
Surat terbuka kepada Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Dengan segala hormatnya saya menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar hingga tahun hadapan, kerana banyak kumpulan termasuk persatuan-persatuan penduduk, Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah dan parti-parti politik telah menyuarakan kebimbangan mereka. Kebimbangan ini harus ditangani supaya persefahaman yang lebih meluas dapat dicapai sebelum RUU yang dipinda dan ditambah baik ini dibentangkan di Parlimen.
PSM ingin meminta kerajaan supaya meneliti beberapa isu yang telah kami kemukakan sebelum ini, selain perkara-perkara yang dibangkitkan oleh kumpulan-kumpulan lain. Yang pertama ialah isu mengenai penyewa rumah. RUU yang dicadangkan pada masa ini tidak menyebut apa-apa tentangnya. Sesetengah rumah pangsa yang usang dihuni oleh banyak keluarga berpendapatan rendah, kerana kadar sewa adalah rendah di bangunan-bangunan usang ini. Laporan yang disebut dalam Bahagian 4 RUU ini harus membentangkan data mengenai penyewa-penyewa ini, dan pembangunan terancang harus mengambil kira keperluan kepenghunian mereka – mungkin kerajaan negeri patut mempertimbangkan untuk membina rumah pangsa PPR di sekitar kawasan projek pembangunan semula supaya unit-unit perumahan itu boleh disewa kepada keluarga-keluarga ini pada kadar yang mampu dibayar mereka.
Perkara kedua yang ingin dibangkitkan oleh PSM ialah perlu adanya perundingan dengan komuniti setempat sebelum rancangan pembangunan semula dimuktamadkan. Tiadanya peruntukan untuk ini dalam RUU yang dicadangkan. Pembaharuan semula bandar sering membawa kepada kepadatan penduduk yang lebih tinggi. Adakah ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas atau banjir kilat kerana infrastruktur tidak mencukupi? Adakah akan adanya ruang hijau untuk kanak-kanak bermain? Semua ini harus ditangani dalam cadangan untuk pembangunan semula sesebuah kawasan, dan komuniti setempat (yang patut merangkumi semua orang yang tinggal dalam lingkungan 1 km dari tapak pembangunan semula) harus diberikan saluran untuk menyampaikan maklum balas mereka.
Perundingan awam harus diwajibkan dalam RUU dengan saluran yang jelas untuk orang awam membuat aduan jika mereka merasakan kebimbangan mereka tidak ditangani dengan sewajarnya oleh perancang. Mungkin mereka juga boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Mediasi yang diterangkan di bawah Seksyen 14(2) RUU ini. Dalam konteks ini, Seksyen 10(3) dan 11(3) perlu dibuang. Kedua-dua fasal ini menyatakan bahawa kegagalan mana-mana orang untuk membantah rancangan dalam tempoh 30 hari selepas dimaklumkan mengenainya, boleh dianggap sebagai menunjukkan persetujuan daripada pihaknya. Ini agak keras dan tidak demokratik.
Perkara terakhir yang ingin kami bangkitkan ialah kebebasan Jawatankuasa Mediasi Pembaharuan Semula Bandar. Seksyen 14(2) RUU yang dicadangkan memberi kuasa untuk melantik jawatankuasa mediasi ini kepada kedua-dua Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Namun, Jawatankuasa Eksekutif ialah badan yang memutuskan mengenai projek, memilih pemaju dan meluluskan rancangan pembangunan semula. Jawatankuasa Eksekutif hanya boleh bertindak saksama dan adil jika ia tidak diletakkan di bawah kawalan langsung Jawatankuasa Eksekutif. Bahagian IV RUU ini perlu disusun semula untuk menakrif sebuah jawatankuasa bebas yang diberi amanah untuk memilih ahli-ahli Jawatankuasa Mediasi Pembaharuan Semula Bandar. Jawatankuasa Pemilihan yang bebas ini harus terdiri daripada individu-individu seperti hakim bersara, profesional kanan, pemimpin kesatuan sekerja dan wakil daripada persatuan penduduk. Sultan atau Yang di-Pertua Negeri dikehendaki untuk melantik ahli-ahli Jawatankuasa Mediasi setiap 3 tahun seperti yang dinasihati oleh jawatankuasa pemilihan yang disebut di atas. Jawatankuasa Mediasi harus diberikan dana yang secukupnya untuk mengupah kakitangan supaya menjalankan tanggungjawabnya.
Prinsip “pengasingan kuasa” adalah penting untuk tadbir urus yang lebih baik bagi negara kita, dan harus diamalkan dalam semua keadaan di mana mekanisme semak-dan-imbang diwujudkan. Mekanisme ini harus bebas daripada cabang eksekutif kerajaan. Jika tidak, terdapat risiko nyata ia digunakan sebagai senjata terhadap kumpulan-kumpulan yang tidak sehaluan dengan cabang eksekutif.
Kami berharap Kerajaan MADANI akan menunjukkan contoh yang baik kepada pentadbiran masa hadapan dengan mengambil serius kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai kumpulan, mewujudkan ruang di mana kebimbangan ini boleh disalurkan dan diselesaikan melalui pindaan yang sesuai bagi RUU Pembaharuan Semula Bandar.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).