
KUALA LUMPUR: Masyarakat sivil menyatakan kebimbangan terhadap akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan tatacara pengendalian piawai (SOP) dalam institusi kepolisan susulan pelbagai insiden yang dianggap wujudnya penyalahgunaan kuasa polis. Kebimbangan ini disampaikan dalam memorandum yang diserahkan oleh Sekretariat Himpun kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 11 Februari 2026.
Memorandum daripada Sekretariat Himpun yang disokong oleh 27 buah organisasi masyarakat sivil menyenaraikan beberapa isu berkaitan institusi kepolisan baru-baru ini, termasuk:
- Penyalahgunaan undang-undang keselamatan terhadap kanak-kanak: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah digunakan terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 16 tahun di Jitra, Kedah, dengan penahanan hampir 10 hari, jelas bercanggah dengan prinsip perlindungan kanak-kanak seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2017.
- Penggunaan kuasa maut yang boleh dipersoalkan dan kegagalan penilaian awal SOP: Beberapa insiden yang melibatkan penggunaan senjata maut dan kekerasan yang tidak perlu, menimbulkan persoalan tentang budaya kepolisan yang menormalisasi penggunaan kekerasan dan kegagalan dalam mematuhi disiplin secara profesional.
- Kelewatan keadilan dan ketidakpatuhan keputusan mahkamah: Dalam kes kematian Soosaimanicckam a/l Joseph pada bulan Mei 2019 semasa Latihan Pegawai Kadet Graduan TLDM, walaupun laporan polis dan memorandum telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara dan Pejabat Peguam Negara, siasatan hanya dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir tujuh tahun kemudian. Lebih membimbangkan, sejak bulan September 2025 sehingga kini, pihak keluarga masih tidak menerima sebarang perkembangan walaupun wujud keputusan mahkamah yang jelas. Kelewatan ini mencerminkan kegagalan institusi dalam memastikan keadilan yang tepat pada masanya dan berkesan.
- Pendekatan represif terhadap perhimpunan aman: Walaupun kerajaan telah menyatakan komitmen untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, pendekatan polis di lapangan masih memperlakukan perhimpunan sebagai ancaman keselamatan dan mengambil tindakan yang melampau.
- Kegagalan serius dalam operasi serbuan dan perlindungan hak individu: Berlakunya insiden serbuan yang gagal mematuhi SOP dan melanggar hak individu seperti hak privasi serta prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
- Kenyataan awam polis yang tidak konsisten dan menghakimi: Dalam beberapa kes, kenyataan awam polis bersifat defensif, tidak konsisten dan cenderung membentuk persepsi awam sebelum siasatan selesai.
- Kematian dalam tahanan dan kegagalan ketelusan: Peningkatan kematian dalam tahanan — 22 kes secara keseluruhan dan 12 daripadanya di lokap polis — menimbulkan kebimbangan serius terhadap kewajipan pihak polis dalam menjamin nyawa dan keselamatan mereka yang ditahan.
- Kegagalan menjamin akses keadilan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).
- Kegagalan dalam melindungi wanita yang merupakan mangsa keganasan rumah tangga.
- Komuniti Orang Asli masih terus berdepan dengan diskriminasi sistemik.
Isu-isu ini menunjukkan persamaan jelas, iaitu:
- Ketidakjelasan dan ketidakpatuhan terhadap SOP;
- Budaya penggunaan kuasa dan normalisasi kekerasan;
- Ketiadaan akauntabiliti dan ketelusan yang bermakna;
- Pengendalian komunikasi awam yang bermasalah dan menghakimi;
- Kesan emosi, psikologi dan sosial yang mendalam terhadap mangsa, keluarga dan komuniti.
“Insiden-insiden ini tidak boleh dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya memperlihatkan pola kegagalan yang berulang dan bersifat sistemik,” ulas memorandum Sekretariat Himpun yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara. “Pola ini menegaskan bahawa pembaharuan bersifat kosmetik tidak lagi mencukupi. Reformasi kepolisan yang menyeluruh, berasaskan hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti awam, perlu dilaksanakan dengan segera dan tanpa kompromi.”
Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum ini ialah:
- Pembetulan SOP dan pengendalian kes berprofil tinggi: PDRM digesa untuk segera menyemak, memperjelas dan menguatkuasakan tatacara pengendalian piawai (SOP) berkaitan tangkapan, siasatan, serbuan, penggunaan kekerasan dan penggunaan senjata api, selaras dengan prinsip keperluan, kesepadanan dan akauntabiliti. Kes berprofil tinggi, kes melibatkan kematian, kecederaan serius atau institusi keselamatan lain tidak wajar dikendalikan di peringkat negeri atau oleh pegawai rendah, sebaliknya mesti dinaikkan dan disiasat di peringkat Bukit Aman.
- Ketelusan awam dan tanggungjawab kepada Parlimen serta mangsa: PDRM harus menunaikan tanggungjawab institusinya terhadap orang awam dan Parlimen melalui pelaporan yang berkala, tepat dan telus mengenai penggunaan kuasa, kematian dalam tahanan, serbuan dan tindakan disiplin dalaman. Pada masa yang sama, PDRM mesti menjamin hak mangsa dan keluarga untuk menerima maklumat dan kemas kini siasatan secara bermakna, akses kepada rawatan perubatan bebas serta sokongan psikososial, dan menghentikan amalan kenyataan awam yang bersifat prejudis atau menghakimi sebelum siasatan selesai.
Organisasi-organisasi yang menyokong memorandum mengenai reformasi institusi kepolisan ini termasuk MANDIRI, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Liga Rakyat Demokratik, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya. Organisasi-organisasi ini menuntut reformasi yang menyeluruh, bukannya sekadar perubahan kosmetik.
