
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah segera di peringkat dalam negara untuk mengurangkan penggunaan petroleum, di samping memainkan peranan aktif dalam mendesak pembentukan Simpanan Petroleum Strategik ASEAN (Strategic Petroleum Reserve, SPR) di peringkat serantau.
Ketegangan geopolitik dan gangguan terhadap rantaian bekalan minyak dunia telah menunjukkan betapa rapuhnya ekonomi negara-negara ASEAN apabila terlalu bergantung kepada petroleum dan pengangkutan berasaskan kereta persendirian. Dalam keadaan krisis bekalan atau lonjakan harga minyak, rakyat pekerja akan menjadi golongan pertama yang menanggung beban melalui harga makanan, inflasi dan peningkatan kos sara hidup, sementara kerajaan pula harus menanggung subsidi secara besar-besaran.
Atas sebab itu, kerajaan Malaysia tidak boleh menunggu sehingga krisis menjadi lebih buruk sebelum bertindak. Langkah segera perlu dimulakan sekarang untuk mengurangkan penggunaan petroleum dalam negara. Antaranya ialah memperkenalkan mekanisme kerja dari rumah (Work From Home) segera secara lebih meluas bagi sektor-sektor yang sesuai. Ini penting untuk mengurangkan perjalanan harian yang tidak perlu dan seterusnya mengurangkan penggunaan bahan api.
Kerajaan juga harus melaksanakan dasar yang lebih tegas untuk mengalihkan rakyat kepada pengangkutan awam. Ini termasuk menambahkan kekerapan perkhidmatan, meningkatkan kebolehpercayaan, memperluas liputan rangkaian serta memastikan tambang kekal mampu dibayar. Dalam keadaan krisis tenaga, pengangkutan awam yang efisien bukan sahaja langkah sosial, tetapi juga langkah keterjaminan ekonomi negara.
Namun begitu, PSM menegaskan bahawa langkah domestik sahaja tidak mencukupi. Krisis tenaga yang melanda rantau ini menunjukkan bahawa keterjaminan petroleum juga memerlukan tindak balas serantau yang terancang dan secara kolektif. Oleh itu, Malaysia perlu menggunakan kedudukannya dalam ASEAN untuk mendesak pembentukan Simpanan Petroleum Strategik ASEAN (Strategic Petroleum Reserve, SPR) sebagai perlindungan bersama terhadap gangguan bekalan dan kejutan harga minyak.
PSM berpendirian bahawa pembentukan SPR di peringkat ASEAN mesti dilihat sebagai usaha bersama rantau ini, bukannya tanggungan berasingan setiap negara. Pendekatan kerjasama serantau membolehkan perkongsian risiko, sekali gus mengurangkan pertindihan rizab dan menurunkan keperluan pelaburan dalam kapasiti penyimpanan secara besar-besaran. Dengan kata lain, ASEAN boleh membina perlindungan tenaga yang lebih kukuh dengan kos yang lebih rendah jika negara-negara anggotanya bekerjasama, berbanding jika setiap negara bertindak secara bersendirian.
PSM ingin menegaskan bahawa sokongan kepada Simpanan Petroleum Strategik bukan bermaksud mempertahankan kebergantungan jangka panjang kepada bahan api fosil. Sebaliknya, ia adalah langkah perlindungan kecemasan dalam tempoh peralihan. Dalam jangka panjang, Malaysia dan ASEAN tetap mesti bergerak ke arah pengangkutan awam yang lebih baik, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, dan pengurangan penggunaan petroleum secara berperingkat.
Justeru, PSM menggesa kerajaan Malaysia mengambil dua tindakan serentak: pertama, melaksanakan langkah domestik segera untuk mengurangkan penggunaan petroleum melalui kerja dari rumah, pengukuhan pengangkutan awam, dan pengurangan kebergantungan kepada kereta persendirian; kedua, memimpin usaha dalam ASEAN untuk membentuk Simpanan Petroleum Strategik serantau sebagai perlindungan bersama bagi rakyat di seluruh rantau ini.
Kerajaan tidak boleh terus menyerahkan keterjaminan tenaga kepada pasaran semata-mata. Dalam waktu krisis, rakyat memerlukan perlindungan awam yang nyata. Malaysia harus bertindak sekarang, dan pada masa yang sama mendesak penyelesaian serantau yang lebih adil dan berkesan.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
