oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan Kongres Nasional yang ke-26 di Johor Bahru, Johor, selama 3 hari, dari 26 hingga 28 Julai 2024. Ini merupakan kali pertama PSM menganjurkan Kongres Nasional di Johor, selepas ia telah diadakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor. Sekitar 150 orang perwakilan akan menghadiri Kongres ini.

Tema bagi Kongres tahun ini ialah “Kuasa Ketiga, Alternatif Rakyat”. Bersempena tema ini, satu forum yang bertajuk “Peluang dan Cabaran Kuasa Politik Ketufa” akan diadakan pada waktu malam 27 Julai 2024. Antara ahli panel dalam forum ini ialah Hassan Karim selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang, Rasid Abu Bakar selaku pemimpin Parti MUDA di Johor dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM.

Upacara pembukaan akan diadakan pada hari Jumaat 26 Julai 2024, di mana Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti akan menyampaikan ucapan dasarnya. Pemimpin-pemimpin masyarakat sivil, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin parti MUDA, PRM, MAP dan URIMAI dijangka akan turut hadir.

Pemilihan parti akan diadakan dalam Kongres tahun ini untuk memilih 15 orang anggota Jawatankuasa Pusat, di samping 5 orang anggota Jawatankuasa Tatatertib dan 2 orang juruaudit dalaman parti. Barangkali PSM merupakan satu-satunya parti di mana Jawatankuasa dipilih oleh ahli dan bukannya dilantik oleh pemimpin parti. Begitu juga semua jawatan lain seperti Setiausaha Agung dan Bendahari juga akan dipilih secara langsung oleh perwakilan dalam Kongres, dan bukannya dilantik oleh Pengerusi atau kepimpinan parti.

Untuk menggalakkan penyertaan dalam pemilihan parti dan demokrasi, ahli-ahli PSM yang dicalonkan oleh cawangan-cawangan harus bertanding untuk sekurang-kurangnya 1 jawatan dan tidal boleh menarik diri sepenuhnya daripada pertandingan. Oleh sebab sistem sebegini, jarang sekali ada sesiapa yang memenangi sesuatu jawatan tanpa persaingan.

Dalam pemilihan parti tahun ini, tumpuannya adalah pada jawatan Setiausaha Agung di mana penyandang jawatan ini, A. Sivarajan, telah menarik diri daripada pertandingan walaupun memperoleh pencalonan yang paling banyak untuk jawatan ini. Saudara Siva telah menjadi Setiausaha Agung selama 9 tahun yang lalu. Ini bermakna PSM akan mempunyai seorang Setiausaha Agung baharu untuk penggal 2024-2026. Pertandingan untuk jawatan Setiausaha Agung akan menyaksikan persaingan antara M. Sivaranjani, Ketua Biro Pekerja PSM, dan Suresh Kumar yang merupakan bekas calon pilihan raya PSM bagi Cameron Highlands. 3 orang penyandang jawatan utama parti, Dr. Jeyakumar, Arul dan Soh Sook Hwa akan mempertahankan jawatan mereka yang semuanya akan menyaksikan pertandingan.

Sejumlah 50 orang telah dicalonkan untuk 9 posisi dalam Jawatankuasa Pusat, sementara 48 orang dicalonkan untuk 5 jawatan dalam Jawatankuasa Tatatertib. Pemilihan parti akan diadakan dalam 2 peringkat pada 27 dan 28 Julai 2024.

Sejumlah.15 usul dan 33 resolusi akan dibahaskan dalam Kongres tahun ini. Antara topik yang hangat untuk dibahaskan adalah harga barang keperluan harian, gaji minimum dan perumahan awam. Terdapat juga usul yang mencadangkan untuk menilai semula atau melonggarkan syarat PSM menentukan calon dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan dan Negeri. Satu lagi usul yang menarik adalah mengrnai isu teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengambil alih pekerjaan sedia ada dan kebimbangan keselamatan yang berkaitan.

Sebagai parti berhaluan kiri yang terbesar di negara kita, PSM terus berusaha untuk sebuah sistem ekonomi yang lebih baik dan sama rata di mana kepentingan kelas pekerja dan aspirasi rakyat biasa adalah dilindungi. Ini merupakan satu perjuangan tentang idea dan ideologi.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *