oleh Gandipan Nantha Gopalan
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan bahawa inisiatif Rakan KKM akan mula menerima pesakit pada awal tahun 2026, bermula dengan Hospital Cyberjaya. Rakan KKM dipasarkan sebagai model “ekonomi premium” untuk mengekalkan pakar dalam hospital awam dan menjana subsidi silang. Namun, skim ini dilancarkan tanpa menjawab soalan asas umum : berapa lamakah rakyat Malaysia menunggu untuk pembedahan di hospital awam pada masa ini?
Apa yang sudah diketahui adalah membimbangkan. Menurut jawapan di parlimen, hampir 15,000 orang pesakit berada dalam senarai menunggu pembedahan elektif di seluruh negara. Pesakit katarak menunggu kira-kira tiga bulan. Prosedur batu ginjal mengambil masa purata 11 bulan. Pembedahan jantung memerlukan tujuh bulan, manakala kanak-kanak yang memerlukan pembedahan kardiotorasik menunggu sehingga 21 bulan.
Ini adalah kegagalan sistem. Rakan KKM membenarkan pesakit yang mampu membayar lebih untuk melompat giliran di hospital awam, bukannya mengurangkan masa menunggu untuk semua dengan segera. Kementerian harus menjelaskan bagaimana usaha Rakan KKM ini akan mengurangkan masa menunggu untuk pesakit miskin yang sudahpun berhadapan dengan masa menunggu yang sangat lama.
Rakan KKM bukanlah dasar yang baru difikirkan. Ia adalah kesinambungan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP) yang diperkenalkan pada tahun 2007. PPBP menunjukkan bahawa model dwi-amalan mewujudkan konflik kepentingan yang serius. Pakar kanan, yang seringkali merupakan ketua jabatan, bertanggungjawab untuk mengurangkan masa menunggu pesakit awam. Pada masa yang sama, mereka mendapat manfaat kewangan apabila barisan cukup panjang untuk mendorong pesakit memilih aliran bayaran penuh. Sistem kesihatan awam yang lebih cekap jelas menjejaskan model bayaran persendirian.
Kementerian Kesihatan sendiri menyedari risiko-risiko ini. Hospital-hospital yang melaksanakan PPBP telah diarahkan untuk menjalankan audit dalaman mengenai kesannya terhadap rawatan pesakit, latihan doktor muda dan semangat kakitangan. Kami memahami ada beberapa audit yang penting. Jika begitu, mengapa kementerian tidak mengemukakan hasil audit ini? Sekiranya Rakan KKM benar-benar mengatasi masalah yang timbul dulu, audit dan data masa menunggu peringkat kebangsaan yang dikemaskini perlu diumumkan dengan segera.
Satu lagi persoalan yang membimbangkan masih belum dijawab: mengapa KKM diminta untuk menyelesaikan masalah kekurangan dana dengan mengkomersialkan hospital awam? Itu tanggungjawab dasar fiskal. Bukan dengan menukar akses rawatan kesihatan awam menjadi satu sumber pendapatan. Pertubuhan masyarakat sivil telah lama mencadangkan alternatif, termasuk meningkatkan perbelanjaan kesihatan kepada 5% KDNK dan memperkukuhkan percukaian progresif melalui cara lain.
Rakan KKM perlu dihentikan sehingga kerajaan mengeluarkan data masa menunggu yang dikemaskini dan penemuan audit PPBP. Meneruskan Rakan KKM tanpa ketelusan membawa risiko mewujudkan dua darjat: rawatan yang lebih cepat untuk mereka yang mampu membayar, dan penderitaan yang lebih lama untuk mereka yang tidak berkemampuan.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
