oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya kelewatan tindakan Kementerian Komunikasi Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menangani isu kumpulan pedofilia di Facebook yang tular baru-baru ini. Apa yang lebih membimbangkan ialah kumpulan ini dianggotai oleh lebih 12,000 orang pengguna media sosial, satu angka yang sangat besar. Ia membuktikan bahawa gejala ini bukanlah sesuatu yang kecil, tetapi satu krisis masyarakat yang sedang membarah.

Ini adalah isu yang amat serius dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa dan kerajaan. Malangnya, sehingga kini, tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada SKMM, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, mahupun Menteri KPWKM Dato Sri Nancy Shukri.

Adakah kementerian kita begitu tidak cekap dan lembab dalam bertindak apabila keselamatan kanak-kanak digadaikan? Laporan media (mStar) menyatakan kumpulan ini telah wujud sejak tahun 2014, jadi timbul persoalan mengapakah SKMM gagal mengesan dan menurunkannya lebih awal? Di manakah keberkesanan pemantauan terhadap kandungan digital yang memudaratkan?

Kerajaan sering pantas dan lantang bertindak apabila melibatkan isu politik tetapi mengapa dalam isu melindungi kanak-kanak – golongan yang paling memerlukan perlindungan dalam masyarakat – tiada kesungguhan dan komitmen yang sama?

PSM menuntut:

  1. Siasatan menyeluruh terhadap pentadbir dan ahli kumpulan ini oleh PDRM dan pendakwaan segera di bawah Akta 792 Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
  2. Penjelasan terbuka daripada SKMM dan Kementerian terlibat mengenai kegagalan mengesan aktiviti kumpulan ini lebih awal.
  3. Satu pasukan khas yang diketuai oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memberi panduan kepada kerajaan untuk mengendalikan isu sebegini.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *