oleh Wan Zamzahidi Wan Zahid

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius apa yang disiarkan di media sosial dan pautan ke media utama berkaitan pemakluman daripada Menteri Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan membenarkan rakyat menggunakan akaun KWSP mereka untuk tujuan mencarum ke dalam polisi insurans kesihatan, agar pencarum boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta. Sejujurnya, ini satu cadangan yang salah arah dan jelas membimbangkan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditubuhkan untuk menjamin masa depan persaraan rakyat Malaysia. Ia bukan untuk menampung kos sistem kesihatan swasta yang mahal, dan bukan juga untuk mengimbangi kegagalan sistem kesihatan awam yang antara lain berpunca daripada pengurusan yang lemah atau pembiayaan yang tidak mencukupi. Jika cadangan ini diteruskan, ia hanya akan menguntungkan syarikat insurans dan hospital swasta, sedangkan rakyat akan terus terhimpit dengan beban kewangan.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan kesihatan percuma atau berkemampuan kepada rakyat. Itulah asas kontrak sosial antara rakyat dan negara. Apabila kerajaan mula menyarankan rakyat menggunakan simpanan sendiri (KWSP) untuk membiayai rawatan di hospital swasta, ini menunjukkan kerajaan gagal menyediakan kesihatan yang berkualiti dalam sektor awam. Lebih membimbangkan, ia juga menormalisasikan beban kos kesihatan ke atas individu dan bukannya menuntut penyelesaian sistemik.

Kita perlu sedar, simpanan KWSP bukan bantuan kerajaan. Ia adalah hasil titik peluh pekerja. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, gaji yang belum mencapai tahap yang dianggap berpatutan, dan kos sara hidup yang tinggi, ramai dalam kalangan rakyat tidak mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk bersara. Kajian KWSP sendiri menunjukkan bahawa majoriti pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mencapai umur persaraan.

Dengan membenarkan penggunaan simpanan KWSP, kali ini untuk membayar insurans atau rawatan hospital swasta, maka kerajaan secara halus menggalakkan rakyat mengorbankan masa depan persaraan mereka untuk menampung kelemahan sistem kesihatan negara.

Mari kita berfikir, siapa yang paling untung jika skim ini diluluskan?

Jawapannya jelas, iaitu syarikat insurans kesihatan dan rangkaian hospital swasta di mana syarikat insurans akan mendapat pelanggan baharu yang “dipaksa” untuk mengambil perlindungan oleh sebab duit KWSP “dibolehkan”, manakala hospital swasta pula akan menerima lebih banyak pesakit yang membayar melalui insurans, tanpa perlu bersaing harga atau memperbaiki perkhidmatan.

Sedangkan rakyat akan kehilangan sebahagian duit persaraan, terus terperangkap dalam sistem kesihatan dua darjat dan akhirnya tetap terpaksa kembali bergantung kepada hospital kerajaan (yang kekal bermasalah) apabila rawatan lebih kompleks diperlukan.

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat dalam mendapatkan akses kepada kesihatan yang berkualiti, perkara utama yang harus dilakukan ialah memperkasakan hospital awam. Kita semua tahu keadaan sebenar: masa menunggu yang terlalu lama, kekurangan doktor pakar, masalah kelengkapan seperti kurangnya katil, peralatan yang rosak berbulan-bulan tidak dibaiki, dan juga beban kerja yang berat kepada petugas kesihatan. Ini sepatutnya menjadi fokus sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding apa yang diperkatakan ini.

Kalau kita boleh selusuri permasalahan ini, kita mungkin boleh lihat ada kepincangan-kepincangan dari segi hala tuju, termasuk kekurangan peruntukan dan tumpuan dalam dasar kesihatan negara.

Jika kerajaan salurkan lebih banyak dana kepada KKM, menambah baik fasiliti dan pakar, menyediakan insentif kepada penjawat kesihatan, dan mengurangkan birokrasi, rakyat sebenarnya tidak perlu pun untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Daripada mencadangkan penggunaan KWSP untuk insurans kesihatan swasta, kerajaan sepatutnya berusaha untuk meningkatkan peruntukan bagi kesihatan awam dalam belanjawan tahunan.

Apa yang kita ingin lihat sebenarnya adalah usaha untuk membangunkan pusat rawatan pakar kerajaan di kawasan bandar dan luar bandar agar rakyat tidak perlu ke hospital swasta, bukan sebaliknya.

Kita tidak menolak sebarang usaha untuk memperluaskan akses kesihatan. Tetapi ia mesti dilakukan dengan keadilan, tidak menindas rakyat, dan tidak memberi ruang kepada kapitalis kesihatan memperkaya diri atas penderitaan orang ramai.

Justeru, PSM menyeru khalayak untuk bersuara. Jangan biarkan hak kita dirampas perlahan-lahan atas nama “pilihan rawatan”. Jangan benarkan duit KWSP kita, yang sepatutnya untuk masa depan kita, digunakan untuk menampung sistem kesihatan yang gagal diurus oleh kerajaan.

Kesihatan adalah hak, bukan keistimewaan, manakala KWSP adalah simpanan masa depan, bukan dana kecemasan untuk menutup kelemahan dasar. Apa yang seharusnya dilakukan adalah meningkatkan keupayaan hospital kerajaan, bukan mencari peluang untuk keuntungan hospital swasta.

==========

Wan Zamzahidi Wan Zahid ialah Pengerusi PSM Negeri Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *