oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengemukakan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang akan diadakan pada bulan Oktober 2025 di Malaysia. Tindakan sedemikian jelas merupakan pengkhianatan terhadap segala usaha bersolidariti bersama Palestin dalam menentang genosid di Gaza oleh rejim Zionis Israel yang disokong oleh AS.

Jemputan tersebut telah dibuat oleh Anwar Ibrahim sendiri kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Adalah menghinakan bagi kerajaan Malaysia menerima kunjungan seorang pegawai tinggi kerajaan Trump dan pemangku Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden AS yang baru mengenakan sekatan terhadap Francesca Albanese, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai wilayah-wilayah Palestin yang diduduki, berhubung dokumentasinya tentang jenayah genosid Israel terhadap warga Palestin di Gaza dan seruannya untuk tindakan menghentikan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.

Genosid yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel sejak bulan Oktober 2023 telah membunuh sekurang-kurangnya 57,000 orang di Gaza. Pada ketika ini, tentera Israel malah menembak dan membunuh warga Palestin yang cuba mencapai lokasi pengedaran makanan. Rejim Zionis Israel dapat meneruskan jenayahnya terhadap kemanusiaan tanpa sebarang hukuman kerana sokongan kuat daripada kerajaan AS selama ini. Kerajaan pimpinan Trump telah menunjukkan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada perluasan kuasa Israel dan menyertai perang Israel terhadap Iran baru-baru ini dengan mengebom Iran secara langsung.

Pemimpin tinggi kerajaan yang membolehkan dan menyokong genosid, seperti Donald Trump, harus dilayan sebagai persona non grata (orang yang tidak dialu-alukan), bukannya dijemput sebagai tetamu untuk pertunjukan diplomatik yang membazir wang. Ia semata-mata munafik untuk sebuah kerajaan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin sambil beramah-mesra dengan rakan subahat jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menarik balik jemputan kepada Donald Trump untuk mengunjungi Malaysia. Kami juga menyeru Kerajaan Malaysia, selaku pengerusi ASEAN tahun ini, untuk membatalkan Sidang Kemuncak ASEAN-AS sebagai protes simbolik terhadap penglibatan AS dalam genosid terhadap rakyat Palestin. Kita tidak harus berurusan seperti biasa dengan kerajaan AS sehingga dunia menamatkan genosid terhadap rakyat Palestin.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Versi Bahasa Inggeris di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *