oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
PSM tidak menggalakkan ahli-ahlinya dan penyokong-penyokongnya untuk menghadiri perhimpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai 2025. Ini bukan kerana kami menyokong penuh PMX. Kebetulannya kami juga kecewa dengan prestasi PMX berkaitan pembasmian amalan rasuah, pemansuhan undang-undang yang anti-demokratik, dan dasar-dasar ekonominya yang mengutamakan kelas bilionair dan syarikat-syarikat gergasi. Bagi kami, strategi politik “mempontianakkan” (demonise) seorang pemimpin sebagai punca segala masalah dalam negara, dan berkempen untuk menjatuhkannya bukan strategi yang memanfaatkan rakyat jelata ataupun negara Malaysia.
Dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, kita telah menyaksikan bahawa strategi ini tidak mengurangkan masalah-masalah ekonomi yang dialami oleh rakyat kita. Setiap kali kita diberitahu bahawa seorang pemimpin yang jahat/gelojoh/korup adalah punca segala masalah yang dihadapi negara ini, dan cara mengatasi segala masalah itu adalah untuk menjatuhkan pemimpin itu dan mengangkat pemimpin baharu. Tetapi, walaupun kita sudah bertukar dari Najib ke Mahathir, ke Muhyiddin, ke Ismail Sabri sehinggalah ke Anwar Ibrahim, tekanan ekonomi yang dialami oleh rakyat marhaen masih berterusan.
Kami tidak menafikan bahawa adanya banyak kelemahan/kesilapan berkaitan dengan lima orang pemimpin yang disebut di atas. Tetapi, mengikut analisis PSM, sebahagian besar daripada masalah ekonomi yang dihadapi oleh rakyat kita adalah disebabkan oleh dasar kerajaan Malaysia yang terlalu berjinak dengan pemilik modal terbesar di dalam dan di luar negara sehingga kepentingan rakyat biasa diketepikan. Dasar memanjakan kaum kapitalis terbesar tidak berubah daripada kerajaan BN ke PN dan sekarang PH-BN.
Banyak daripada masalah yang dihadapi oleh rakyat berpunca daripada tindakan kaum terkaya. Umpamanya, masalah kekurangan peluang kerja adalah satu masalah yang besar di kawasan luar bandar. Punca masalah ini adalah kehadiran 4 juta orang pekerja migran tanpa dokumen yang sedia bekerja dengan gaji yang rendah. Punca utama kelebihan pekerja migran di Malaysia adalah kelulusan kuota kepada syarikat-syarikat kroni pemimpin politik untuk membawa masuk beribu-ribu pekerja asing. Setiap orang pekerja migran dikenakan bayaran sebanyak RM15,000 hingga RM20,000. Syarikat-syarikat kroni menikmati keuntungan yang lumayan. Akibatnya, terlalu ramai pekerja asing dibawa masuk sehingga mereka tidak diberi kerja oleh ejen, dan mereka melarikan diri untuk mencari peluang kerja lain. Pekerja-pekerja tempatan menjadi mangsa – mereka terpaksa bersaing dengan pekerja-pekerja migran untuk mendapatkan kerja, dan mengalami gaji rendah oleh kerana kelebihan pekerja.
Sebuah gabungan politik yang ingin mengambil alih kuasa dan memerintah negara kita harus memberitahu kepada rakyat bagaimana dia akan menangani masalah kelebihan pekerja migran. PSM dan beberapa NGO telah menyeru kerajaan supaya mengubah sistem membawa masuk pekerja migran. Jangan membenarkan syarikat swasta berniaga dalam ruang ini. Segala aspek dalam membawa masuk pekerja asing harus dikendalikan oleh jabatan kerajaan tanpa penglibatan pihak swasta.
Pada pandangan kami di PSM, jika Perikatan Nasional (PN) ingin menurunkan Anwar dan mengambil alih pemerintahan negara kita, ia harus memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka akan mengendalikan masalah-masalah seperti:
- masalah kenaikan harga barang keperluan asas;
- ketiadaan kerja yang mencukupi untuk generasi muda;
- kemiskinan warga tua kerana wang simpanan mereka tidak mencukupi;
- kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan;
- pendapatan kerajaan yang tidak mencukupi untuk menampung segala program kebajikan yang perlu untuk kesejahteraan rakyat.
Cara amat mudah adalah untuk melontarkan analisis bahawa kesemua masalah yang dihadapi oleh rakyat itu berpunca daripada masalah peribadi “pontianak” yang memegang jawatan Perdana Menteri. Jadi, tidak perlu untuk memberi analisis yang mendalam terhadap setiap masalah yang disenaraikan di atas, atau menghuraikan cara-cara untuk mengatasi setiap satunya. Jalan keluar mudah sahaja – turunkan “pontianak” dan segala masalah akan diselesaikan secara sendiri. Ini adalah satu pendekatan yang menipu dan memperbodohkan rakyat.
Satu lagi kesan negatif yang timbul daripada taktik “mempontianakkan” musuh politik adalah pembentukan persepsi negatif terhadap golongan etnik lain. PAS dan BERSATU sering menggambarkan DAP sebagai gerakan politik yang amat berbahaya untuk masyarakat Melayu dan agama Islam. Pada masa yang sama, terdapat pemimpin PH yang menakut-takutkan kaum bukan Melayu dengan naratif bahawa jika PN menjadi kerajaan, hak dan kebebasan golongan bukan Islam akan disekat dengan ketat. Politik sebegini hanya mewujudkan perasaan negatif dan memecah-belahkan rakyat. Negara kita memerlukan lebih banyak dialog supaya kita dapat memahami kumpulan yang berbeza budaya dan memupuk semangat saling hormat-menghormati antara satu sama lain, dan mengamalkan sikap bertolak ansur.
Banyak daripada masalah yang dihadapi oleh rakyat kita boleh dikendalikan – dengan dasar yang mengambil kira punca-punca sebenar masalah tersebut. Gabungan-gabungan politik yang bersaing untuk mentadbir negara harus dicabar supaya mereka membentangkan program mereka masing-masing. Barulah kita akan dapat menganalisis pendekatan mereka dan menyaksikan debat antara gabungan politik yang mengemukakan idea-idea yang berlainan. Proses sebegini akan membuka ruang untuk menggubal dan memperhalusi dasar serta program yang benar-benar memanfaatkan rakyat.
Sudah sampainya masa untuk rakyat jelata menolak permainan politik yang “mempontianakkan” pihak lawan. Strategi politik sebegini hanya memperbudakkan rakyat dan memusnahkan keharmonian negara. Rakyat kita memerlukan analisis yang berdasarkan realiti supaya kita boleh bersama-sama menggubal strategi untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi sekarang.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).