oleh Azrul Othman

Buli adalah satu kepincangan personaliti, bukan hanya kerana “nakal”; ia gabungan pelbagai faktor dari latar kehidupan seseorang. Apabila berbicara dan bercakap tentang personaliti ini, saya percaya bahawa sistem boleh mengurus gelagat personaliti ini. Tetapi dalam isu adik Zara ini, sistem dan pemain sistem itu sendiri yang dilihat gagal.

Ini yang memancing sentimen netizen. Kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat ia berkait langsung dengan keadilan sosial, pembelaan terhadap golongan tertindas, dan pembongkaran struktur kuasa yang menindas.

Saya benar-benar kecewa. Malah, sebagai seorang rakyat biasa yang percaya kepada keadilan sosial, saya rasa dikhianati oleh sistem yang sepatutnya melindungi anak-anak kita.

Isu buli bukanlah perkara baharu. Ia sudah lama berakar dalam sistem pendidikan kita, tetapi yang lebih memilukan, ia bukan sekadar tindakan pelajar terhadap pelajar. Ia melibatkan penindasan institusi, penyembunyian kebenaran, dan kegagalan moral mereka yang memegang amanah.

Kes Zara Qairina, yang koma dan akhirnya meninggal dunia selepas dipercayai dibuli di sekolah berasrama penuh, bukan sekadar sebuah insiden. Ia adalah tamparan ke wajah sistem yang terlalu mementingkan reputasi daripada nyawa dan maruah manusia. Juga ada kes buli sebelum ini yang disembunyikan sehingga 12 tahun lamanya.

Kekecewaan saya memuncak apabila melihat bagaimana ada pihak cuba melindungi pelaku atas alasan menjaga nama institusi. Apakah awalnya juga mangsa disuruh diam? Waris dipujuk supaya tidak memperbesarkan isu. Di mana tanggungjawab? Di mana nilai amanah yang kononnya menjadi teras kepimpinan pendidikan?

Sebagai individu yang percaya kepada perubahan sosial dan keadilan rakyat, saya melihat isu buli sebagai simptom kepada sistem yang rosak. Sistem yang menormalisasi ketakutan dan dominasi, membiarkan budaya toksik berakar, dan gagal melatih pelajar untuk empati dan keberanian moral.

Ini bukan masalah pelajar semata-mata. Ini masalah sistem. Dan sistem perlu ditegur, dibetulkan, atau ditukar jika ia terus melindungi penindas dan menenggelamkan mangsa.

Kita perlukan reformasi dalam mekanisme aduan dan perlindungan mangsa. Kita perlukan kurikulum yang bukan hanya mencetak pelajar cemerlang akademik, tetapi manusia yang berjiwa luhur dan berani bersuara. Kita perlukan sistem pendidikan yang berasaskan keadilan, bukannya hierarki kuasa.

Kalau kita gagal bertindak sekarang, kita sedang membiarkan generasi masa depan dibesarkan dalam trauma dan ketidakpercayaan terhadap sistem.

Saya menyeru kepada semua pihak—ibu bapa, pendidik, aktivis masyarakat yang benar-benar bersama rakyat— untuk bangkit bersama memantau dan membantu pihak sekolah bagi memastikan “Buli Sifar”.

==========

Azrul Othman ialah ahli PSM Rawang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *