oleh Aein Aneera (diterjemah oleh Sachin Nair)
Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM berdiri teguh dalam bersolidariti penuh bersama para petani dan menyokong perhimpunan pada 20 Januari 2026 di Parlimen. Kami dengan tegas membantah keputusan kerajaan untuk meminda Akta PNPV 2004 (Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004) bagi menyertai UPOV 1991 (Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu), sebuah sistem antara kerajaan yang direka terutamanya untuk melindungi kepentingan komersial pembiak baka tumbuhan dengan mengkriminalkan hak-hak petani.
UPOV 1991 memperluaskan monopoli syarikat agribisnes ke atas benih, menafikan hak petani untuk menggunakan, berkongsi, dan menjual benih terlindung yang dituai daripada ladang dan tanaman mereka sendiri secara bebas, serta tidak mempunyai mekanisme untuk mencegah salah guna sumber genetik tumbuhan. Ia direka secara struktur untuk menjana keuntungan dan memajukan kepentingan korporat syarikat benih multinasional dari Eropah dan negara-negara maju lain, dengan sedikit atau tiada keprihatinan terhadap keperluan dan kebajikan rakyat di negara membangun seperti Malaysia.
Langkah ini sememangnya akan:
- Melemahkan Hak Petani Tempatan – Di bawah Konvensyen UPOV, petani dikehendaki mendapatkan kebenaran pembiak baka untuk menggunakan bahan pembiakan seperti benih dan keratan daripada varieti terlindung bagi tujuan komersial. Ini secara efektif akan melucutkan hak dan amalan lama petani Malaysia untuk menyimpan, bertukar, mengguna semula, dan menjual benih yang disimpan sendiri — hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Antarabangsa Mengenai Sumber Genetik Tumbuhan untuk Makanan dan Pertanian (ITPGRFA) yang mengikat secara undang-undang, yang mana Malaysia merupakan pihak kepadanya.
- Petani boleh dihukum hanya kerana meneruskan amalan pertanian tradisional, sekali gus memaksa mereka bergantung kepada syarikat benih multinasional dan mewajibkan mereka membeli benih baharu pada setiap musim penanaman. Bentuk penswastaan benih ini hanya akan mengukuhkan kemiskinan luar bandar, meluaskan ketidaksamaan sosial, dan mengalihkan kuasa daripada komuniti petani.
- Mengancam Keselamatan Makanan Negara – Ancaman terhadap petani merupakan ancaman langsung terhadap keterjaminan makanan Malaysia. Apabila benih diswastakan dan dikuasai oleh agribisnes besar, petani tidak lagi dapat menyimpan, berkongsi, dan menjual benih; kepelbagaian tanaman akan berkurangan, dan kepelbagaian biologi pertanian akan merosot. Kawalan korporat ke atas benih akan terus melemahkan daya tahan dan kelestarian sistem makanan negara kita. Membolehkan Biopirasi dan Monopoli Korporat
UPOV 1991 memberikan hak monopoli kepada pembiak baka untuk tempoh minimum 20 tahun, dan sehingga 25 tahun bagi pokok dan tumbuhan menjalar. Tempoh perlindungan yang panjang ini membolehkan syarikat memonopoli benih dan varieti tumbuhan, termasuk yang berasal daripada sumber genetik tempatan dan pengetahuan tradisional. Tanpa keperluan kukuh bagi persetujuan awal termaklum atau perkongsian manfaat, UPOV 1991 membuka ruang kepada biopirasi, di mana syarikat meraih keuntungan daripada pengetahuan petani dan masyarakat Orang Asli tanpa pengiktirafan atau pampasan — ini meminggirkan lagi Orang Asli dan komuniti petani di Malaysia.
Tambahan pula, kekurangan Ketelusan dalam Proses Pembuatan Keputusan Kerajaan menyebabkan keputusan untuk meminda Akta PNPV 2004 bagi menyesuaikan diri dengan UPOV 1991 telah dibuat secara senyap di sebalik pintu tertutup oleh kerajaan, tanpa sebarang penglibatan awal dengan petani tempatan atau orang awam. Selama bertahun-tahun, kerajaan telah mengabaikan kebimbangan, bantahan, dan amaran daripada komuniti petani, pakar, dan NGO mengenai penyertaan UPOV 1991— walaupun Malaysia mempunyai kewajipan di bawah ITPGRFA untuk melindungi dan memajukan hak petani dalam perkara berkaitan sumber genetik tumbuhan bagi makanan dan pertanian.
Tuntutan
Kami menuntut agar kerajaan segera menghentikan semua usaha semasa untuk menyertai UPOV 1991 dan mengakui kemudaratannya. Kami menyeru kerajaan untuk memperkukuhkan dasar yang berteraskan petani serta menolak dan mengecam perjanjian perdagangan bebas (FT) yang secara konsisten memudaratkan dan melemahkan mata pencarian golongan kelas pekerja di negara-negara sedang membangun. Masa depan pertanian Malaysia harus dibina atas kedaulatan makanan, hak petani, dan kelestarian ekologi — bukan monopoli korporat!
==========
Aein Aneera dan Sachin Nair ialah anggota Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM).
