Masyarakat Orang Asli Kampung Kelaik, Daerah Gua Musang, Kelantan, bersama-sama wakil masyarakat sivil menggesa kerajaan untuk melakukan reformasi undang-undang dan dasar supaya melindungi hak tanah adat Orang Asli. Seruan ini dibuat dalam satu taklimat mengenai isu pencerobohan tanah Orang Asli Kampung Kelaik serta kemudaratan kesihatan dan alam sekitar sekitar aktiviti perlombongan dan pertanian, yang disampaikan kepada ahli-ahli parlimen pada 13 Ogos 2025.

Nota taklimat yang disediakan oleh Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA) dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Kampung Kelaik mengemukakan 3 tuntutan segera dan 3 tuntutan jangka sederhana yang harus diberi perhatian oleh kerajaan.

Tuntutan segera yang dikemukakan ialah:

1. Siasatan dan ketelusan kes pencemaran Kampung Kelaik

  • Mendesak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh berhubung pencemaran alam sekitar di Kampung Kelaik.
  • Mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyiasat secara saintifik dan telus terhadap kes keracunan yang dilaporkan termasuk ujian kesihatan menyeluruh terhadap penduduk kampung, serta memastikan hasil siasatan dan keputusan ujian dikongsikan secara terbuka kepada komuniti terlibat dan pihak kerajaan untuk tujuan ketelusan dan akauntabiliti.

2. Sesi Pendengaran Parlimen

  • Memohon Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat untuk menyiasat kes ini dan mengadakan sesi pendengaran khusus mengenai isu Orang Asli dan Kampung Kelaik.
  • Memastikan isu Kampung Kelaik dibangkitkan dan dibahaskan dalam sesi Parlimen semasa atau melalui kenyataan solidariti terbuka kepada masyarakat Orang Asli Kampung Kelaik.

3. Hentikan aktiviti perlombongan dengan serta-merta

  • Menghentikan dan menarik balik serta-merta semua permit perlombongan di kawasan Kampung Kelaik sehingga penilaian penuh dan proses Makluman Bebas, Awal dan Telus (Free, Prior and Informed Consent – FPIC) dilaksanakan.
  • Kegagalan pemantauan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu disiasat.
  • Mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab, termasuk hukuman dan pemulihan ekosistem yang terjejas.

Tuntutan jangka sederhana ialah:

1. Pengiktirafan dan Perlindungan Hak Tanah Orang Asli

  • Menguatkuasakan perlindungan undang-undang ke atas tanah adat Orang Asli, termasuk pematuhan kepada piawaian Makluman Bebas, Awal dan Telus (FPIC).
  • Mendesak pewartaan segera Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli sebagai sebahagian pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

2. Debat Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134)

  • Mengambil iktibar daripada kes Kampung Kelaik untuk memperbaiki kelemahan perlindungan hak tanah dalam Akta 134.
  • Menyeru sidang Parlimen membuka ruang debat awam mengenai pindaan Akta 134, melibatkan Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA), pakar undang-undang, dan pemimpin komuniti Orang Asli.

3. Memenuhi komitmen Penilaian Berkala Sejagat (Universal Periodic Review – UPR) berkaitan hak Orang Asli

Malaysia telah menerima pelbagai saranan antarabangsa berhubung hak Orang Asli semasa sesi UPR, termasuk Mengaplikasi prinsip FPIC dalam isu tanah dan mata pencarian Orang Asli dan mempertingkatkan perlindungan hak tanah Orang Asli dengan mengintegrasi prinsip FPIC.

“Perlindungan hak Orang Asli adalah penanda aras reputasi Malaysia di mata dunia, terutamanya di bawah komitmen Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat berperadaban,” begitu tulisnya nota taklimat yang disampaikan kepada ahli-ahli parlimen. “Kegagalan menangani isu Kampung Kelaik secara tuntas akan memberi kesan negatif kepada penilaian antarabangsa terhadap rekod hak asasi manusia Malaysia.”

Orang Asli Kampung Kelaik merupakan Orang Asli suku kaum Temiar yang sudah lama mendiami tanah mereka sejak ratusan tahun dahulu. Namun, sejak tahun 2009, banyak pencerobohan berlaku ke atas tanah mereka sehingga kehidupan mereka sangat terkesan akibat daripada pencemaran perlombongan dan kemusnahan hutan. Mereka menghadapi cabaran yang sangat teruk antaranya hilang sumber pendapatan, sumber makanan, kekurangan bahan alam semula jadi untuk amalan tradisi mereka, dan paling berisiko adalah nyawa kesihatan mereka terancam.

Pencerobohan tanah ini dilakukan oleh syarikat-syarikat yang menjalankan perlombongan, perladangan kelapa sawit dan perladangan durian. Pencerobohan ke atas tanah wilayah adat Orang Asli telah membawa kesan buruk yang signifikan terhadap alam sekitar, sistem kehidupan tradisional, kesihatan, budaya dan ekonomi komuniti. Kerosakan ini berlaku tanpa pelaksanaan Makluman Bebas, Awal dan Telus (FPIC) dan dalam beberapa kes, tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Walaupun pelbagai tindakan telah diambil oleh komuniti Orang Asli melalui saluran sah, termasuk aduan rasmi dan laporan polis, pencerobohan masih berterusan sehingga kini. Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera telah memburukkan lagi kerosakan alam sekitar, mengancam nyawa penduduk dan melanggar hak asasi Orang Asli yang dijamin di bawah undang-undang negara dan piawaian antarabangsa.

Komuniti Orang Asli Kampung Kelaik mendapat sokongan daripada rangkaian pelbagai organisasi masyarakat sivil, kumpulan advokasi dan rakan solidariti yang komited dalam mempertahankan hak tanah adat, alam sekitar dan hak asasi manusia. Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik telah ditubuhkan oleh beberapa buah organisasi masyarakat sivil pada bulan November 2023 sebagai usaha untuk menunjukkan solidariti dengan komuniti Orang Asli di Kampung Kelaik serta membantu mereka dalam mengumpul dana bagi perjuangan mempertahankan hak mereka. Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik dianggotai oleh organisasi-organisasi seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA), Greenpeace Malaysia, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Treat Every Environment Special (TrEES), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL).

“Kes Kampung Kelaik harus dijadikan penanda aras kepada komitmen sebenar Malaysia dalam memastikan bahawa Pelan Tindakan Nasional Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030 tidak hanya menjadi dokumen polisi, tetapi dihayati dan diterjemah dalam tindakan konkrit oleh kerajaan, agensi berkaitan, dan sektor perniagaan,” begitu tulisnya nota taklimat yang ditujukan kepada ahli-ahli parlimen pada 13 Ogos 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *