
oleh Bawani KS
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya penahanan aktivis rakyat dan penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang yang berlaku sejak semalam, 12 November 2025. Semalam, Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan bersama seorang aktivis PSM dan seorang penduduk kampung telah ditahan sekitar jam 4.00 petang di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan direman selama sehari.
Pada pagi ini, Setiausaha Agung PSM M. Sivaranjani, Bendahari Kehormat PSM Soh Sook Hwa dan 7 orang aktivis serta penduduk yang hadir untuk mempertahankan rumah penduduk Kampung Jalan Papan daripada dirobohkan telah ditahan.
Semua penahanan ini adalah tidak sah, dan ia bercanggah dengan arahan rasmi Kerajaan Negeri Selangor yang telah menegaskan melalui kenyataan media pada 23 Oktober 2025 bahawa kerja-kerja perobohan hanya dibenarkan bagi rumah atau premis perniagaan yang kosong dan tidak berpenghuni selaras dengan semangat penyelesaian secara berhemah.
Malangnya, sejak hari Isnin, 10 November 2025, rumah-rumah yang masih didiami penduduk telah dirobohkan secara paksa dengan barang-barang penduduk dipindahkan keluar, dan mereka dihalau keluar tanpa mematuhi arahan Menteri Besar.
PSM menggesa campur tangan Menteri Besar Selangor segera dalam hal ini, dan menghentikan serta merta-pengusiran paksa yang sedang berlaku di Kampung Jalan Papan.
Pihak polis dari IPD Klang Selatan termasuk Ketua Polis Daerah (OCPD) telah bertindak berat sebelah dalam membantu pemaju Melati Ehsan untuk melakukan pengusiran paksa, walaupun aktivis yang ditahan bertindak mengikut arahan Kerajaan Negeri untuk menunggu penyelesaian secara berhemah. Tindakan ini jelas mencerminkan penyalahgunaan kuasa dan bertentangan dengan prinsip keadilan sosial.
PSM menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua aktivis yang ditahan termasuk S. Arutchelvan, Soh Sook Hwa , M. Sivaranjani Manickam dan 9 orang orang lain. Kami juga menuntut penghentian segera semua kerja perobohan di Kampung Jalan Papan serta jaminan bahawa tiada pengusiran paksa akan dijalankan selagi penduduk belum mendapat penempatan alternatif yang adil dan munasabah. Selain itu, PSM menuntut supaya siasatan penuh dijalankan terhadap pihak polis dan pemaju yang telah melanggar arahan Menteri Besar Selangor.
PSM berdiri teguh bersama penduduk Kampung Jalan Papan dan semua komuniti peneroka bandar yang berdepan ancaman pengusiran paksa. Kami menyeru Kerajaan Negeri Selangor agar menunjukkan komitmen sebenar terhadap hak rakyat untuk perumahan yang bermaruah.
Bebasakan semua aktivis! Hentikan pengusiran paksa!
==========
Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
