kekal sebagai janji yang belum ditepati. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin parti pemerintah yang terlibat dalam skandal rasuah boleh dilepaskan daripada pertuduhan jenayah, sementara undang-undang yang menyekat ruang kebebasan bersuara masih digunakan terhadap aktivis-aktivis sosial yang mempersoalkan kepincangan pentadbiran negara.

4. Krisis iklim yang berbahaya

Negara Malaysia tidak dapat berkecuali daripada krisis iklim yang mengancam seluruh umat manusia di dunia. Namun, nampaknya kerajaan Malaysia terbawa-bawa oleh golongan pelobi korporat dalam merangka strategi untuk menangani krisis iklim.

Terdapat pihak yang cuba mempengaruhi kerajaan Malaysia untuk melaksanakan solusi tenokrat yang sebenarnya solusi palsu dalam menangani krisis alam sekitar. Rancangan kerajaan untuk mendorong pasaran karbon dan pembinaan infrastruktur untuk “penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon” (CCUS), hanya memenuhi kehendak syarikat-syarikat korporat besar untuk memasarkan solusi palsu supaya dapat terus mengaut keuntungan tanpa menawarkan solusi yang sebenar kepada krisis iklim. Syarikat-syarikat korporat yang mencemar alam boleh terus melepaskan karbon yang memburukkan krisis iklim, sementara hutan semula jadi dan wilayah tanah adat masyarakat Orang Asli dijadikan komoditi yang boleh dijual beli untuk keuntungan dalam pasaran karbon.

5. Cengkaman kekuasaan imperialis

Selain daripada 4 ancaman yang disenaraikan di atas, rakyat Malaysia juga terdedah kepada ancaman daripada krisis kapitalis global dan persaingan kuasa-kuasa besar dunia untuk kepentingan geopolitik masing-masing. Jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, perang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, peperangan di Sudan, peperangan di Myanmar dan sebagainya, masih berterusan kerana kuasa-kuasa besar dunia cuba menstrukturkan semula susunan dunia berdasarkan kepentingan ekonomi dan geopolitik elit pemerintah masing-masing tanpa mempedulikan hidup mati rakyat biasa.

Persaingan antara kuasa imperialis Barat yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa memuncul yang cuba melindungi kepentingan elit pemerintah negara masing-masing (seperti Rusia dan China), sedang mewujudkan keadaan geopolitik yang tidak menentu di banyak tempat, termasuk rantau Asia-Pasifik. Kuasa-kuasa imperialis besar akan cuba memaksa negara-negara sedang membangun di Dunia Ketiga untuk menyebelahi pihak mereka dalam persaingan geopolitik yang sengit. Adalah penting untuk negara Dunia Ketiga seperti Malaysia membina kapasiti sosioekonomi sendiri supaya tidak terlalu bergantung pada mana-mana kuasa besar asing, di samping memupuk solidariti yang lebih erat dalam kalangan negara-negara serantau dan Dunia Ketiga supaya tidak diheret ke dalam konflik antara kuasa besar dunia yang tidak akan memanfaatkan rakyat bawahan.

Kita harus terus perjuangkan alternatif yang progresif

Untuk menghadapi dan menangani ancaman-ancaman yang berterusan terhadap rakyat terbanyak, kita harus terus berusaha untuk membina gerakan rakyat dari bawah dan politik alternatif yang progresif, berlandaskan idea-idea berikut:

  • Pengagihan semula kekayaan masyarakat melalui pelaksanaan dasar yang memperkukuhkan sistem perkhidmatan awam (seperti kesihatan, pendidikan dan sebagainya) dan perlindungan sosial yang menyeluruh (seperti pencen warga emas sejagat dan sebagainya), dengan pendanaan daripada sistem percukaian progresif yang memastikan golongan mahakaya benar-benar membayar cukai yang sewajarnya.
  • Menolak segala politik perkauman dengan membina gerakan rakyat yang merentasi batasan etnik dan agama untuk memperjuangkan isu-isu bersama seperti gaji layak sara hidup, keterjaminan kerja, sistem kesihatan awam yang lebih baik, tadbir urus negara yang lebih baik, dan sebagainya.
  • Ruang demokrasi yang lebih meluas dan mendalam supaya rakyat biasa dalam melibatkan diri dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupan harian. Demokrasi politik harus diperluaskan ke peringkat akar umbi, termasuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan.
  • Pelaksanaan dasar-dasar dan langkah-langkah perlindungan alam sekitar yang bebas daripada pengaruh kepentingan korporat. Kerajaan harus melibatkan semua golongan masyarakat secara demokratik dalam usaha menangani krisis iklim, di samping mendorong usaha sebenar untuk peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, penambahbaikan sistem pengangukutan awam, pemuliharaan serta pemeliharaan hutan, dan perkara-perkara lain yang menjamin pembangunan lestari.
  • Dasar hubungan antarabangsa yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati dan bersolidariti demi kesejahteraan bersama seluruh rakyat. Sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025, kerajaan Malaysia mempunyai peranan untuk mendorong pembentukan dasar serantau yang pro-marhaen. Kerajaan-kerajaan negara di peringkat rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia harus bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran yang merentasi sempadan negara, seperti krisis iklim, ketidakadilan sosial, peperangan, krisis pelarian dan sebagainya. Kita juga harus tegas untuk memutuskan segala sokongan (seperti kewangan dan persenjataan) kepada mana-mana rejim pemerintahan yang bersifat agresif, melancarkan perang terhadap negara lain dan melakukan jenayah genosid terhadap sesebuah masyarakat.

Untuk merealisasikan alternatif yang progresif demi mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar bebas, demokratik, saksama, adil dan sejahtera, kita harus terus membina kuasa rakyat dari bawah. Tiadanya jalan pintas untuk kita menangani cabaran-cabaran hebat pada hari ini. Perubahan yang menyeluruh tidak akan datang sendiri secara tiba-tiba, ia hanya berlaku dengan adanya usaha perjuangan yang penuh ikhlas, gigih, cekal, berani, sabar, konsisten dan bersungguh-sungguh.  

Selamat tahun baharu dan terus berjuang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *