
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), salah satu sasaran utama ialah pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita kepada paras RM77,200 menjelang tahun 2030. Angka ini ialah RM54,793 pada tahun 2024. Pada masa yang sama, RMK13 juga hendak “menaikkan lantai” atau “meningkatkan darjat hidup rakyat”. Dalam erti kata lain, golongan B40 dan M40 dalam kalangan penduduk negara sepatutnya juga mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan negara.
Salah satu petunjuk utama yang ingin digunakan oleh kerajaan untuk memantau bagaimana pendapatan negara diagihkan secara saksama ialah peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar yang dibayar oleh majikan kepada pekerja sebagai gaji atau faedah lain – juga dikenali sebagai CE atau Pampasan Pekerja (Compensation of Employees). Pada masa ini, hanya kira-kira 33% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diperoleh pekerja dalam bentuk jumlah pampasan daripada majikan. RMK13 menyasarkan untuk meningkatkan CE kepada 40% KDNK menjelang tahun 2030.
PSM pada dasarnya bersetuju dengan hasrat ini. Namun begitu, kami ingin menyatakan bahawa terdapat beberapa cara untuk mencapai sasaran CE sebanyak 40% daripada KDNK ini. Dalam senario yang ekstrem, peningkatan ketara gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurus kanan dalam 100,000 buah syarikat terbesar di Malaysia, boleh sahaja membawa kepada nisbah 40% CE kepada KDNK tanpa sebarang peningkatan yang sebenar dalam pendapatan golongan B40 dan M40 dalam kalangan penduduk.
Nisbah jumlah gaji kepada KDNK bukan petunjuk yang mencukupi bagi mempertimbangkan kesaksamaan pertumbuhan. Kita perlukan petunjuk yang lebih tepat untuk menjejaki sejauh mana pertumbuhan dalam KDNK itu diagihkan secara saksama. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) harus menjejak CE yang diterima oleh setiap desil golongan pekerja sektor formal selang setiap enam bulan. Ini sepatutnya tidak begitu sukar untuk dilakukan kerana 8 juta daripada 9.6 juta orang pekerja sektor formal mencarum setiap bulan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan 1.6 juta orang yang lain ialah kakitangan kerajaan. Mengumpul data gaji daripada KWSP dan kerajaan akan membolehkan DOSM untuk menjana petunjuk yang tetap tentang pengagihan KDNK kepada pekerja dalam sektor formal.
Keadaan kira-kira 1.5 juta orang pekerja sektor tidak formal adalah lebih sukar untuk dinilai dengan tepat. Pekerja kontrak ini, yang membentuk kira-kira 13.5% jumlah rakyat yang memperoleh gaji dalam ekonomi, adalah tersebar dalam ekonomi di kedua-dua kawasan bandar dan desa – di restoran, syarikat logistik, tapak pembinaan dan kebun. DOSM perlu menjalankan tinjauan di tempat kerja yang berbeza itu untuk menjana data yang berguna.
Walau bagaimanapun, kesukaran dalam mendapatkan data berkaitan pekerja sektor tidak formal tidak harus dijadikan alasan untuk tidak mengumumkan nisbah gaji kepada KDNK bagi setiap desil golongan pekerja sektor formal. Angka untuk pekerja sektor formal boleh digunakan untuk mewakili seluruh kelas pekerja, dan mengumumkannya selang setiap 6 bulan akan membolehkan perancang kerajaan serta rakyat untuk mengawasi kesaksamaan pertumbuhan KDNK di bawah RMK13.
PSM berharap bahawa perancang kerajaan dan mereka dalam DOSM menyedari betapa pentingnya petunjuk masa nyata yang sensitif dalam memastikan hasrat RMK13 untuk mendorong pertumbuhan yang saksama supaya dapat dicapai. Pemantauan rapi adalah kunci untuk menterjemahkan retorik kepada realiti.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).