oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang menolak permohonan penduduk untuk mengakses maklumat berkaitan Smart Integrated Parking (SIP) di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2011 atas alasan maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
PSM mempersoalkan, apakah kandungan maklumat SIP yang begitu sensitif sehingga perlu dilindungi di bawah OSA? Bukankah projek ini merupakan inisiatif awam yang melibatkan kepentingan dan dana rakyat?
Selama ini, Kerajaan Negeri Selangor mempertahankan pelaksanaan SIP dengan alasan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan tempat letak kereta. Namun, pelaksanaan ini turut melibatkan peranan besar pihak swasta dalam pemungutan hasil dan operasi penguatkuasaan: sesuatu yang menimbulkan tanda tanya dari segi ketelusan.
Beberapa orang ahli majlis dan penduduk telah menyuarakan kebimbangan mengenai pembahagian hasil antara pihak majlis dan syarikat swasta serta potensi kesan jangka panjang terhadap pendapatan majlis dan tahap pemantauan awam.
Ahli EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, YB Datuk Ng Suee Lim, sebelum ini memberi jaminan bahawa pelaksanaan SIP akan membawa penyelesaian “menang-menang” dan meningkatkan kecekapan sistem tempat letak kereta. Namun, jika Kerajaan Negeri Selangor benar-benar yakin dengan manfaat SIP, mengapa maklumat penting mengenai pelan ini disembunyikan daripada rakyat?
PSM menggesa Menteri Besar Selangor dan Ahli EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan untuk segera memberi penjelasan terbuka berhubung perkara ini. Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana projek awam seperti SIP dijalankan, terutama apabila ia melibatkan urus tadbir kewangan, hasil kerajaan tempatan dan kesejahteraan masyarakat.
PSM menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak sepatutnya menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menghalang rakyat daripada mengakses maklumat yang sepatutnya terbuka kepada orang awam. Kerajaan harus ingat bahawa ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepada tadbir urus yang baik.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
