KUALA LUMPUR: Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), memenangi Anugerah Masyarakat Sivil 2024.

Majlis penyampaian Anugerah Masyarakat Sivil ke-9 yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) telah diadakan pada 10 Disember 2024 di Kuala Lumpur. Terdapat tiga orang atau organisasi menerima Anugerah Masyarakat Sivil pada tahun ini. Selain Dr. Jeyakumar Devaraj, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN) dan Borneo Komrad turut diumumkan sebagai pemenang bersama untuk Anugerah Masyarakat Sivil.

Anugerah Masyarakat Sivil diberikan setiap tahun untuk mengiktiraf individu-individu dan organisasi-organisasi yang telah membuat sumbangan penting kepada masyarakat sivil, dan juga memperjuangkan pembaharuan sosial serta perkembangan masyarakat sivil dengan mempertahankan hak-hak sivil rakyat.

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah salah seorang pengasas PSM, sebuah parti politik yang lahir daripada gerakan perjuangan masyarakat akar umbi. Selama ini, Dr. Jeyakumar sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan hak masyarakat terpinggir dan memajukan kesaksamaan sosial. Dr. Jeyakumar aktif terlibat dalam pelbagai perjuangan rakyat, seperti perjuangan menentang perjanjian perdagangan bebas yang memudaratkan kehidupan rakyat biasa, kempen menuntut pencen warga emas sejagat, perjuangan petani kecil untuk melawan pengusiran paksa dan mempertahankan keterjaminan makanan, usaha mempertahankan sistem kesihatan awam dan banyak lagi.

Dr. Jeyakumar pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Sungai Siput dari tahun 2008 hingga 2018, di mana beliau sentiasa membangkitkan isu rakyat dan mengemukakan idea-idea melindungi kesejahteraan masyarakat dalam perbahasan di Parlimen. Dr. Jeyakumar juga telah menghasilkan pelbagai tulisan yang mengetengahkan pandangan untuk membina sebuah masyarakat yang lebih adil, inklusif dan sejahtera.

Dalam ucapannya semasa menerima Anugerah Masyarakat Sivil 2024, Dr. Jeyakumar menekankan kepentingan untuk membina solidariti bersama semua pekerja dan rakyat bawahan demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih baik.

Dua buah lagi organisasi yang menerima Anugerah Masyarakat Sivil juga memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan hak sivil rakyat dan memajukan masyarakat sivil. Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN) yang ditubuhkan sejak tahun 2022 berusaha untuk memberdayakan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan supaya mereka dapat memperjuangkan hak-hak asasi mereka. Borneo Komrad pula ditubuhkan oleh anak-anak muda yang berada di Sabah untuk memperjuangkan isu-isu pendidikan, kebudayaan dan hak asasi manusia bagi masyarakat terpinggir, di mana mengusahakan “Sekolah Alternatif” yang menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak golongan terpinggir dan mereka yang tidak berkewarganegaraan di Sabah.

Organisasi-organisasi dan individu-individu lain yang dinamakan untuk Anugerah Masyarakat Sivil 2024 termasuk Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI), Pusat Pembelajaran Pelarian Kachin, Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), PACOS Trust, SIUMAN Collective, Teoh Lee Lan (adik kepada mendiang Teoh Beng Hock) dan Mahi Ramakrishnan (pengasas Beyond Borders Malaysia).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *