oleh Jawatankuasa Kempen My30 

Kami menyambut baik usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi petrol melalui skim BUDI95. Had subsidi sebanyak 300 liter akan menggalakkan pengguna kereta lebih berhemah dalam penggunaan bahan api. Namun, langkah ini perlu diiringi dengan strategi jangka panjang untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Jika kerajaan mampu membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk subsidi petrol setiap tahun, adakah sukar bagi kerajaan untuk meningkatkan subsidi bagi pengangkutan awam? Itulah persoalan utama yang kita harus bangkitkan. Adalah tidak dinafikan bahawa subsidi petrol yang berskala besar seperti BUDI95 memang memberi manfaat kepada pemilik kenderaan peribadi. Namun begitu, ribuan rakyat yang bergantung kepada tren dan bas setiap hari untuk berulang alik ke tempat kerja, belajar dan mencari rezeki tidak mendapat manfaat daripada pengurangan harga petrol di bawah skim ini. Ini memberi isyarat bahawa kerajaan tidak mementingkan pengguna pengangkutan awam. Adakah golongan ini tidak penting?

Mengikut statistik, kerajaan membelanjakan kira-kira RM12 bilion setahun untuk subsidi petrol, sementara subsidi untuk pengangkutan awam (My50) hanyalah sekitar RM216 juta. Jika kerajaan menurunkan semula tambang pas tanpa had daripada RM50 kepada RM30 seperti dahulu, tambahan kos yang diperlukan hanyalah sekitar RM43 juta hingga RM150 juta, iaitu cuma 0.36% hingga 1.25% daripada jumlah subsidi petrol. Dengan jumlah sekecil ini, jutaan rakyat boleh menikmati perjalanan yang lebih mampu ditanggung setiap bulan. 

Dengan mengalihkan sedikit peruntukan subsidi petrol ke arah pengangkutan awam, kebaikannya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah dengan tambang yang lebih murah, ia dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kereta dan impaknya, dapat mengurangkan lalu lintas yang merupakan masalah terutamanya di kawasan bandar, pencemaran udara juga dapat dikurangkan, dan kualiti rakyat dapat ditingkatkan. Selain itu, wang kerajaan dapat digunakan untuk memperbaiki infrastruktur yang sedia ada dengan meningkatkan kekerapan tren, memperbaiki bas pengantara, serta memperluaskan laluan dan capaian pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

Kempen My30, yang digerakkan oleh sekumpulan anak muda di bawah Pemuda Sosialis, menuntut agar kerajaan memandang pengangkutan awam sebagai pelaburan sosial, bukan sebagai modal keuntungan. Antara tuntutan utama kami ialah mendesak kerajaan untuk menurunkan semula tambang pas tanpa had daripada RM50 kepada RM30 supaya lebih ramai rakyat mampu menggunakan pengangkutan awam setiap hari. Tuntutan-tuntutan selain itu ialah: 

  1. Meningkatkan kekerapan dan ketepatan masa tren serta bas pengantara, supaya perjalanan lebih “boleh diharap”.
  2. Menambah baik akses untuk OKU dan warga emas, kerana mobiliti adalah hak semua, bukan hanya untuk yang muda dan sihat.
  3. Menambah baik laluan pejalan kaki dan basikal yang selamat.
  4. Memberi tambang percuma kepada pelajar, warga emas, dan OKU, bagi mengurangkan beban harian mereka. 

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan mengenakan caj kesesakan (de-congestion charge) di bandar-bandar besar tetapi implementasi ini hanya boleh dilakukan selepas sistem pengangkutan awam menjadi lebih mampan. Caj kesesakan ialah bayaran yang dikenakan ke atas pemandu apabila memasuki kawasan bandar yang sesak, yang bertujuan untuk mengurangkan trafik serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti yang telah diimplementasi di Singapura dan Stockholm. 

Kami menyokong inisiatif ini, namun kerajaan tidak boleh terus berlengah. Krisis iklim yang kian mendesak dan kos sara hidup yang meningkat menuntut tindakan segera. Jika kerajaan betul-betul serius mahu rakyat beralih kepada pengangkutan awam, langkah itu mesti dimulakan sekarang dengan menjadikan ia mampu milik dan “boleh diharap”, bukan selepas caj tersebut diperkenalkan.

Jika dilaksanakan, caj kesesakan bukan semata-mata sebagai denda kepada pengguna jalan raya, dasar ini haruslah selari dengan pelan pelaburan semula. Ini bermakna, hasil caj perlu disalurkan untuk menambah baik bas serta tren, dan digunakan untuk memperbaiki penghubungan first-last mile. Ketika ini, belanjawan negara banyak diperuntukkan untuk jalan raya, sedangkan pengguna pengangkutan awam turut menanggung kos subsidi kepada pengguna kenderaan persendirian.

Setiap ringgit yang disalurkan kepada pengangkutan awam ialah pelaburan untuk masa depan yang lebih inklusif, adil dan menuju ke arah kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.

========== 

Jawatankuasa Kempen My30 ialah inisiatif Pemuda Sosialis PSM untuk memperjuangkan sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Tandatangani petisyen kempen dalam talian di sini. 

Risalah Kempen My 30 boleh dimuat turun di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *