oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram rejim Zionis Israel yang menyerang Flotila Sumud Global (GSF) dan menculik peserta-peserta yang menaiki kapal-kapal dalam misi kemanusiaan itu. Mereka yang diculik dan ditahan oleh rejim Zionis Israel termasuk warga Malaysia yang mengambil risiko nyawa untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Gaza yang masih menghadapi kezaliman genosid daripada rejim Zionis Israel.

Kami menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk kerajaan Malaysia, untuk mengambil tindakan yang tegas dan segera dalam mendesak pembebasan semua anak kapal GSF. Desakan untuk menghentikan jenayah genosid oleh rejim Zionis Israel di Gaza juga harus dipertingkatkan dengan mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Israel.

Walaupun peranan yang dimainkan oleh kerajaan Malaysia dalam Kumpulan Den Haag (The Hague Group) yang mengemukakan langkah-langkah penting menghentikan genosid di Gaza patut dihargai dan disokong, kerajaan Malaysia harus bertindak lebih tegas lagi terhadap penyokong utama rejim Zionis Israel, iaitu kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Dengan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin masih berterusan, kerajaan Malaysia harus menyampaikan isyarat bantahan yang lebih kuat kepada kerajaan AS. Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya membatalkan jemputannya kepada Presiden AS Donald Trump untuk mengunjungi Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini.

Sekali lagi, PSM menegaskan tuntutan kami:

  • Bebaskan semua anak kapal GSF yang ditahan;
  • Beri laluan kepada semua bantuan kemanusiaan untuk sampai ke Gaza;
  • Hentikan segera genosid di Gaza;
  • Kenakan sekatan sepenuhnya ke atas Israel sehingga genosid di Gaza ditamatkan;
  • Tiada urusan seperti biasa dengan kerajaan AS sehingga genosid Gaza ditamatkan.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Antarabangsa PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *