
Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikemukakan baru-baru ini, kerajaan mengatakan bahawa ia akan meneroka satu “mekanisme yang lebih baik” bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara. Mekanisme yang dimaksudkan itu dikatakan akan membolehkan pengasingan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan. Di bawah cadangan ini, golongan pekerja dikatakan akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan KWSP, di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan.
Cadangan ini telah mengundang reaksi pelbagai pihak. Adanya yang berkata bahawa wang simpanan KWSP merupakan hasil titik peluh pencarum sendiri dan bukan hak kerajaan untuk menentukan bagaimana ia perlu digunakan atau diagihkan; adanya yang mencadangkan bahawa pencen bulanan KWSP itu haruslah berasaskan pilihan bukannya mandatori.
Walau apapun alasan yang diberi, cadangan dalam RMK13 dan reaksi yang tidak bersetuju dengannya itu mendedah satu realiti, iaitu rakyat Malaysia tidak mempunyai wang pendapatan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan hari tua secara bermaruah!
Dianggarkan kira-kira 60% daripada tenaga kerja di Malaysia pada hari ini mencarum untuk simpanan hari tua melalui KWSP, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi persaraan.
Menurut laporan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan pada tahun 2024 oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), lebih 90% pencarum KWSP berumur 30 tahun ke bawah tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua mereka. Kementerian Kewangan pula pernah memaklumkan bahawa 6.3 juta daripada 8.5 juta orang ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023. Ini memang merupakan satu jumlah yang yang amat tidak mencukupi untuk persaraan.

Rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan tenaga mereka dalam pembangunan ekonomi negara kita harus diberi pengiktirafan dan penghargaan dalam bentuk perlindungan sosial pada usia tua mereka. Sistem pencen bulanan merupakan bentuk perlindungan sosial yang paling asas untuk membolehkan seseorang rakyat menjalani kehidupannya apabila dia tidak dapat lagi bekerja kerana usia lanjut.
Namun, cadangan dalam RMK13 untuk menjadikan sebahagian daripada simpanan KWSP sebagai pencen bulanan ini tidak menangani satu persoalan yang paling asas, iaitu kebanyakan rakyat masih tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi walaupun negara kita sudah lebih kaya berbanding dahulu.
Dari tahun 1970 hingga 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat sebanyak 28 kali ganda, dan KDNK per kapita pun meningkat sebanyak 9.3 kali ganda. Namun, gaji pekerja biasa hanya meningkat sebanyak 1.6 kali ganda dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa wujudnya masalah ketidaksaksamaan yang ketara dalam pengagihan kekayaan negara kita. Ke mana perginya kekayaan yang dihasilkan oleh golongan pekerja yang membanting tulang dalam tempoh setengah abad itu tetapi dibayar dengan gaji yang rendah sehingga tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi?
Memperuntukkan sebahagian daripada simpanan KWSP untuk pencen bulanan hanyalah pengagihan semula pendapatan peribadi pekerja sedia ada yang tidak mencukupi itu. Ia tidak menyelesaikan masalah ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara dan pendapatan pekerja yang masih rendah itu.
Tambahan pula, bagaimana pula dengan 40% rakyat Malaysia yang bukan bekerja dalam sektor formal dan tidak mempunyai simpanan KWSP? Bagaimana mereka menjalani kehidupan hari tua mereka tanpa pendapatan bulanan tetap?

Inilah sebabnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) memperjuangkan sistem pencen warga emas sejagat. PSM telah berkempen untuk menggesa kerajaan supaya melaksanakan skim Pencen Warga Emas RM500 sebulan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen pada masa ini. Skim yang dicadangkan oleh PSM ini tidak akan kacau wang simpanan pekerja dalam KWSP yang sudah tidak mencukupi itu, tetapi mengkehendakkan kerajaan untuk menggunakan 3% daripada belanjawan untuk membiayainya.
Skim pencen warga emas sejagat juga akan memastikan mereka yang langsung tidak mempunyai simpanan KWSP itu memperoleh perlindungan sosial yang sepatutnya untuk hari tua mereka.
Kita tidak mahu pengagihan semula gaji sendiri yang sedia ada dan sedikit itu, tetapi menuntut pengagihan semula kekayaan masyarakat supaya semua orang dapat menjalani kehidupan hari tua secara bermaruah. Rakyat Malaysia perlukan pencen warga emas sejagat yang dibiayai melalui sistem percukaian progresif dan tidak mengambil lagi daripada pendapatan rakyat yang sedikit itu.
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.