KLANG, SELANGOR – 5 SEPTEMBER 2025: Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan membuat aduan polis beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk menyatakan bantahan mereka terhadap ancaman pengusiran paksa daripada pihak pemaju. Sebanyak 66 aduan polis telah dibuat.

Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Cheong Huei Ting, Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Lebih 100 buah keluarga peneroka bandar telah menetap di Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor, sejak zaman sebelum kemerdekaan. Sebahagian penduduk pernah diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) tetapi TOL itu dibatalkan tanpa alasan pada tahun 1990. Komuniti peneroka bandar Kampung Jalan Papan mula menghadapi pelbagai ancaman pengusiran apabila milikan tanah kawasan kampung tersebut diberikan pada tahun 1995 kepada TPPT Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Bank Negara untuk menyelamatkan projek perumahan terbengkalai. TPPT Sdn Bhd kemudian melantik Melati Ehsan Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju perumahan swasta, untuk membangunkan tanah kawasan kampung itu secara bersama, pada tahun 2007. Isu mengenai penyelesaian penempatan penduduk Kampung Jalan Papan telah dibawa kepada perhatian Kerajaan Negeri Selangor sejak itu.

Pada 20 Julai 2011, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan bahawa pihak pemaju perlu membina rumah teres dua tingkat yang boleh dibeli oleh penduduk kampung pada harga RM99,000 seunit. Namun, pihak pemaju masih mengemukakan tindakan mahkamah terhadap penduduk-penduduk kampung dengan dakwaan penduduk-penduduk kampung menceroboh tanah milik pemaju.

Pada bulan September 2020, Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd, anak syarikat Melati Ehsan Holdings Berhad, mengeluarkan notis pengusiran terhadap penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. Notis tersebut dipertikaikan oleh penduduk-penduduk kampung yang mempertahankan hak perumahan mereka. Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap tindakan mahkamah itu.

Pada 29 November 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan tuntutan pihak syarikat pemaju dan menolak tuntutan balas penduduk kampung sebagai defendan. Penduduk-penduduk kampung yang berkenaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Pada 24 Mac 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan pengusiran terhadap penduduk-penduduk kampung sementara menunggu keputusan tentang rayuan mereka.

Namun, penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan menghadapi ancaman pengusiran paksa terbaru daripada syarikat pemaju Melati Ehsan apabila diberikan notis pengusiran yang mengarahkan mereka untuk berpindah keluar sebelum 9 September 2025, walaupun kes masih berjalan di Mahkamah Rayuan.

“Ini adalah salah di sisi undang-undang,” kata S. Arutchelvan yang hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan semasa mereka membuat aduan polis. “Penduduk-penduduk ini sudah mempunyai kebenaran mahkamah untuk penangguhan pelaksanaan, maka notis perobohan rumah ini adalah tidak sah!”

Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan juga risau bahawa pihak pemaju itu akan menggunakan taktik-taktik kotor untuk menghalau mereka dari tempat tinggal mereka sekarang ini dengan cara yang tidak sah. Oleh itu, mereka membuat aduan polis untuk menghentikan tindakan pengusiran paksa terhadap mereka. Mereka meminta pihak polis supaya tidak terlibat dalam membantu operasi pengusiran pada ketika kes ini masih berjalan di mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *