oleh Arveent Kathirtchelvan

Sekali lagi, sebuah kerajaan kapitalis yang diterajui fikiran Barisan Nasional membawa cukai regresif berasaskan penggunaan yang bakal memeras rakyat bawahan. Kini, Kerajaan MADANI telah memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk merangkumi makanan diimport serta barangan dibuat.

Di Malaysia, sebanyak 60% makanan ruji diimport mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Impak peningkatan SST ini kepada rakyat biasa yang terpaksa membeli barangan import amat ketara. Jikalau kerajaan ingin mengambil langkah ini untuk mendorong pembelian barangan tempatan, adakah dasar mereka sendiri menyokong petani tempatan? Di bawah kerajaan yang samalah berlakunya pengusiran paksa terhadap petani sayur-sayuran di Kanthan, Perak.

Adakah rakyat biasa dipaksa membayar cukai yang lebih banyak sementara pilihan tempatan di pasaran dikurangkan? Anwar Ibrahim pula sempat berjenaka bahawa jika hendak makan buah avokado patutlah kita bayar lebih. Epal, oren dan anggur pun diimport. Wahai Menteri Kewangan, itupun makanan orang kayakah?

Sandiwara Kerajaan MADANI seolah-olah hanya menekan orang kaya jelas tidak ikhlas. Malah, saya berterima kasih kepada Fuziah Salleh yang mengaku bahawa peningkatan cukai kepada golongan T10 akan menyebabkan kerajaan ini menjadi kurang popular. Akhirnya, kami rakyat B90 tahu kepopularan dalam kalangan 10% teratas lebih penting daripada kesengsaraan kami.

Bagi Parti Sosialis Malaysia, kerajaan yang takut sangat hendak meningkatkan cukai terhadap golongan kaya tetapi senang sangat melakukan perkara yang sama terhadap makanan orang ramai adalah kerajaan zalim. Kami memperjuangkan cukai kekosongan hartanah, peningkatan cukai korporat dan cukai kekayaan. Kami memperjuangkan tanah untuk petani tempatan supaya keluaran hasil tani negara meningkat. Kami melawan secara habis-habisan sebarang cukai penggunaan yang regresif seperti SST kini dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada zaman Najib.

PSM ingin mengingatkan bahawa antara sebab tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018 adalah GST yang Pakatan Harapan (PH) juga lawan bersama kami. Rakyat tidak akan gentar tumbangkan kerajaan lain yang membawa kesengsaraan sama.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *