
Kenyataan bersama
Kami, organisasi dan individu yang menandatangani kenyataan ini, menyatakan sokongan penuh kepada Center for Orang Asli Concerns (COAC) atas pendirian mereka membantah pelaksanaan skim kredit karbon oleh Enggang (Pekan) Sdn Bhd di Tanah dan Wilayah Adat komuniti Orang Asli di Pahang.
Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan syarikat tersebut yang telah memajukan projek ini tanpa menjalankan proses Keizinan berasaskan Makluman Bebas, Awal dan Telus (Free, Prior and Informed Consent – FPIC) secara telus, menyeluruh dan beretika, sebagaimana yang dituntut dalam prinsip hak asasi Orang Asli.
Maklumat yang kami terima menunjukkan bahawa:
- Proses rundingan tidak melibatkan penyertaan penuh seluruh komuniti, termasuk golongan wanita, belia dan pemimpin akar umbi.
- Isi kandungan perjanjian tidak dijelaskan dengan cara dan bahasa yang mudah difahami oleh komuniti. Lebih membimbangkan, terdapat kes di mana Batin kampung telah menandatangani bagi pihak seluruh kampung dan mengikat waris keturunan mereka, ini suatu tindakan yang sangat tidak masuk akal dan bercanggah dengan prinsip keadilan.
- Tiada sebarang jaminan terhadap perlindungan hak komuniti ke atas Tanah dan Wilayah Adat, serta hak asasi mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi PBB mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP), dan Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGPs).
Kami menegaskan bahawa sebarang inisiatif berkaitan tindakan perubahan iklim, termasuk skim kredit karbon, tidak boleh dijalankan dengan mengabaikan hak asas komuniti Orang Asli ke atas tanah, sumber dan maruah mereka. Pelaksanaan skim sedemikian tidak boleh dilakukan atas nama “pembangunan lestari” jika ia dibina di atas dasar eksploitasi, penafian hak dan rundingan yang tidak adil.
Sehubungan itu, kami menyeru:
- Enggang (Pekan) Sdn Bhd menghentikan serta-merta sebarang pelaksanaan projek sehingga proses FPIC dijalankan dengan benar, telus dan adil bersama seluruh komuniti yang terlibat.
- Kerajaan Negeri Pahang dan agensi berkaitan menyiasat semula proses kelulusan projek dan memastikan sebarang perjanjian tidak melanggar hak Orang Asli.
- Pelabur, agensi iklim dan pihak berkepentingan lain agar tidak menyokong projek karbon yang tidak menghormati hak masyarakat asal.
Kami berdiri teguh bersama COAC dan komuniti Orang Asli dalam mempertahankan keadilan, kedaulatan Tanah dan Wilayah Adat, serta masa depan Orang Asli yang bermaruah dan dihormati.
Kenyataan ini disokong dan ditandatangani bersama oleh organisasi-organisasi dan individu-individu berikut:
- Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA)
- Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
- Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP)
- Persatuan Suku Jakun Pahang (PSJP)
- Badan Perhubungan Parti Orang Asli Malaysia Negeri Pahang
- Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS)
- Persatuan Semoq Beri Pahang
- Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM)
- Jaringan Negeri Sembilan (JKOASM N9)
- Jaringan Kampung Orang Asli Hulu Perak
- Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK)
- Jaringan Hak Tanah Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS)
- Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA
- Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim & Orang Asli (BAKO), Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING)
- Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
- GERIMIS Art Project
- Borneo Komrad
- Federasi Pemuda Kebangsaan (FEDERASI)
- Klima Action Malaysia (KAMY)
- Liga Mahasiswa Malaysia
- Sahabat Alam Malaysia (SAM)
- Greenpeace Malaysia
- Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
- Amani Williams Hunt, Bah Tony (Peguam & Aktivis Orang Asli Perak)
- Bedul Chemai (Pemimpin & Aktivis Orang Asli Pahang)
- Zailiming a/p Ah Ping (Pemimpin & Aktivis Orang Asli Pahang)
- Dolah Tekoi (Aktivis Orang Huluk Johor)
- Seira Sacha (Peguam)
- Ismail Leh (Pengerusi Biro Orang Asli PKR Pahang)
- Dr. Nadirah Babji (Gender and Health Researcher)
- Che Syahmeen Binti Che Nordin (Academik)
- Siti Aishah Binti Mohd Ma’mon (Young professional & UM Alumni)