
oleh Muhammad Aiman bin Mohd Sees
Pemuda Sosialis mengecam penyalahgunaan kuasa pihak polis dan pengabaian etika kewartawanan susulan serbuan ke atas sebuah premis pada 28 November 2025 kelmarin. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Dang Wangi, telah menyalahgunakan kuasa dalam penahanan 171 Orang Yang Disyaki (OYDS) warganegara Malaysia dan 30 orang bukan warganegara. Penahanan ini tidak sah kerana ia telah melebihi 24 jam tanpa mendapat kebenaran reman oleh Majistret. Tindakan membelakangi undang-undang ini ialah tindakan pecah amanah terhadap rakyat Malaysia.
Walaupun Majistret telah menolak permohonan reman pada 29 November 2025, semua OYDS warganegara Malaysia tidak dibenarkan bebas daripada tahanan polis melainkan adanya penjamin untuk setiap seorang. Hal ini berterusan sehingga jam 4 petang, 30 November 2025 – iaitu 40 jam selepas penahanan pada hari Jumaat, 28 November 2025, jam 8 malam – sungguhpun tempoh sah penahanan 24 jam tanpa reman telah berlalu.
Pihak aktivis, peguam, ahli keluarga dan orang awam yang prihatin telah berkumpul di luar IPD Dang Wangi sejak 29 November untuk pengurusan jamin dan solidariti. Terdapat sumber memaklumkan bahawa berlaku kekasaran semasa serbuan dan pengabaian hak asasi dan hak perundangan.
Liputan media tentang kes ini cukup banyak kerana media memilih untuk menyiarkan berita dengan tajuk sensasi. Tambahan pula, kecuaian pihak berkuasa PDRM, DBKL dan JAWI, serta pihak media yang dijemput untuk mengikuti serbuan terbabit telah mengakibatkan kebocoran maklumat OYDS. Sepanjang tempoh 3 hari lalu, telah tular maklumat antaranya berkaitan demografi, tempat pekerjaan dan status perkahwinan OYDS di media sosial. Malahan, akhbar dalam talian telah menyiarkan berita yang tidak sensitif terhadap maklumat peribadi OYDS seolah-olah tidak wujud etika kewartawanan.
Pemuda Sosialis juga ingin mengetengahkan isu diskriminasi dan intimidasi akibat operasi serbuan seperti ini. Tidak boleh dinafikan bahawa serbuan ini dan proses selepas itu telah memberi intimidasi dan tekanan mental ke atas OYDS.
Pada masa yang sama, mereka turut mendapat perhatian negatif yang berisiko mendatangkan diskriminasi, stigma dan kehilangan pekerjaan. Akhbar Malaysiakini melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Fadil bin Haji Marsus berkata bahawa ketiadaan bukti kukuh telah menjadikan pihak polis buntu dalam usaha mendakwa OYDS di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan. Hal ini bermakna, serbuan tersebut adalah tindakan sembrono yang melanggar hak individu dan tidak membuahkan hasil.
Pemuda Sosialis ingin mengingatkan masyarakat bahawa serbuan ini berlaku di saat negara digemparkan dengan perkembangan terkini tentang skandal rasuah perlombongan di Sabah. Kita harus menyoal mengapakah operasi serbuan dijalankan pada masa ini selepas dua minggu risikan. Usaha membangkitkan suatu isu yang popular seperti “banteras gejala songsang” sebagai cara mengalih perhatian masyarakat daripada kontroversi melibatkan kerajaan adalah perkara yang biasa berlaku baik oleh kerajaan terdahulu mahupun yang terkini. Rakyat harus kekal kritis terhadap segala tindak tanduk kerajaan dan tidak mudah leka.
Akhir kata, kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tanggungjawab untuk mengakui pihaknya telah mengabaikan prosedur undang-undang. Keadilan harus ditegakkan bagi mereka yang telah dimangsakan oleh institusi yang sepatutnya menjaga kesejahteraan.
==========
Muhammad Aiman bin Mohd Sees ialah Timbalan Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.
