
KAMPUNG BARU COLDSTREAM, BIDOR, PERAK – 23 APRIL 2025: Petani-petani Perak menggesa pengundi-pengundi di kawasan DUN Ayer Kuning untuk mengundi calon yang mampu mengetengahkan dan memperjuangkan isu petani demi keterjaminan makanan. Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini di Kampung Baru Coldstream, Bidor, Perak.
“Pendekatan kerajaan kita dalam isu keterjaminan makanan tidak masuk akal dan kurang bertanggungjawab,” kata Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning. “Negara kita mempunyai 8.4 juta hektar tanah pertanian. Kita menggunakan 5.7 juta hektar untuk penanaman kelapa sawit dan 1 juta hektar lagi untuk getah. Hanya 0.55 juta hektar digunakan untuk menanam padi. Mengapa kita mengabaikan keperluan untuk mencapai 100% tahap sara diri dalam bekalan beras bagi rakyat kita?”
Pada masa ini, lebih daripada 50% bahan makanan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia diimport dari negara-negara lain dengan jumlah harga melebihi RM80 bilion setahun. Jika berlakunya gangguan dalam rantai bekalan makanan, harga bahan-bahan makanan ini akan meningkat dan rakyat kita akan dibebani dengan kos hidup yang lebih tinggi. Risiko gangguan dalam rantai bekalan makanan di peringkat antarabangsa adalah besar, kerana krisis iklim global dan kemungkinan perang perdagangan.
“Kerajaan Negeri Perak nampaknya tidak sedar akan sumbangan penting petani-petani kecil yang mengeluarkan sayur-sayuran di negeri ini,” ulas Bawani. “Walaupun mereka telah mengusahakan kebun-kebun mereka sejak sebelum Perang Dunia Kedua, dan walaupun mereka telah meminta berulang kali untuk mendapatkan pajakan atau geran tanah, mereka telah diabaikan oleh Kerajaan Negeri. Apabila bandar-bandar berdekatan dibangunkan, dan pihak pemaju mendapat tanah untuk membina rumah atau kilang, petani-petani ini diusir keluar kerana mereka tiada geran hak milik untuk tanah yang diusahakan mereka.”
“Jika saya dapat dipilih sebagai ADUN dalam PRK ini, saya akan mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas di peringkat negeri, untuk mengkaji dan mengatasi masalah-masalah pesawah padi, pekebun-pekebun sayur dan pengeluar-pengeluar bahan makanan yang lain,” tambah Bawani KS. “Jawatankuasa ini harus berjumpa dengan petani-petani dan mengenal pasti isu-isu yang boleh dikendalikan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Ia juga harus menganjurkan dialog dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membincangkan isu-isu yang memerlukan penglibatan Kerajaan Persekutuan.”







Bawani menggariskan isu-isu yang dihadapi oleh golongan pesawah, termasuk:
- Sistem perparitan dan bekalan air untuk penanaman padi yang tidak berfungsi dengan sempurna dan memerlukan penambahbaikan.
- Harga lantai padi yang ditetapkan oleh kerajaan tidak mencukupi kerana kos benih, baja, penyewaan mesin dan minyak diesel telah melambung naik, dan pendapatan bersih pesawah telah mengecut. Pesawah-pesawah meminta harga lantai yang lebih tinggi.
- Baja yang dibekalkan percuma oleh kerajaan kadang kala diberikan lewat, dan kadangkala tidak sesuai untuk sawah mereka. Tuntutan pesawah adalah untuk diberikan baucar supaya mereka boleh membeli baja yang sesuai pada masa mereka memerlukannya.
- Kemiskinan apabila mereka bersara, kerana pendapatan rendah mereka tidak membolehkan mereka untuk mengumpulkan dana yang mencukupi selepas bersara. Oleh kerana mereka telah bekerja kuat di bawah matahari panas, tetapi dengan pendapatan rendah untuk membekalkan suatu keperluan asas kepada rakyat Malaysia, mereka memohon dibayar pencen bulanan warga emas sebanyak RM500 apabila mereka mencecah umur 60 tahun.
“PSM setuju dengan dasar kerajaan yang mengawal harga beras kerana ia adalah sejenis makanan asas yang dibeli oleh semua keluarga di Malaysia,” kata Bawani. “Peningkatan harga beras di pasaran akan menyusahkan ramai orang dalam kalangan B40. Inilah sebabnya PSM menyokong kaedah pemberian subsidi kepada para pesawah. Apabila rakyat kita dapat membeli beras dengan harga yang murah, adalah tidak adil untuk mereka hidup dalam kemiskinan pula.”
Berkenaan dengan isu-isu yang dihadapi oleh pekebun-pekebun sayur, Bawani mencadangkan perkara-perkara berikut:
- Perlindungan kepada semua kebun-kebun sayur yang masih diusahakan oleh golongan petani kecil. Kekalkan mereka sebagai kawasan pertanian dengan memberikan pajakan 20 tahun kepada pekebun-pekebun terlibat, dengan syarat harus mengeluarkan barangan makanan bagi rakyat Perak (bukannya kelapa sawit ataupun durian). Apabila tempoh 20 tahun tamat, kawasan kebun itu harus dipajak semula kepada pekebun sama ataupun anaknya ataupun kepada pekebun lain untuk 20 tahun lagi.
- Jika pemaju memerlukan tanah untuk projek perumahan ataupun pembinaan kilang, tanah perladangan kelapa sawit harus digunakan, bukan kebun sayur.
- Laksanakan sistem kuota import bagi sayur-sayuran dari Thailand dan negara-negara jiran. Kerajaan harus menggunakan teknologi maklumat untuk memantau bekalan dan permintaan beberapa jenis sayur-sayuran, supaya dapat menggunakan maklumat ini untuk memutuskan jumlah sayur-sayuran yang boleh diimport ke Malaysia setiap minggu. Jaminan harga bagi sayur-sayuran akan menggalakkan pekebun-pekebun kita untuk meneruskan usaha pertanian mereka.
Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Azahar Hashim selaku Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Tan Thean Chee yang merupakan seorang petani.