Majlis sambutan kemenangan perjuangan untuk rumah kos rendah (RKR) PJS 1 telah diadakan pada 24 Januari 2026.

oleh Sivarajan Arumugam

Perjuangan para pembeli rumah kos rendah (RKR) yang dikenali sebagai pembangunan Blok E di lokasi Petaling Jaya Selatan 1 (PJS1), Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor, merupakan sebuah kisah tentang semangat ketabahan dan kecekalan perjuangan yang konsisten. Cerita perjuangan mereka harus diimbas kembali kerana ia memaparkan aksi perjuangan yang berlangsung tanpa pudar selama 22 tahun. Ya betul, perjuangan selama 22 tahun! Ini ialah perjuangan untuk satu kemudahan asas, iaitu rumah untuk berteduh!

Siapakah mereka?

Para pembeli RKR Blok E PJS1 ini merupakan peneroka asal di kawasan Petaling Jaya. Petempatan penduduk di kawasan Petaling Jaya bermula dengan kemasukan warga pekerja untuk bekerja di kawasan perlombongan bijih timah. Kawasan Petaling di mana aktiviti perlombongan bijih timah ini dijalankan dikenali sebagai Petaling Tin yang meliputi Petaling Utama sehingga ke Sungai Way, Subang Jaya dan Puchong. Sememangnya diakui bahawa perlombongan bijih timah dan aktiviti ekonomi yang berkembang dari situ memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan dan pembangunan Daerah Petaling. Sebahagian besar ibu bapa para pembeli RKR PJS terdiri daripada pekerja lombong timah Petaling Tin. Setelah lombong ini ditutup, bekas pekerja dan keluarga mereka telah mendirikan perkampungan mereka di sekitar kawasan lombong. Kawasan ini mula berkembang menjadi kampung peneroka bandar dengan terbentuknya petempatan seperti Kampung Gandhi, Kampung Muniandy, Kampung Bengali dan sebagainya. Ada juga pembeli dari Kampung Semarak, Kampung Tandang. Malangnya, sejarah hidup golongan marhaen dan miskin kota di lokasi ini dicemari dengan insiden rusuhan Kampung Medan pada tahun 2001.

Penempatan semula peneroka bandar PJS 1

Sekitar tahun 2002, Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar pada masa itu, Khir Toyo, telah melancarkan dasar “Setinggan Sifar” dengan tujuan untuk “membersihkan” Selangor daripada perumahan tidak formal yang digelar sebagai setinggan. Penggunaan istilah setinggan ini telah dicabar oleh aktivis-aktivis masyarakat seperti Dr. Mohd Nasir Hashim (mantan ADUN Kota Damansara dan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia) pada tahun 1980-an semasa penglibatannya dalam Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB). Dalam satu kes pengusiran paksa di Kampung Bumi Hijau, Setapak, Kuala Lumpur, pada sekitar tahun 1985, penggunaan istilah “setinggan” oleh penguatkuasa telah dicabar di Mahkamah dan Hakim Tan Sri Harun Hashim telah bersetuju dengan hujahan penduduk kampung dan mengisytihar bahawa mereka adalah peneroka bandar dan bukannya “setinggan”.

Justeru, walaupun para peneroka bandar ini tidak mempunyai hak milik yang sah di sisi undang-undang, hak mereka sebagai penduduk yang menerokai hutan, lombong dan membangunkan perkampungan tersebut diiktiraf. Maka, program “Setinggan Sifar” ini telah memperlihatkan satu inisiatif penempatan semula skala besar dijalankan di kawasan Petaling Jaya. Para penduduk di kampung-kampung peneroka ini ditawarkan untuk membeli sebuah unit RKR dalam beberapa projek Pembangunan A, B, C, D dan E. Penempatan fasa pertama yang dibina untuk menempatkan para pekerja Petaling Tin ialah Blok A dan B yang dijual dengan harga RM18,000 seunit pada akhir tahun 1990-an. Blok C dan D pula diduduki oleh peneroka bandar dari Kampung Pinang dan Kampung Muniandy. Sementara pembinaan blok lain, mereka ditempatkan di perumahan “Rumah Panjang” ataupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang. Bagi para pembeli Blok E, mereka diminta untuk menandatangani perjanjian jual beli sekitar tahun 2003 hingga 2004 dengan pemaju Peter Brickworks Sdn Bhd.

Peter Brickworks Sdn Bhd ini merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah yang beroperasi melalui beberapa anak syarikatnya, iaitu: Kembar Empat Sdn Bhd dan Le Man Construction. Oleh itu, perjanjian jual beli ditandatangani sama ada dengan Kembar Empat Sdn Bhd, Le Man Construction atau Peter Brickworks Sdn Bhd sendiri.  

Projek pembinaan RKR Blok E PJS1 terhenti

Walaupun pembinaan RKR Blok A, B, C dan D telah disiapkan, pembinaan Blok E untuk 276 orang pembeli tergendala. Isu asas yang mencetuskan permasalahan konflik ini berunsurkan perbezaan kelas masyarakat, iaitu kontradiksi antara kelas yang berada dengan kelas pekerja dan rakyat marhaen. Tapak yang telah dikenal pasti untuk pembinaan Blok E RKR ini, adalah bersebelahan dengan sebuah taman perumahan yang bernama Taman Kanagapuram Petaling Jaya. Taman ini diduduki oleh golongan kelas menengah dan kelas atasan berbanding dengan RKR yang akan menempatkan warga peneroka bandar daripada golongan marhaen. Pada tahun 2003, salah seorang penduduk Taman Kanagapuram telah menfailkan satu kes di mahkamah untuk membantah pembinaan RKR yang bersebelahan dengan lot perumahan mereka. Ini menyebabkan mahkamah memerintahkan pada 9 Julai 2004 bahawa projek pembinaan RKR dihentikan (nota 1).

Perintah mahkamah tersebut sekali gus menghancurkan harapan para peneroka ini untuk memperolehi sebuah rumah bagi mereka berteduh selepas diusir secara paksa oleh Kerajaan Negeri Selangor. Jadi, mereka seolah-olah dibiarkan tergantung tanpa penyelesaian alternatif apabila pemaju dihalang daripada meneruskan pembinaan RKR di atas tapak tersebut. Tahun demi tahun berlalu tanpa apa jua tawaran alternatif daripada pihak pemaju ataupun Kerajaan Negeri Selangor. Justeru, para pembeli RKR ini terpaksa menduduki rumah sementara di rumah panjang Jalan PJS 1/52 dan di flat PPR di Lembah Subang.

Mengharungi permasalahan berterusan

Para pembeli rumah projek terbengkalai RKR Blok E PJS 1 ini mengharungi pelbagai cabaran setelah projek pembinaan rumah mereka dihentikan. Rumah panjang yang sepatutnya berfungsi sebagai rumah transit kini berubah menjadi rumah “tetap”. Pelbagai kerosakan timbul, tambah pula dengan kejadian banjir yang kerap berlaku akibat projek pembangunan oleh pemaju. Maka ada beberapa orang penghuni rumah panjang yang terpaksa keluar dan menyewa rumah dengan kos sendiri sambil menunggu RKR siap dibina. Selain itu, pihak bank pula terus menuntut bayaran daripada pembeli yang telah mengambil pinjaman walaupun projek RKR Blok E PJS 1 terbengkalai. Tunggakan bayaran ansuran dan faedah menyebabkan ramai pembeli disenaraihitamkan oleh bank.

Sebahagian pembeli di rumah panjang menghadapi ancaman pengusiran paksa, kerana tanah yang diduduki oleh mereka dikenal pasti untuk pembinaan sekolah oleh Kementerian Pendidikan. Oleh itu, para pembeli yang berdepan dengan pelbagai cabaran ini mengadakan satu protes pada bulan Mei 2009 di hadapan pejabat pemaju Peter Brickworks di Petaling Utama (nota 2).

Pemaju Peter Brickworks Sdn Bhd mulakan tindakan pengusiran paksa

Para pembeli RKR Blok E PJS 1 yang tinggal di rumah panjang dikejutkan dengan tindakan mahkamah oleh pemaju Peter Brickworks yang bercadang mengusir mereka secara paksa. Walaupun Peter Brickworks gagal untuk menunaikan janjinya dalam membina rumah Blok E, pemaju itu bertindak rakus dengan menfailkan kes di mahkamah untuk menuntut pengosongan tanah rumah panjang. Tapak tanah di mana berdirinya rumah panjang ini ingin digunakan oleh pemaju untuk membina rumah kos sederhana dan mewah. Pada bulan November 2010, para pembeli rumah panjang menerima satu writ saman daripada peguam pemaju.

Para penghuni rumah panjang kelam kabut! Mereka tidak berupaya menghalusi dokumen-dokumen perundangan dan tidak memahami proses mahkamah yang mengkehendaki kehadiran mereka ke perbicaraan. Tiba-tiba pada bulan April 2011, mereka menerima pula satu lagi notis daripada peguam pemaju yang memaklumkan bahawa satu penghakiman telah dijatuhkan ke atas mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Disember 2010. Perintah mahkamah tersebut mengkehendaki penghuni rumah panjang untuk mengosongkan rumah panjang tersebut sebelum atau pada 25 April 2011.

“Kenapa saya perlu kosongkan rumah ini, padahal pemaju yang gagal membina rumah saya yang dibeli dengan perjanjian jual beli yang sah?” “Bila berlakunya perbicaraan di mahkamah?” Inilah persoalan yang timbul dalam minda keluarga yang diserahkan notis tersebut. Demi mempertahankan hak, mereka memfailkan satu permohonan untuk mengetepikan perintah mahkamah pemaju pada bulan April 2011 (nota 3)

Mereka cemas dan cuba menghubungi pelbagai pihak yang mungkin boleh membantu mereka. Pada ketika itu, ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Panjang PJS 1 telah menghubungi Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput daripada PSM pada masa itu. Dr. Jeyakumar telah berjumpa dengan Jawatankuasa Bertindak pada 14 April 2011. Pemaju juga menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengusir penghuni dari tiga buah rumah panjang yang berada di atas tapak yang ingin dibangunkannya. Longkang utama berhampiran dengan rumah panjang dihalang, menyebabkan insiden banjir berterusan di rumah panjang. Namun, para pembeli rumah RKR Blok E juga tidak berdiam diri, mereka bergerak menghentikan kerja-kerja pemaju di tapak tersebut demi menuntut agar longkang tersebut dibuka semula.

Penghuni yang menduduki tiga buah rumah panjang yang menerima notis pengusiran ialah Mahalingam a/l Veeriah dan Puan Pusparani a/p Ancan serta keluarganya. Mereka ialah pembeli rumah RKR yang sah, memiliki perjanjian jual beli yang dimeteraikan bersama Peter Brickworks Sdn Bhd. Mahalingam pula ialah orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda. Tetapi, tanpa mengendahkan tanggungjawab dalam menunaikan janji membina RKR, pemaju berlumba-lumba untuk membina kondominium mewah di tapak tersebut. Pada 23 Mei 2011, sebuah Notis Mahkamah Tinggi Shah Alam dilekatkan pada pintu rumah Mahalingam dan Pusparani. Notis tersebut berbunyi, “… Belip (bailiff) yang bertandatangan di bawah ini mengambil balik harta tanah… Pada tarikh 30 Mei 2011 atau sebelumnya penghuni atau sesiapa yang tinggal di harta tanah tersebut dengan ini diperintahkan dengan secara aman memindahkan semua barang mereka dan meninggalkan harta tanah tersebut.(nota 4)

Persoalan yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Bertindak Pembeli RKR Blok E PJS1 (JBPRKR) ialah bagaimana pemaju yang gagal membina rumah RKR diberikan kelulusan pembangunan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membina kondominium mewah di tapak rumah panjang. Padahal, pihak MBPJ yang diperintahkan oleh mahkamah untuk menghentikan projek tersebut atas bantahan penduduk Taman Kanagapuram. Jadi, kenapa MBPJ dan Peter Brickworks yang sedar tentang keberadaan penghuni rumah panjang adalah secara langsung disebabkan oleh kegagalan mereka, kini seolah-olah bertindak mengusir seorang “penceroboh” dari tanah mereka? Adakah begitu mudah untuk mengetepikan pembinaan RKR bagi warga miskin kota?

Pada 27 Mei 2011, Dr. Jeyakumar Devaraj, yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput pada masa itu, telah pergi bersama JBPRKR ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) untuk mendesak agar tindakan perobohan pemaju itu dihentikan sehingga isu perumahan diselesaikan. Mereka telah berjumpa dengan Ronnie Liu, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu, memandangkan Ahli Exco yang bertanggungjawab terhadap perumahan, Iskandar Samad, berada di luar negara pada hari itu.

Susulan desakan itu, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengeluarkan satu arahan henti kerja kepada pemaju Peter Brickworks Sdn Bhd pada 30 Mei 2011. Tetapi malangnya, ketiga-tiga buah rumah yang dihuni oleh Mahalingam, Pusparani dan keluarga mereka dirobohkan.

Pelbagai pihak telah turun untuk mendesak agar perobohan tidak dilakukan mengikut arahan mahkamah memandangkan adanya seruan daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ahli Majlis MBPJ pada masa itu, Latheefa Koya (yang juga seorang peguam hak asasi manusia) hampir bertengkar dengan bailif mahkamah dan peguam pemaju beberapa hari sebelum operasi.

Rumah kami diroboh... Kami hilang tempat berteduh!

Pada 2 Jun 2011, JBPRKR telah mendesak campur tangan Kerajaan Negeri Selangor dengan segera agar rumah panjang tidak dirobohkan oleh pemaju. Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu, Iskandar Samad, “berjanji” bahawa rumah tersebut tidak akan dirobohkan. Tetapi yang sebaliknya menjadi kenyataan pada hari keesokannya.

Pada 3 Jun 2011, pihak pemaju bersama dengan bailif dan polis telah mula mengerumuni kawasan rumah panjang Jalan PJS 1/52. JBPRKR bersama dengan para pembeli lain cuba mempertahankan rumah panjang daripada dirobohkan. Wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Pesuruhjaya Mohd Shaani juga telah hadir untuk berunding dengan penguatkuasa agar rumah-rumah tersebut tidak dirobohkan. Tetapi operasi diteruskan!

Mahalingam menyaksikan rumahnya yang telah dirobohkan dengan kejam!

Berikutan peristiwa hitam pada 3 Jun 2011 itu, satu perjumpaan solidariti bersama para pembeli yang telah diusir dengan paksa dianjurkan pada 11 Jun 2011. Perhimpunan tersebut diatur untuk mengumpulkan para aktivis dan menghebohkan insiden kekejaman yang telah dialami oleh rakyat marhaen.

Memorandum kepada SUHAKAM.

SUHAKAM bidas pemaju langgar Deklarasi Habitat Agenda 1992

Berikutan dengan operasi perobohan, satu aduan telah dibuat di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada 10 Jun 2011. Pengerusi Suhakam pada masa itu, Tan Sri Hasmy Agam, mengecam tindakan itu dengan menegaskan bahawa ia bertentangan dengan Deklarasi Habitat Agenda 1992 dan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengusiran Paksa 1993.

Pemaju buat aduan polis  Mangsa pengusiran paksa dituduh mencerobohi tanahnya

Pada 7 Jun 2011, saya berkejar ke tapak perobohan rumah di mana 3 buah keluarga telah mendirikan khemah untuk terus berjuang. Saya bersama para pembeli melihat bahawa pemaju telah mendirikan beberapa buah tembok zink sebagai penghadang dengan niat untuk menghalang penduduk rumah panjang daripada memasuki semula kawasan rumah yang dirobohkan itu. Saya terus merobohkan tembok tersebut bersama penduduk disitu. Sejurus kemudian, pihak polis sampai.

ASP Rukukumar dari IPD Petaling Jaya turun dengan Light Strike Force, untuk menangkap saya serta semua penduduk atas aduan pemaju. Tetapi, apabila ditanya mengenai aduan polis penduduk terhadap pemaju pula, dia berkata, “tak pernah tengok.” Selepas lebih ramai para penyokong sampai ke lokasi tersebut, pihak polis tidak meneruskan tindakan tangkapan dan beredar dari situ.

Rumah dirobohkan tetapi warga OKU Mahalingam terus berjuang

“Saya mati pun, saya tidak mahu keluar dari tanah ini,” begitulah seruan Mahalingam.  Walaupun seorang OKU, semangat perjuangan Mahalingam harus disegani. Setelah rumahnya dirobohkan pada 3 Jun 2011, beliau terus kekal di tempat tersebut dengan mendirikan khemah. Pada 9 Jun 2011, Kerajaan Negeri Selangor, melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), mengeluarkan notis berhenti kerja kepada syarikat Peter Brickworks kerana syarikat itu merobohkan rumah tanpa membina rumah RKR Blok E.

Perjuangan menuntut keadilan terhadap perobohan rumah mereka diteruskan oleh keluarga Pusparani, Mahalingam berserta dengan ahli-ahli JBPRKR. Cuaca panas dan hujan dilalui oleh mereka selama 36 hari berterusan tanpa berganjak dari khemah tersebut. Kecekalan perjuangan mereka berhasil apabila Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. Pada 16 Jun 2011, dua orang Ahli Exco Kerajaan Negeri turun ke PJS 1 untuk melawat dan membincangkan satu penyelesaian bagi keluarga-keluarga yang dianiayai ini. Sebagai penyelesaian Kerajaan Negeri menawarkan Mahalingam sebuah unit flat di Blok C secara percuma dan Pusparani pula ditawarkan subsidi sewa selama dua tahun, termasuk elaun pemindahan berjumlah sebanyak RM14,285. Subsidi ini diperuntukkan untuk membolehkan mereka menyewa rumah sehingga RKR Blok E siap dibina (nota 5). Pada masa yang sama, sewa rumah transit di rumah panjang dan juga rumah PPR Lembah Subang dikecualikan oleh MBPJ kepada semua pembeli yang lain.  

Pembeli tuntut janji MB selesai masalah dalam masa 4 hari!

Walaupun isu pembeli-pembeli yang rumah panjang mereka dirobohkan itu diselesaikan, 276 orang pembeli RKR Blok E yang lain masih belum menerima apa-apa maklumat daripada Kerajaan Negeri mengenai pembinaan Blok E. Pada bulan Jun 2011, semasa protes khemah masih berlangsung, Menteri Besar Selangor berjanji akan berbincang dalam masa 4 hari dengan Peter Brickworks Sdn Bhd dan mengemukakan jalan penyelesaian kepada projek RKR Blok E yang terbengkalai itu. Tetapi, 5 bulan telah berlalu tanpa apa jua berita daripada Kerajaan Negeri Selangor, walaupun JBPRKR telah menghantar beberapa surat peringatan yang bertarikh 13 Jun, 19 Ogos dan 26 September 2011. Justeru, para pembeli telah merancang untuk sekali lagi turun protes pada bulan November 2011. Protes menuntut Menteri Besar untuk menunaikan janji menyelesaikan masalah RKR Blok E PJS 1 diadakan pada 15 November 2011 di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Menteri Besar pada masa itu Tan Sri Khalid berjumpa dengan wakil pembeli diketuai oleh Sugumaran semasa aksi protes pada 15 November 2011. Dia berjanji bahawa akan mengadakan mesyuarat dengan pemaju dan kemudiannya dengan jawatankuasa pembeli rumah.

Rumah mampu milik RM90,000? Mampu untuk siapa?

Susulan daripada tindakan protes di Bangunan SUK Selangor dan desakan yang dilakukan apabila berjumpa dengan Menteri Besar, beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu pembeli RKR Blok E. Pada bulan Disember 2011, Menteri Besar mengadakan satu perjumpaan dengan semua pembeli untuk memberikan tiga pilihan kepada pembeli RKR Blok E, iaitu: 1) membeli rumah “mampu milik” berharga RM90,000 seunit yang akan dibina di tapak Blok F yang asal; 2) berpindah ke rumah PPR di Lembah Subang 2 (bersama dengan pampasan RM20,000); 3) berpindah ke rumah PPR di mana-mana kawasan di Selangor (bersama dengan pampasan RM13,000).

Majoriti 276 orang pembeli tersebut menolak tawaran tersebut kerana mereka tidak mampu untuk membeli rumah berharga RM90,000 (walaupun dijenamakan sebagai “mampu milik”). Tambahan pula, mereka tidak ingin menetap di kawasan selain daripada Petaling Utama.

Pendirian pembeli ini dimaklumkan oleh JKBPRKR kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui perjumpaan dengan Exco Perumahan pada masa itu, Iskandar, pada 4 Januari 2012 dan surat bertarikh 11 Januari 2012. Surat tersebut membangkitkan semula permasalahan lain seperti isu faedah bank, sewa bulanan PPR, pampasan kelewatan projek, kos guaman dan masalah mereka yang tercicir daripada tawaran rumah.

Para pembeli juga tidak berpuas hati dengan cara isu mereka ditangani oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah kerana segala mesyuarat dan cadangan penyelesaian dibincangkan oleh Kerajaan Negeri tanpa kehadiran perwakilan pembeli. Segala keputusan mesyuarat dibuat tanpa penyertaan pembeli dan seolah-olah cadangan penyelesaian tersebut dipaksakan ke atas mereka untuk menerimanya. Apabila pembeli tidak berpuas hati dengan cadangan tersebut, mereka dituduh sebagai degil dan keras kepala!

Tawaran rumah RM90,000 dibatalkan – Kerajaan Negeri terpaksa ikut hasrat dan realiti kemampuan pembeli

Berikutan dengan penolakan tawaran membeli rumah berharga RM90,000, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengemukakan semula pilihan untuk membina semua Blok E pada 20 Januari 2012. Para pembeli sedia menerima pilihan tersebut dan telah memaklumkan persetujuan tersebut. Pada 4 April 2012, JBPRKR telah menulis semula kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk meminta maklum balas dan perkembangan tawaran tersebut kerana tidak menerima maklum balas sejak bulan Januari 2012. Pada 16 April 2012, Dr. Mohd Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara pada masa itu yang juga merupakan Pengerusi Nasional PSM, menulis satu surat kepada Menteri Besar untuk mendesak maklum balas segera, tetapi permintaan untuk mengadakan mesyuarat bersama JBPRKR tidak dilayan.

Maklum balas hanya diterima daripada LPHS pada 26 Jun 2012, setelah satu surat dihantar oleh JBPRKR “mengugut” bahawa para pembeli akan turun sekali lagi mengadakan protes “duduk bantah” di hadapan bangunan SUK Selangor pada 10 Julai 2012. Tetapi surat LPHS tersebut hanya memaklumkan bahawa hasrat pembeli untuk RKR Blok E direkodkan dan pihak MBPJ pula akan mengadakan mesyuarat susulan dengan pembeli.

Kerajaan Negeri mula bertindak

Perjuangan pembeli RKR PJS 1 jelas membuktikan bahawa tanpa desakan dan kegigihan pembeli, isu mereka tidak akan mencapai kemajuan. Berikutan dengan gertakan pembeli untuk mengadakan aksi duduk bantah pada 10 Julai 2012, satu perjumpaan telah diaturkan pada 21 Julai 2012 bersama Menteri Besar pada masa itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, di Dewan Serbaguna MBPJ Petaling Utama. Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu bahawa tanah daripada pemaju akan dirampas untuk membina RKR PJS 1 dan ia akan dijual dengan harga asal, iaitu RM35,000 seunit. Beliau juga memberitahu mengenai peruntukan yang telah diluluskan untuk menyelenggarakan rumah panjang. Pada 31 Julai 2012, MBPJ telah mengadakan lawatan bersama ADUN Taman Medan ke rumah panjang untuk mengenal pasti situasi dan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan. Peruntukan sebanyak RM500,000 dikatakan telah disediakan untuk membaik pulih rumah panjang berikutan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 17 Oktober 2012.

Perkembangan tersebut berlaku kerana asakan yang berterusan daripada para pembeli RKR dan JBPRKR. Pada bulan Oktober 2012, para pembeli telah turun ke MBPJ untuk mengadakan satu aksi duduk bantah. Mereka telah berhimpun di lobi bangunan ibu pejabat MBPJ untuk menuntut agar kerja-kerja baik pulih rumah panjang dijalankan dengan segera.

Pada 30 Januari 2013, MBPJ mengadakan satu perjumpaan dengan JBPRKR untuk membentangkan cadangan pembangunan RKR yang dituntut, di mana cadangan tapak pembinaan ialah sama ada di Lot 37199 Jalan PJS 1/52 kepunyaan Tetuan Kembar Empat (anak syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd) ataupun tanah kerajaan di lot berhampiran.

Sebelum perjanjian jual beli untuk rumah, selesaikan 26 isu tertangguh dahulu

JBPRKR sejak awal lagi telah membangkitkan pelbagai isu yang masih tertangguh dan tidak diberikan kata putus oleh Kerajaan Negeri Selangor dan MBPJ. Penyelesaian yang diberikan oleh mereka seolah-olah tidak menyeluruh dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pembeli. Antara isu-isu tersebut ialah: maklumat pasti lokasi membina RKR baharu, sama ada ia akan dibina oleh Peter Brickworks atau agensi Kerajaan Negeri, status pembeli yang kehabisan subsidi sewa bulanan, siapa yang menanggung sewa rumah transit Lembah Subang, isu-isu di PPR Lembah Subang, penyelenggaraan rumah panjang, status wang pendahuluan, faedah bank, kos guaman perjanjian baharu, nama pembeli yang disenaraihitamkan, 15 buah keluarga yang tercicir, pembeli kedai, pembeli meninggal dunia, pembeli OKU, elaun pemindahan dan sebagainya.

Pada 17 November 2012, JBPRKR telah menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar dan Iskandar selaku Exco Perumahan mengenai 26 isu tersebut. Setelah melalui pelbagai janji ahli politik dan pemaju untuk membina rumah mereka, para pembeli RKR PJS1 amat curiga dengan percakapan retorik yang tidak konkrit dan tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah mereka secara jelas.

Justeru, mereka terus mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani isu mereka secara serius. Penyelesaian isu para pembeli haruslah menyeluruh, melihat kepada segala permasalahan sepertimana yang dibangkitkan dalam 26 isu tersebut. Perjumpaan telah diadakan antara Menteri Besar dan JBPRKR pada 24 November 2012 untuk membincangkan isu-isu berkenaan penyelesaian pembinaan RKR.  

Dalam satu mesyuarat susulan yang diadakan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, JBPRKR difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengeluarkan notis 7A untuk merampas tanah pemaju, tetapi proses tersebut belum selesai diperingkat Pentadbir Tanah.

Melangkah ke tahun 2013, sudah hampir sembilan tahun Masih tiada kepastian dapat RKR!

Selain daripada permasalahan berterusan yang dialami oleh para pembeli yang tinggal di rumah transit atau rumah panjang di Jalan PJS 1/52, para pembeli yang menduduki PPR Lembah Subang juga mengalami pelbagai cabaran. Cabaran dari segi pengurusan sewa, kemudahan dan kesesakan di perumahan PPR. Mereka berada dalam satu keadaan yang tidak menentu, tanpa hala tuju mengenai perumahan RKR Blok E yang telah dibeli oleh mereka pada tahun 2004. JBPRKR kerap mengadakan sesi taklimat dan perbincangan di PPR Lembah Subang dengan semua pembeli agar mereka tidak berputus asa dalam perjuangan ini.

Perjuangan 276 orang pembeli RKR Blok E diteruskan tanpa mengerti penat lelah. Pada bulan Februari 2013, sekali lagi pihak JBPRKR menaiki tangga SUK untuk menuntut penyelesaian pembinaan RKR dan 26 isu lain yang telah dibangkitkan sebelum ini. Beberapa surat untuk berjumpa dengan Menteri Besar dihantar tetapi ia tidak menerima respons. Pilihan raya umum juga telah diadakan pada tahun 2013, tetapi masalah perumahan mereka seolah-olah terbiar di tengah jalan tanpa hala tuju.

Justeru, selepas pilihan raya umum yang berakhir pada bulan Mei 2013, JBPRKR mula merancakkan aksi perjuangan mereka. Satu perjumpaan besar dengan semua pembeli diadakan pada bulan Jun 2013 untuk mendapatkan satu mandat bagi aksi seterusnya. Para pembeli memberikan persetujuan sebulat suara untuk turun protes semula di Bangunan SUK Selangor pada 3 Julai 2013 jika tiada jawapan daripada Pejabat Menteri Besar.

Turun protes semula di depan Bangunan SUK Selangor

Sepertimana yang diputuskan, lebih 100 orang pembeli RKR Blok E turun semula untuk berprotes di hadapan Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pada 3 Julai 2013. Mereka tidak berpuas hati bahawa permasalahan mereka ditolak kepada MBPJ untuk diselesaikan memandangkan MBPJ jelas tidak menggerakkan apa-apa penyelesaian ke arah pembinaan semula RKR. Sudah pasti kuasa tersebut terletak dalam tangan Menteri Besar. Oleh kerana pihak Menteri Besar tidak memberikan apa-apa respons dalam perkara ini, para pembeli menuntut agar satu mesyuarat perlu diadakan dengan Menteri Besar untuk mendapatkan kata putus mengenai pembinaan RKR ini. Tetapi apa yang menantikan mereka di Pejabat SUK ialah layanan yang mengecewakan. Pintu SUK ditutup, membiarkan para pembeli berjemur di tengah kepanasan tanpa dibenarkan masuk.

“Kita akan pasang khemah dan duduk di sini dalam sehingga dapat berjumpa dengan MB,” kata Sugumaran, wakil JBPRKR.

Para pembeli amat tidak berpuas hati pada hari itu, kerana tidak dapat satu tarikh tetap untuk berjumpa dengan Menteri Besar. Mereka hanya menerima surat dari Pejabat Menteri Besar yang memaklumkan satu tarikh akan ditetapkan kelak selepas sesi Dewan Undangan Negeri.

Malangnya perjumpaan yang dijanjikan itu tidak berlaku, walaupun dua bulan telah berlalu. Sekali lagi pada bulan Ogos, 2013, satu delegasi seramai 20 orang pembeli bersama JBPRKR telah hadir ke Pejabat Menteri Besar untuk bertanyakan kenapa mesyuarat belum dipanggil lagi.

Apabila Kerajaan Negeri Selangor mula membisu, perjuangan beralih ke Kementerian Perumahan

Perjuangan selama ini yang telah memfokus kepada Kerajaan Negeri, kini mengolah taktik baharu yang boleh diusahakan untuk mencari penyelesaian. Analisis mengenai peranan agensi kerajaan lain dikupas untuk memahami skop tugas dan kemungkinan ia menjadi sasaran aksi seterusnya. Mereka tidak berpuas hati bagaimana pula sebuah syarikat pemaju yang tidak layak membina RKR PJS 1 terus diberikan lesen pemajuan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Lesen kebenaran untuk membangunkan dan menjual rumah dikeluarkan oleh KPKT di bawah Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, para pembeli bersetuju untuk membawa perjuangan mereka ke peringkat Kementerian Perumahan untuk mempersoalkan tingkah laku pemaju yang begitu mudah mengetepikan tanggungjawabnya terhadap pembinaan RKR, dan memperolehi lesen jualan hartanah untuk projek mewah yang lain. Pada bulan Julai, 2014, para pembeli dan JBPRKR telah turun protes di hadapan ibu pejabat KPKT.

Memorandum kepada KPKT menuntut campur tangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyekat apa-apa permohonan pembangunan baharu daripada syarikat Peter Brickworks sehingga projek perumahan RKR PJS 1 diselesaikan. Mereka juga menuntut agar KPKT mendesak Peter Brickworks untuk membayar pampasan lewat dan memastikan bahawa pihak bank yang telah memberikan pinjaman kepada projek terbengkalai ini berhenti menuntut bayaran dan mengenakan caj faedah pinjaman.

Tetapi jawapan yang diterima daripada KPKT pada 23 Oktober 2014 adalah amat mengecewakan. KPKT hanya sekadar melaporkan kronologi tawaran tahun 2012 yang sedia maklum oleh para pembeli. KPKT menolak balik isu ini kepada LPHS dan MBPJ untuk diselesaikan.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh JBPRKR pada 12 Oktober 2014, para pembeli mengecam KPKT kerana tidak menjemput wakil pembeli ke mesyuarat yang telah diadakan oleh  pihak Kementerian dengan MBPJ, LPHS dan pemaju. Sekali lagi, pihak kerajaan selalu meninggalkan penglibatan rakyat yang terkesan daripada perbincangan.  

JBPRKR juga sentiasa berusaha untuk mengekalkan penglibatan dan komitmen para pembeli dalam usaha-usaha perjuangan. Sememangnya tidak mudah untuk mengendalikan 276 orang pembeli yang terselerak di beberapa lokasi sementara menantikan perumahan RKR tersebut. Pada bulan Julai 2014, JBPRKR mengeluarkan satu borang “Akujanji” kepada semua pembeli untuk mengesahkan sokongan mereka kepada perjuangan yang sedang diusahakan oleh JBPRKR.  Walaupun tiada seratus peratus pembeli yang memberi respons, majoriti pembeli mengesahkan sokongan mereka kepada usaha JBPRKR.

Langkah Kajang dan pergolakan politik berterusan, tetapi rakyat terus diketepikan

Tahun 2014 berlalu tanpa memperlihatkan apa-apa perkembangan dalam isu perumahan para pembeli RKR PJS 1. Para pembeli juga menjadi mangsa krisis politik yang timbul dalam Kerajaan Negeri Selangor. Ia dikenali sebagai “Langkah Kajang”, di mana ia diatur oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari kerusi Menteri Besar. Oleh kerana Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara, maka Wan Azizah bertanding di Kajang dan memenangi kerusi tersebut, demi membolehkannya untuk menerajui kepimpinan Selangor. Tetapi oleh kerana tidak dipersetujui oleh Istana Selangor, maka Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Pergolakan ini secara langsung menangguhkan apa jua perkembangan dalam isu pembinaan RKR ini kerana Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah mengikutinya dari awal lagi dan telah memberikan komitmen untuk menyelesaikannya.

Mula semula dari gear pertama

JBPRKR seolah-olah merasakan mereka memulakan semula komunikasi dengan Kerajaan Negeri dari awal. Surat tersebut menceritakan kronologi permasalahan perumahan dari awal sehingga ke tahap di mana para pembeli tidak menerima apa-apa penyelesaian daripada Kerajaan Negeri.

Pada 25 Januari 2015, para pembeli telah menyampaikan sebuah memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada masa itu, Mohamed Azmin Ali, untuk memohon campur tangannya dalam menyelesaikan penantian pembeli selama 11 tahun. Berikutan daripada aksi tersebut, para pembeli dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa Azmin Ali telah pun membincangkan perkara ini dan menetapkan agar RKR mereka dibina di tapak Blok F, Jalan PJS 1/52. Tetapi selepas itu, JBPRKR tidak menerima apa-apa pemberitahuan rasmi mengenai cadangan penyelesaian ini.

Kerajaan Negeri tidak aturkan mesyuarat, rakyat aturkan sesi untuk kerajaan

Oleh kerana tiada maklum balas yang diterima berhubung permintaan JBPRKR untuk sesi taklimat, maka JBPRKR pun mengaturkan satu sesi dengan semua pembeli dan menjemput pihak kerajaan untuk hadir memberikan taklimat. Surat JBPRKR bertarikh 23 Jun 2015 telah menjemput wakil Pejabat Menteri Besar Selangor, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk hadir memberikan taklimat kepada para pembeli pada 8 Julai 2015. Walaupun tiada wakil daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor yang hadir pada hari itu, kehadiran para pembeli amat memberangsangkan. Ia memberikan motivasi kepada pihak JBPRKR untuk terus berjuang.

Selepas sesi tersebut, barulah JBPRKR menerima makluman mengenai rancangan kerajaan melalui surat MBPJ yang bertarikh 17 September 2015. MBPJ memaklumkan bahawa RKR akan dibina di tapak tanah Blok F dahulu oleh Peter Brickworks dan pinjaman bank untuk pembeli akan diaturkan oleh AmBank. Justeru, JBPRKR telah bergerak terus untuk mengemaskinikan senarai nama pembeli dengan segera supaya disampaikan kepada MBPJ agar tiada sesiapa yang berhak menerima tawaran RKR baharu itu tertinggal.

Pada bulan Februari, 2016, JBPRKR atas maklumat bekas Ahli Majlis MBPJ, Maharul, telah mengesan dan menghubungi para pembeli RKR Blok E, termasuk mereka yang tercicir daripada senarai 262 pembeli. Nama 15 orang yang tertinggal juga dipastikan dan disampaikan kepada MBPJ. Selanjutnya MBPJ memaklumkan mengenai cadangan penubuhan Taskforce Kecil Pembinaan RKR Blok E PJS 1 yang merangkumi wakil pembeli akan dibentuk kelak.

Akhirnya para pembeli terima tawaran membeli rumah... tetapi?

Pada bulan April 2016, para pembeli menerima surat secara individu daripada Radikal Kirana Sdn Bhd (sebuah anak syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd) bahawa perumahan pangsa kos rendah akan dibangunkan di tanah hak milik PM 1264,  Lot 37199 Jalan PJS 1/52, Petaling Utama. Pemaju memaklumkan bahawa tawaran tersebut memerlukan persetujuan para pembeli untuk mereka meneruskannya. Projek tersebut hanya akan diteruskan jika mendapat mandat persetujuan daripada 90% para pembeli. Tawaran tersebut memaklumkan bahawa wang deposit yang dibayar untuk perjanjian jual beli lama Blok E akan dipindahkan sebagai pendahuluan untuk projek baharu serta kos guaman perjanjian baharu akan ditanggung oleh pemaju.

Pihak JBPRKR telah membincangkan perkara ini secara mendalam dengan pembeli. Walaupun timbulnya isu-isu yang tidak dapat dipersetujui secara menyeluruh dalam syarat tawaran pemaju, mereka merasakan jika mereka menolak tawaran itu secara bulat-bulat, maka ia akan memudahkan pemaju untuk terus membatalkan usaha penyelesaiannya dengan Kerajaan Negeri atas alasan bahawa pembeli degil. Justeru, para pembeli bersetuju untuk menerima tawaran dengan syarat. Setiap pembeli diberikan sebuah surat terima tawaran standard yang berlampir dengan syarat-syarat pembeli. Antara syarat-syarat pembeli ialah:

  • Perjanjian jual beli lama (untuk Blok E) hanya dibatalkan selepas perjanjian jual beli baharu diteliti dan dipersetujui;
  • Hak menuntut pampasan lewat dikekalkan;
  • Satu surat perjanjian sampingan (supplementary agreement) dibuat untuk menangani isu-isu penyelesaian selepas rundingan dengan MBPJ.

Pemaju menolak syarat-syarat yang diminta dan melanjutkan tarikh akhir tawaran tersebut. Maka JBPRKR mula mengemukakan tuntutan mengenai pampasan kelewatan membina rumah kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor. Dalam surat yang bertarikh 14 Julai 2016 kepada Exco Perumahan Iskandar Samad, JBPRKR mencadangkan agar pemaju haruslah membina rumah tersebut dengan kemudahan tambahan atau memberikan diskaun tambahan terhadap harga jualan kepada para pembeli sebagai gantian kepada pampasan pembinaan lewat. Satu perbincangan diadakan dengan Dato’ Iskandar Samad, di mana beliau mencadangkan JBPRKR untuk mendapatkan persetujuan semua pembeli dahulu.

Pada 7 September 2016, semua pembeli bersetuju dan memberikan mandat kepada JBPRKR untuk membincangkan jika rumah yang akan dibina tersebut boleh dinaiktarafkan saiznya daripada 650 kaki persegi (iaitu dalam perjanjian jual beli lama Blok E) kepada spesifikasi baharu Kerajaan Negeri Selangor, iaitu 750 kaki persegi bersama kemudahan pembangunan mengikut spesifikasi Rumah Selangorku. Tambahan pula, pembeli menuntut pampasan sejumlah RM15,000 bagi setiap orang pembeli.

Pemaju tidak berganjak daripada tawarannya dan pihak LPHS nampaknya tidak ingin mengambil kira tuntutan penduduk. Walau bagaimanapun, tawaran tersebut dilanjutkan sehingga 6 Mac 2017. JBPRKR menggunakan masa tambahan ini untuk terus mendesak pelbagai pihak agar mempertimbangkan tuntutan alternatif kepada pampasan pembinaan lewat yang dicadangkan oleh pembeli. Beberapa surat dihantar kepada Menteri Besar Selangor untuk memohon campur tangan beliau memandangkan isu kelewatan tersebut berkait dengan kecuaian MBPJ. Jika MBPJ mengikuti tatacara pembangunan yang betul, maka tidaklah mudah untuk penduduk Taman Kanagapuram menghentikan projek RKR Blok E. Justeru, para pembeli menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab untuk menanggung kerugian yang dialami oleh para pembeli miskin kota yang dinafikan perumahan.

Kerajaan Negeri mengalah kepada pemaju? 

Malangnya dalam satu perjumpaan dengan Shahrizal selaku Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar pada masa itu, Hj. Kamaruzaman selaku pembantu khas Dato’ Iskandar dan Azam selaku Timbalan Pengarah Lembaga Perumahan Hartanah Selangor pada Jun 2017, para pembeli dimaklumkan bahawa mereka terpaksa menerima tawaran pemaju, iaitu: bayaran balik 10% wang pendahuluan pembelian Blok E, faedah pinjaman AmFinance diselesaikan, bayaran sagu hati RM500 dan kos guaman pembatalan perjanjian jual beli lama. Tetapi saiz rumah dikekalkan pada 650 kaki persegi. Kerajaan Negeri nampaknya seolah-olah mengalah kepada pemaju dan meminta penduduk mengambil tindakan mahkamah jika masih tidak berpuas hati. Sebagai penyelesaian, Kerajaan Negeri hanya dapat menawarkan rumah sewa beli di sekitar Selangor.

Rakyat tidak mengalah!

Para pembeli tidak mengalah. Mereka memulakan sebuah kempen turun padang untuk bertemu dengan rakyat jelata dan meraih sokongan orang ramai. Kempen ini dijalankan untuk mendapatkan sokongan awam kepada permintaan pampasan lewat. Risalah ringkas menerangkan rasional tuntutan mereka diedarkan sambil tandatangan sokongan dikumpul.

Tawaran yang munasabah – Satu kemenangan hasil daripada kecekalan perjuangan para pembeli

Pada 2 Januari 2018, LPHS memaklumkan bahawa isu menaik taraf rumah kepada 750 kaki persegi telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan mereka menunggu maklum balas Kerajaan Negeri. Selanjutnya pada 1 Jun 2018, MBPJ memaklumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 21 Mac 2018 seperti berikut:

  • RKR akan dibina mengikut spesifikasi Rumah Selangorku Jenis A, iaitu bersaiz 700 kaki persegi;
  • Harga jualan akan dikekalkan pada harga belian asal 14 tahun yang dulu, iaitu RM35,000 seunit bagi keluarga pertama dan RM42,000 bagi keluarga kedua.

Pada 10 Jun 2018, satu perjumpaan diadakan dengan semua pembeli untuk memaklumkan kejayaan perjuangan ini. Dalam perjumpaan yang sama, kedua-dua wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN dijemput untuk memastikan agar mereka terus membantu dalam menyelesaikan isu ini selari dengan hasrat rakyat. ADUN Taman Medan Ustaz Shamsul dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut hadir ke perjumpaan tersebut dan menerima memorandum tuntutan penyelesaian daripada para pembeli.

Pada 22 Jun 2018, JBPRKR menulis semula surat kepada MBPJ untuk memaklumkan persetujuan semua pembeli atas tawaran tersebut dan meminta penjelasan beberapa isu-isu sampingan seperti pinjaman bank, 15 orang pembeli yang tercicir, pengecualian sewa bagi pembeli yang masih menduduki PPR Lembah Subang dan elaun pemindahan ke rumah baharu apabila ia siap dibina.

Satu lagi perjumpaan besar diaturkan di Dewan MBPJ untuk memaklumkan kepada para pembeli tentang perkara-perkara yang perlu disediakan untuk membeli rumah baharu yang akan ditawarkan kelak. Perjumpaan besar ini telah dihadiri oleh ADUN Taman Medan Ustaz Syamsul Firdaus, Pegawai Khas Ahli Parlimen Petaling Jaya Audi Ali, saya, peguam Nalini dan Bawani daripada PSM. Para peguam yang hadir menasihati para pembeli mengenai isu-isu pemindahan nama kepada waris dan sebagainya.

Pihak JBPRKR juga cuba membantu beberapa orang pembeli dengan menasihati mereka mengenai isu penukaran nama dan melantik waris untuk memudahkan proses menandatangani perjanjian jual beli yang baharu nanti.  

Susulan jaminan pembinaan RKR tersebut, beberapa siri perjumpaan diaturkan untuk menasihati dan menyediakan para pembeli untuk membeli rumah tersebut. Sebagai satu pergerakan marhaen miskin kota, lokasi-lokasi pertemuan adalah sama ada di kedai Mamak atau bengkel motor Mahendran (salah seorang ahli jawatankuasa), atau di bawah khemah. Di situlah idea-idea baharu dan progresif timbul dan dibincangkan. Apa jua keputusan mengenai perjuangan dibincang dan diambil secara demokratik dengan penyertaan penuh rakyat.

Tanah untuk pembinaan RKR baharu perlu digabungkan

Pada awal tahun 2019, para pembeli mendapat tahu bahawa pembinaan tidak boleh dimulakan lagi kerana tanah yang dikenal pasti untuk pembinaan perlu digabungkan lot-lotnya. Lot-lot yang terlibat ialah Lot 32458 dan sebahagian Lot 3209. Oleh itu, JBPRKR mula bertindak untuk memantau perkara ini dengan teliti. Aksi juga diadakan di tapak tanah tersebut untuk memastikan ia tidak dibangunkan untuk projek selain daripada projek RKR.

Satu surat dihantar kepada ADUN Taman Medan untuk meneliti perkara ini, dan JBPRKR sendiri mula berhubung terus dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk mengetahui perkembangannya. Pejabat Tanah Petaling melalui satu e-mel memaklumkan bahawa permohonan pembangunan projek telah dikemukakan oleh pemaju Kembar Empat Sdn Bhd (anak syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd) pada 21 Jun 2019 dan berada dalam tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Dimaklumkan juga bahawa isu ini diberikan keutamaan oleh pihak-pihak berkenaan. Pihak JBPRKR telah memantau perkembangan proses kelulusan ini melalui pelbagai pihak, iaitu MBPJ, Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan juga pemaju sendiri. Pemaju mengumumkan pada bulan November 2019 bahawa setelah selesainya penggabungan lot tanah, barulah mereka dapat memohon untuk lesen jualan rumah dan seterusnya membukanya untuk perjanjian jual beli.

Pada ketika yang sama, JBPRKR tidak melupakan isu pembeli kedai dan juga 15 orang bekas peneroka yang tercicir daripada menandatangani perjanjian jual beli pada tahun 2004. Beberapa mesyuarat diadakan dengan MBPJ dan juga ADUN Taman Medan berkenaan isu tersebut.

Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, sekaligus mengekang pergerakan rakyat dan aktiviti perjuangan. Walau bagaimanapun, beberapa mesyuarat diadakan dengan mematuhi segala SOP kesihatan yang diamalkan pada ketika itu.

Pada tahun 2021, JBPRKR berjaya mendapatkan pertemuan dengan LPHS untuk mengetahui perkembangan projek pembinaan RKR yang dinantikan. Dimaklumkan bahawa kerja-kerja kelulusan perancangan pembangunan telah siap.

Surat tawaran dikeluarkan – RKR dinamakan Pangsapuri Rima Riang

Pada bulan Julai tahun 2022, saat yang dinanti-nantikan sampai apabila surat tawaran kepada semua 249 orang pembeli Blok E yang asal dikeluarkan. Rumah baharu yang akan dibina diberikan nama Pangsapuri Rima Riang, dan merupakan Rumah Selangorku Jenis A.

Surat tawaran bertarikh 25 Julai 2022 tersebut membuka tawaran sehingga 22 September 2022 untuk para pembeli mengesahkan penerimaannya. Rumah yang bersaiz 700 kaki persegi ini akan dijual dengan harga asal yang dijual 18 tahun yang lalu, iaitu RM35,000 bagi keluarga pertama dan RM42,000 bagi keluarga kedua. Ia akan mempunyai 3 buah bilik, sebuah ruang tamu dan sebuah ruang makan.

JBPRKR telah mengadakan satu lagi mesyuarat besar dengan semua pembeli di Dewan MBPJ untuk memaklumkan kepada semua pembeli agar segera menerima tawaran tersebut dan menyediakan segala dokumen yang perlu.

Kerja di tapak pembinaan bermula – Perjanjian jual beli baharu dimeterai

Pada bulan Julai 2022, LPHS memaklumkan bahawa projek Rumah Selangorku Rima Riang telah menerima lesen pemajuan dan permit iklan jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kini sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan tapak. Kerja pembinaan dijangka bermula pada awal bulan Ogos 2022. Yang lebih menarik ialah apabila Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa mereka akan membeli keseluruhan 249-unit tersebut dahulu bagi membantu aliran tunai pembangunan dan membantu pembeli mendapatkan pinjaman kemudian (nota 6).

Perjumpaan besar dengan semula pembeli RKR Blok E PJS 1 pada bulan Ogos 2022.

Seterusnya, pada bulan Januari 2023, LPHS mengeluarkan surat makluman bahawa perjanjian jual beli mungkin akan ditandatangani pada bulan Mac 2023, dan memohon semua pembeli untuk membuat bayaran 10% bagi rumah tersebut. Akhirnya, satu lagi detik sejarah bagi para pembeli RKR Blok E adalah apabila mereka menandatangani perjanjian jual beli baharu untuk Rumah Selangorku Rima Riang pada 14 Februari 2025. Harapan untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan dengan termeterainya perjanjian baharu ini.

Perjuangan yang berlarutan lebih dua dekad ini berakhir pada bulan Oktober 2025 apabila para pembeli mengambil kunci rumah baharu Pangsapuri Rima Riang dan mula berpindah ke situ. Ini bukan bermakna bahawa semua isu telah selesai. JBPRKR masih menyusuli tindakan untuk mendapatkan tawaran rumah bagi 15 orang yang tercicir dan juga tawaran pembelian kedai.

Di Rumah Riang pula, beberapa isu perlu diselaraskan seperti bayaran penyelenggaraan yang tinggi dan perkara-perkara infrastruktur rumah dan persekitaran. Justeru, penghuni baharu Pangsapuri Rima Riang, iaitu bekas pejuang RKR Blok E yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam menguruskan dan membina satu perjuangan, perlu mengatur diri dan menggerakkan satu era perjuangan baharu sekarang. Agar Rima Riang menjadi satu perumahan yang selesa dan sesuai untuk semua. Salam perjuangan!  

==========

Sivarajan Arumugam ialah Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah dan Kedai Blok E PJS 1, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota:

1. Perintah Mahkamah daripada Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam mengenai permohonan bagi Semakan Kehakiman No.MT3-21-51-2004, oleh YA Datuk Paduka Zaleha binti Zahari. Kes Indrani a/p Rasiah lwn Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Lee Man Construction Company Sdn Bhd dan Peter Brickworks Sdn Bhd.

2. Sinar Harian (2009), Enam tahun tagih pemaju tunai janji, 13 Mei 2009, keratan akhbar.

3. Lee Man Construction & Peter Brickworks Sdn Bhd Lwn Puspharani a/p Anchan, Affidavit Sokongan, Mahkamah Tinggi Shah Alam – No.22-1540-2010

4. Lee Man Construction & Peter Brickworks Sdn Bhd Lwn Puspharani a/p Anchan, Notis Mahkamah Tinggi Shah Alam – No.22-1540-2010

5. Nair (2011) ‘Living in transit’, 22 Jun 2011, Star Metro, The Star.

6. Surat LPHS (8 Julai 2022), Rujukan: LPHS.UPKB.600-4/2/34(28)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *