oleh Ibu Pejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan Kongres Nasionalnya yang ke-26 dan buat pertama kalinya di Johor. Walaupun ini merupakan Kongres PSM yang pertama di Johor, aktivis-aktivis parti telah berkhidmat di bumi Johor agak lama. Dari sambutan Hari Pekerja peringkat nasional di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada tahun 2007, sehinggalah ke hari ini, ahli-ahli PSM giat memperjuangkan hak perumahan pekerja ladang, mengendalikan kes pekerja-pekerja kolar biru, kes perumahan dan pelbagai kes hak asasi manusia. Kemuncaknya ialah apabila, buat pertama kalinya, calon PSM masuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri di kawasan DUN Kota Iskandar pada tahun 2022 lalu. Terbukti sejak tahun 2007, PSM terus bergiat mengukir nama sebagai kuasa progresif di laskap politik negeri Johor.
Kongres kali ini bertemakan “Kuasa Ketiga Alternatif Rakyat”. Tema ini menjelmakan
sentimen dalam kalangan rakyat pekerja dan rakyat marhaen yang semakin kecewa dengan agenda reformasi yang gagal dilaksanakan. Pemerintah yang reformis, semakin hari semakin terpisah dengan tuntutan dan hasrat rakyat. Jelasnya mereka lebih berminat untuk bergeser bahu dengan elit korporat dan pelabur asing, mengutamakan agenda perniagaan. Golongan reformis beranggapan bahawa jika kapitalis dan pelabur asing dijaga, maka pembangunan ekonomi yang diwujudkan akan dititiskan ke bawah sampai ke rakyat biasa (trickle down economics). Perspektif sedemikian hanya telah melebarkan ruang antara yang kaya dengan miskin.
Kekecewaan inilah yang ditangani oleh PSM dengan mengatur rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, untuk memperjuangkan hak kelas marhaen secara kolektif. Hanya perjuangan dari sudut kelas sahajalah yang dapat mengatasi sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat.
Demi mengupas cabaran kuasa politik ketiga, sebuah forum perdana yang bertajuk “Peluang dan Cabaran Kuasa Politk Ketiga” telah diadakan pada 27 Julai 2024 di dewan kongres. Ahli panel forum ialah Hassan Karim selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang, Razid Abu Bakar selaku Ahli Jawatankuasa Parti MUDA Negeri Johor dan Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi PSM.
Dalam Kongres Nasional tahun ini, PSM juga telah mengadakan pemilihan parti, di mana semua jawatan di peringkat pusat dipertandingkan secara demokratik. PSM merupakan satu-satunya parti politik di mana delegasi Kongres memilih secara langsung Pengerusi Nasional, Timbalan Pengerusi Nasional, Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung, Bendahari Nasional, Timbalan Bendahari Nasional, ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dan ahli-ahli Jawatankuasa Audit Dalaman Parti.
Pemilihan parti tahun ini telah menyaksikan satu transisi dalam jawatan Setiausaha Agung (SUA). Sivarajan Arumugam yang telah menyandang jawatan SUA sejak 2015 (dan juga sebagai Bendahari Nasional sejak penubuhan parti pada tahun 1998 sehingga 2015) memilih untuk tidak bertanding mempertahankan jawatan beliau. Dalam pertandingan satu lawan satu antara dua orang altivis PSM yang berwibawa, Sivaranjani Manickam telah dipilih sebagai Setiausaha Agung PSM yang baharu. Sivaranjani ialah seorang aktivis kesatuan dan pekerja yang bergiat aktif selama 22 tahun yang lalu, dan mengetuai Biro Pekerja PSM. Untuk jawatan utama lain, tiada perubahan disaksikan.
Selain daripada 6 jawatan utama, terdapat Ahli Jawatankuasa Pusat baharu dalam bilangan yang signifikan dipilih dalam pemilihan parti kali ini.
Berikut ialah keputusan pemilihan untuk Jawatankuasa Pusat PSM bagi penggal 2024-2026:
Pengerusi Nasional: Dr Jeyakumar Devaraj (mantan Ahli Parlimen Sungai Siput)
Timbalan Pengerusi Nasional: S. Arutchelvan
Setiausaha Agung: Sivaranjani Manickam
Timbalan Setiausaha Agung: Bawani KS
Bendahari Nasional: Soh Sook Hwa
Timb Bendahari Nasional: S. Madhavi
Ahli Jawatankuasa Pusat:
- Arveent Kathirtchelvan (baharu) – bekas Ketua Pemuda Sosialis
- Chong Yee Shan
- Choo Chon Kai
- Gandipan Nantha Gopalan (baharu) – bekas Setiausaha Pemuda Sosialis
- Karthiges Rajamanickam
- Nik Aziz Afiq (baharu) – bekas Ketua Pemuda Sosialis dan bekas calon Pilihan Raya Semenyih
- Parames Elumalai
- Sivarajan A – mantan Setiausaha Agung
- Suresh Balasubramaniam (baharu) – bekas calon Pilihan Raya Umum di kawasan Cameron Highlands
One thought on “Kongres PSM ke-26: Sivaranjani dipilih Setiausaha Agung baharu”