(Berikut ialah kertas kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Sosialisme 2024 pada 1 Disember 2024.)
oleh Suresh Balasubramaniam
Pengenalan
Pembentukan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan November 2022 telah membawa serba sedikit harapan kepada rakyat Malaysia, selepas tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari 2020. Harapan pada Kerajaan MADANI juga dapat dilihat dalam kalangan masyarakat sivil, walaupun mungkin tidak setinggi berbanding tahun 2018.
Pada tahun 2018, selepas kemenangan Pakatan Harapan pada bulan Mei 2018, masyarakat sivil bergabung untuk membentuk “CSO Platform for Reform” dengan hasrat membawa perubahan kepada Malaysia, termasuk dengan pembentukan Kluster Alam Sekitar dan Kluster Orang Asli/Asal. Saya percaya bahawa perubahan yang cuba dibawa adalah “dari atas ke bawah” (top-down) di mana kluster-kluster ini akan cuba melobi ahli-ahli yang memegang kuasa dalam badan perundangan dan badan eksekutif.
Kini Kerajaan MADANI sudah berusia dua tahun. Bagaimanakah pencapaiannya dalam isu alam sekitar dan Orang Asli/Asal? Adakah dengan mempunyai seorang Menteri yang baharu di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), telah memulakan proses pemulihan alam di Malaysia? Kemungkinan Menteri NRES sekarang lebih terbuka untuk berjumpa masyarakat dan rajin turun padang, tetapi adakah ini memadai untuk membawa perubahan dalam jentera-jentera Kementerian NRES?
Punca Krisis Alam Sekitar di Malaysia
Saya berpendapat bahawa pendekatan kita sebagai rakyat Malaysia yang cuba untuk membawa perubahan dalam isu alam sekitar akan lebih jelas jika kita tahu siapa musuh kita. Musuh di sini bermaksud sesiapa yang menjadi punca kepada krisis alam sekitar di Malaysia. Pada pandangan saya, berikut ialah pihak-pihak yang merupakan punca kepada isu alam sekitar di Malaysia.
1. Kapitalis nasional dan global
2. Kerajaan negeri
- MADANI (Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang)
- BN (Johor)
- PN (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu)
- GPS (Sarawak)
- GRS + GAGASAN (Sabah)
3. Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
4. Kerajaan Persekutuan sebelum bulan November 2022
- PN +BN (Februari 2020 sehingga November 2022)
- PH (Mei 2018 sehingga Februari 2020)
- BN (sebelum Mei 2018)
Apakah sistem ekonomi di Malaysia dan bagaimana isu alam sekitar terangkum dalam sistem ini?
Saya menggunakan analogi ringkas: “Ekonomi Terancang dan Mampan” lawan “Pasaran Bebas”. Ini adalah dua senario yang bertentangan. Adalah penting untuk kita faham bagaimana isu alam sekitar dilihat dan ditangani dalam kedua-dua anologi ini.
Dalam Ekonomi Terancang, kuasa rakyat dan masyarakat sivil memainkan peranan yang besar dalam menentukan mod pengeluaran. Pembahagian kekayaan dan harta negara adalah lebih adil dan saksama. Pembangunan alam semula jadi lebih mampan dan mengikut kepentingan masyarakat umum. Sistem politik lebih adil, dan ahli politik bekerja lebih untuk kepentingan manusia sejagat dan alam sekitar.
Sementara dalam Pasaran Bebas pula, kapitalis nasional dan global memainkan peranan yang besar dalam menentukan mod pengeluaran. Bilangan kapitalis ini adalah sangat kecil, dan oleh sebab itu mod pengeluaran adalah untuk memaksimumkan keuntungan dan penguasaan kumpulan kapitalis ini. Pembangunan alam semula jadi adalah untuk keuntungan dan sistem politik dipergunakan untuk menghalalkannya.
Jadi, di manakah kedudukan isu alam sekitar di Malaysia pada hari ini dalam sistem ekonomi yang saya nyatakan di atas? Saya berfikir bahawa adalah berguna untuk memberi contoh beberapa isu alam sekitar yang sedang ditangani oleh PSM pada masa sekarang dan kemudian kita boleh membuat kesimpulan.
Saya fikir ada dua cara untuk meletakkan isu alam sekitar dalam sistem ekonomi Malaysia seperti di rajah di atas.
- KEDUDUKAN isu alam sekitar antara L5 ke R5. L5 ialah kecenderungan tertinggi ke arah Ekonomi Terancang, sementara R5 adalah untuk Pasaran Bebas. Titik tengah ialah 0. Jika isu alam sekitar tersebut diletakkan antara L1 ke L5, itu bermaksud isu alam sekitar tersebut sedang ditangani seolah-olah ia berada dalam Ekonomi Terancang. PSM menyokong isu alam sekitar dikendali ke arah L5. Sebaliknya, jika ia diletakkan dari R1 ke R5, isu alam sekitar tersebut sedang ditangani seolah-olah dalam ekonomi Pasaran Bebas. PSM menentang isu alam sekitar ke arah R5.
- HALA TUJU isu alam sekitar tersebut ke arah Ekonomi Terancang atau Pasaran Bebas.
Perjuangan masyarakat OA Kg Kelaik, Gua Musang, Kelantan
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional dan global (lombong bijih besi, pembalakan, ladang hutan, ladang durian Musang King, ladang kelapa sawit)
- Kerajaan Negeri PN (Kelantan)
- Kerajaan persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
- Kerajaan Persekutuan sebelum bulan November 2022
> PN +BN (Februari 2020 sehingga November 2022)
> PH (Mei 2018 sehingga Februari 2020)
> BN (sebelum Mei 2018)
b. Kerajaan Persekutuan: Lesen-lesen meneroka hutan seperti lombong, pembalakan, ladang hutan, ladang durian Musang King dan ladang kelapa sawit diberikan dan diperbaharui. 2 buah agensi Kerajaan Persekutuan yang disaman di Mahkamah Tiggi Kota Bahru oleh Orang Asli (OA) cuba melengahkan kes. Pengiktirafan ladang durian Musang King terbesar di Malaysia dan sokongan untuk eksport besar-besaran ke China.
c. Kerajaan Negeri Kelantan: 2 buah agensi kerajaan negeri yang disaman di Mahkamah Tinggi Kota Bahru oleh OA cuba melengahkan kes. Permit pembukaan tanah terus diberikan tanpa kawalan. Air sungai tercemar. Kualiti kehidupan OA semakin terjejas. Pokok buah-buahan OA ditebang. OA terpaksa menjadi buruh upahan. Sumber hutan semakin berkurangan. Flora dan fauna terancam. Wujudnya konflik antara haiwan dan manusia.
d. Kesimpulan: Sokongan kedua-dua kerajaan ke arah pasaran bebas. Menguntungkan sedikit pihak dengan memusnahkan alam sekitar dan kehidupan OA.
Kerajaan Persekutuan MADANI – R3
Kerajaan Negeri Kelantan PN – R3
Perjuangan masyarakat OA Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional (cadangan pembinaan Empangan Telom oleh TNB, pembalakan, lombong NR-REE)
- Kerajaan Negeri MADANI (Pahang)
- Kerajaan Persekutuan sebelum bulan November 2022
> BN (sebelum Mei 2018)
b. Kerajaan Persekutuan: Cadangan pembinaan Empangan Telom dibatalkan oleh kerajaan PH (2019) selepas perjuangan OA Pos Lanai. Masyarakat OA tempatan masih sentiasa diancam projek pembalakan dengan permit dan tanpa permit, tetapi Kementerian Alam Sekitar pantas bertindak jika aduan dibuat. Sekarang diancam cadangan projek lombong unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) disaman dalam tuntutan wilayah adat.
c. Kerajaan Negeri Pahang: Kerajaan Negeri Pahang menyokong pembinaan Empangan Telom dan perlombongan NR-REE. Ia tidak mahu berunding dalam apa jua isu.
d. Kesimpulan: Sokongan Kerajaan MADANI Persekutuan wujud untuk memelihara Pos Lanai, tetapi tidak pasti dalam isu lombong NR-REE. Saya berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Pahang menganggap alam sekitar sebagai satu sumber pendapatan untuk negeri.
Kerajaan Persekutuan MADANI – 0 (TITIK TENGAH)
Kerajaan Negeri Pahang MADANI – R2
Perjuangan komuniti Toh Kee Kah, Port Dickson, Negeri Sembilan
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional dan global
- Kerajaan Negeri MADANI (Negeri Sembilan)
- Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
- Kerajaan Persekutuan sebelum bulan November 2022
> PN +BN (Februari 2020 sehingga November 2022)
> PH (Mei 2018 sehingga Februari 2020)
> BN (sebelum Mei 2018)
b. Kerajaan Persekutuan: Pemantauan daripada agensi-agensi Kementerian Alam Sekitar tidak cekap. Tiada perjumpaan dengan wakil komuniti untuk berbincang.
c. Kerajaan Negeri Sembilan: Pihak Berkuasa Tempatan tidak memberikan kerjasama. Komuniti terpaksa bergerak bersendirian dalam mempersoalkan isu pencemaran alam kepada syarikat.
d. Kesimpulan: Kurang sokongan daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kerajaan Persekutuan MADANI – R2
Kerajaan Negeri Sembilan MADANI – R3
Cadangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) merisaukan
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional (PETRONAS)
- Kerajaan Negeri GPS (Sarawak)
- Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
b. Kerajaan Persekutuan: Cubaan untuk menghalalkan perdagangan karbon dan pembinaan fasiliti “Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon” (CCUS). Draf penuh rang undang-undang tidak dikongsi oleh pihak kerajaan.
c. Kerajaan Negeri Sarawak: Pembinaan CCUS di Bintulu dengan kos RM3.5 bilion oleh PETRONAS. Adakah RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang diluluskan oleh DUN Sarawak menghalalkan perdagangan karbon dan pembinaan CCUS ini?
d. Kesimpulan: Kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri seolah-olah sedang berusaha untuk menghalalkan perdagangan karbon, yang merupakan satu mekanisme untuk mengaut keuntungan bagi sesuatu pihak tetapi tidak menyelamatkan alam sekitar.
Kerajaan MADANI Persekutuan – R1
Kerajaan GPS Sarawak – R3
Projek Ladang Hutan Kledang Saiong, Kuala Kangsar, Perak
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional
- Kerajaan Negeri MADANI (Perak)
- Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
b. Kerajaan Persekutuan: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah meluluskan permohonan. Kekangan kapisiti pemantauan diakui oleh JAS tetapi tiada rancangan tindakan.
c. Kerajaan Negeri Perak: Menggunakan alasan hutan ini sudah pun diterokai untuk hutan perladangan sebelum ini. Kesan kepada OA, perkampungan Melayu dan haiwan liar ada disebut tetapi nampaknya rancangan mitigasi tidak sesuai.
d. Kesimpulan: Kedua-dua kerajaan seolah-olah sedang berusaha untuk menghalalkan perdagangan karbon, yang merupakan satu mekanisme membuat keuntungan sesuatu pihak tetapi tidak menyelamatkan alam sekitar.
Kerajaan Persekutuan MADANI – R2
Kerajaan Negeri Sarawak GPS – R2
Perjuangan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL), Jenjarum, Selangor
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional dan global
- Kerajaan Negeri MADANI (Selangor)
- Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
- Kerajaan Persekutuan sebelum bulan November 2022
> PN +BN (Februari 2020 sehingga November 2022)
> PH (Mei 2018 sehingga Februari 2020)
> BN (sebelum Mei 2018)
b. Kerajaan Persekutuan: Pemantauan daripada agensi-agensi Kementerian Alam Sekitar lemah. Kerajaan berada dalam mod defensif. Ada hasil jika ada individu tertentu dalam pengurusan atasan kerajaan berprihatin pada isu yang dibawa.
c. Kerajaan Negeri Selangor: Pihak Berkuasa Tempatan tidak memberikan kerjasama. Ini menyukarkan situasi apabila PTASKL terpaksa bergerak dengan kekangan kapasiti.
d. Kesimpulan: Kurang sokongan daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kerajaan Persekutuan MADANI – R5
Kerajaan Selangor MADANI – R3
Perjuangan Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), Selangor
a. Punca krisis
- Kapitalis nasional (syarikat YTL)
- Kerajaan Negeri MADANI (Selangor)
- Kerajaan Persekutuan MADANI sejak bulan November 2022
b. Kerajaan Persekutuan: Lebih berperanan sebagai agensi yang meluluskan projek insinerator yang masih di peringkat awal. Oleh sebab itu, tidak kelihatan sangat apa pendirian Kerajaan MADANI.
c. Kerajaan Negeri Selangor: Projek kerajaan negeri. Pihak Berkuasa Tempatan menukar zon kawasan untuk membenarkan pembinaan insinerator. Bantahan penduduk tempatan di pendengaran terbuka tidak diambil kira.
d. Kesimpulan: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan pro-aktif dalam mengerakkan projek ini walaupun mendapat bantahan kuat daripada penduduk sekitar.
Kerajaan Persekutuan MADANI – R1
Kerajaan Selangor MADANI – R3
Apakah pandangan saya mengenai MADANI dan alam sekitar?
a. Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dan negeri nampaknya tidak banyak perbezaan jika dibandingkan dengan kerajaan sebelumnya.
- Lebih kepada memenuhi kehendak segolongan kecil orang – pemodal, peniaga, royalti dan sebagainya.
- Komposisi ahli politik MADANI masih daripada acuan lama BN, maka corak pemikiran masih ditakluk dengan kerangka yang lama.
- Pengetahuan berkenaan alam sekitar sedang berubah dengan pesat, namun ahli politik MADANI nampaknya kurang arif.
- Isu-isu lama seperti wilayah adat OA walaupun jelas, tetapi modus operandi MADANI dalam menangani isu ini masih sama. Pemilihan jawatan penting seperti Ketua Pengarah JAKOA masih melibatkan kroni dan talian keluarga.
- Penampilan Menteri Alam Sekitar MADANI lebih terbuka dan menangani isu dengan lebih cepat. Ini patut dipuji. Namun, perubahan yang perlu adalah “dari bawah ke atas” (bottom-up). Perubahan “dari atas ke bawah” (top-down) yang dibawa oleh beberapa individu progresif boleh diubah jika individu tersebut dikeluarkan daripada fomula perubahan tersebut.
b. Kerajaan negeri yang lama seperti PN, GPS, GRS dan BN masih beroperasi dengan modus operandi yang sama. Cuma mekanisme “fire-fighting” terhadap simptom ada lebih perhatian kepada rakyat.
Apakah penyelesaian?
a. Perlu lebih banyak sukarelawan untuk turun padang dan membuat kerja-kerja serius supaya kita boleh menentu ukur dengan lebih tepat ke mana tujunya arah Kerajaan Persekutuan MADANI dalam isu alam sekitar.
- Kerja seperti menulis surat, membawa masyarakat untuk berjumpa dengan ahli politik MADANI, melawat dan membuat perbincangan dengan masyarakat terkesan, menulis kepada royalti yang menunjukkan minat, dan sebagainya.
- Kerja akademik seperti mengkaji undang-undang, membaca dokumen, koleksi berita, persiapan kes mahkamah, dan sebagainya.
b. Perlu ada satu inisiatif yang sedar untuk membawa pengetahuan terbaru mengenai alam semula jadi kepada rakyat. Jika rakyat tidak faham, maka rakyat tidak lawan.
c. Isu-isu lama seperti wilayah adat OA perlu dilawan dengan MEMPERKASAKAN dan MENYATUKAN masyarakat OA. Saya kurang percaya pada perubahan “dari atas ke bawah” (top-down) akan membawa perubahan kepada isu-isu OA.
- Adalah lebih mampan jika rakyat dan masyarakat sivil memainkan peranan “pengorganisasi untuk pengorganisasi” (organiser of the organiser) dalam memperkasakan OA.
d. Sesama aktivis dan masyarakat sivil
- Memaksimumkan persamaan dan meminimumkan perbezaan
- Kita ada golongan elit yang bergabung dengan sistem ekonomi Pasaran Bebas dan ahli politik yang memusnahkan alam sekitar. Jadi, kita hanya kuat jika kita bersatu.
==========
Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.