oleh Amanda Shweeta Louis
Pengerusi dan Setiausaha Pemuda Sosialis, Amanda Shweeta Louis dan Cheong Huei Ting, telah bekerjasama dan memberi kenyataan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk satu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selama dua jam pada 4 Jun 2025.
Sebuah telefon bimbit yang mempunyai akses kepada akaun sosial media Pemuda Sosialis (X, Facebook, Instagram) juga telah dirampas oleh pihak polis untuk siasatan selanjutnya. Kami berterima kasih kepada peguam kami Kohila Yanasekaran dan Rajsurian Pillai serta individu-individu yang datang bersolidariti sepanjang pertemuan kami dengan pihak polis.
Sebanyak 38 soalan telah ditanya oleh Pegawai Penyiasat dalam isu ini di mana kami telah merujuk banyak soalan kepada pihak mahkamah.
Kami ingin menekankan semula bahawa tujuan kami menjalankan bengkel pendidikan berskala kecil ini adalah untuk penyampaian maklumat kesihatan seksual yang tepat, sejajar dengan Pelan Strategik Nasional Malaysia untuk Menamatkan AIDS (2021–2030) dan bukan “acara pesta gejala songsang” seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.
Pemuda Sosialis sentiasa sedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak kepentingan seperti Menteri Agama, SUHAKAM dan Majlis Peguam untuk membolehkan bengkel kesihatan seksual dijalankan pada masa depan.
==========
Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.