Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah melakukan operasi ketenteraan besar-besaran yang haram di wilayah sebuah negara berdaulat yang lain dan meculik presidennya.
Tentera AS menceroboh Venezuela pada 3 Januari 2026 dengan mengebom banyak tempat di dalam wilayah Venezuela, dengan niat yang jelas untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela yang sedia ada. Nicolás Maduro, Presiden Venezuela, dan isterinya Cilia Flores, telah ditahan oleh tentera AS yang menceroboh. Sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk orang awam, telah dibunuh dalam operasi ketenteraan AS yang haram ini.
Tentera AS telah melakukan pencerobohan langsung terhadap sebuah negara berdaulat tanpa mengisytihar perang atau mendapatkan kelulusan Kongres negara itu sendiri. Ia juga melanggar undang-undang antarabangsa dan menghina Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tindakan pencerobohan haram ini hanya menunjukkan sekali lagi wajah sebenar kuasa imperialis AS. Kuasa imperialis AS sentiasa berpegang pada Doktrin Monroe untuk mengekallan dominasinya di Hemisfera Barat, dan bersedia untuk menghancurkan segala usaha negara di Amerika Latin yang cuba membebaskan diri daripada cengkaman kolonial imperialis AS.
Kerajaan AS telah meningkatkan usahanya untuk menyerang Venezuela sejak beberapa bulan yang lalu atas alasan “membanteras penyeludupan dadah” tetapi jelas hendak melalukan perubahan rejim di negara itu. Kuasa imperialis AS tidak pernah berhenti mengancam kerajaan Venezuela dalam tempoh lebih dua dekad yang lalu sejak Hugo Chávez melancarkan Revolusi Bolivar yang cuba membangunkan alternatif baharu.
Berhadapan dengan serangan kuasa imperialis, rakyat Venezuela telah turun ke jalanan untuk mempertahankan pencapaian Revolusi Bolivar dan menentang campur tangan kuasa imperialis.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan kuasa imperialis AS terhadap Venezuela yang mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan hak asasi bangsa untuk menentukan nasib sendiri.
“Ini bukannya insiden terasing tetapi sebahagian daripada corak kezaliman yang berpanjangan: AS menyahstabilkan, menceroboh, dan mewujudkan rejim boneka di seluruh dunia dari Iraq dan Libya hingga Amerika Latin; meninggalkan keadaan huru-hara, penderitaan dan negara yang berpecah-belah,” kata S. Arutchelvan dalam kenyataannya yang menyeru komuniti antarabangsa untuk menyokong hak kedaulatan Venezuela. “Jika dunia kekal berdiam diri hari ini, tiada negara berdaulat akan selamat esok. Ini bukan sahaja perjuangan Venezuela untuk menentang imperialisme AS. Sama ada kita bersatu untuk menentang serangan ini, atau kita bakal menghadapi penaklukan neokolonial sekali lagi.”
Dalam satu kenyataan bersama antarabangsa yang dikeluarkan pada 16 Disember 2025, PSM dan 28 buah organisasi kiri lain di beberapa negara menyeru supaya:
- Hentikan serangan AS ke atas Venezuela;
- Hentikan operasi ketenteraan AS di rantau Caribbean;
- Hentikan semua campur tangan AS dalam politik domestik Amerika Latin;
- Tutup semua pangkalan tentera luar negara AS.
“Rakyat Venezuela mempunyai setiap hak untuk mempertahankan kedaulatan mereka dan menentukan jalan pembangunan mereka sendiri, tanpa sebarang campur tangan daripada kuasa imperialis luar,” ulas kenyataan bersama ini. “Kami berdiri bersolidariti bersama rakyat Venezuela dalam mempertahankan kedaulatan mereka, bebas daripada campur tangan imperialis.”

One thought on “AS bertindak samseng serang Venezuela dan culik presidennya”