(Mesej Hari Bumi 2025)

oleh Suresh Balasubramaniam 

Hari Bumi sepatutnya menjadi detik renungan rakyat untuk mempertahankan alam yang kian tenat. Namun, di Malaysia, Hari Bumi 2025 disambut dengan ingatan yang suram, diselubungi dengan kuasa elit politik, birokrasi, dan industri besar memeras dan mengkhianati Bumi yang akan diwariskan kepada generasi masa hadapan.

Sepanjang 10 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Perak, hanya satu suara yang berani menyentuh nadi sebenar krisis ekologi negara: suara calon PSM. Ketika calon-calon lain memilih untuk membisu atau mengalihkan perhatian, PSM tampil membongkar realiti penebangan hutan yang terus-menerus berselindung di sebalik nama “aktiviti ekonomi”.

Calon PAS yang kekeringan idea, memilih untuk menimbulkan isu penternakan babi sebagai isu alam sekitar; satu retorik usang yang kita tahu berpunca daripada sentimen sempit, bukan daripada keprihatinan iklim.

Sebaliknya, PSM Perak terus menyasarkan punca masalah dengan membangkitkan persoalan pemusatan kuasa yang melampau di tangan Menteri Besar Perak dan Pengarah Perhutanan Negeri. Kuasa mutlak inilah yang membenarkan pemberian permit pembalakan atas nama “ladang perhutanan”, walaupun bukti lapangan menunjukkan bahawa Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar bukan hutan terosot seperti yang didakwa.

Siapakah yang akan menanggung akibat pelupusan hutan-hutan sebegini? Sudah tentu rakyat pedalaman seperti di kawasan DUN Ayer Kuning, yang berdepan dengan pencemaran sungai akibat kelodak dan kesan perubahan iklim. Sama ada penduduk Ayer Kuning akan bersuara melalui amalan demokrasi pilihan raya perlu dilihat pada hari pengundian.

Banjir kilat yang melanda beberapa bulan kebelakangan ini dari utara ke selatan dan timur Malaysia, adalah loceng kecemasan bahawa krisis iklim sedang menghantui kita. Namun, Kerajaan MADANI masih terperangkap dalam logik menyalahkan “hujan luar biasa” dan merawat simptom, bukan menangani punca masalah.

Berbilion-bilion ringgit ditaburkan ke dalam projek tebatan banjir yang ironinya gagal menebat. Hasilnya, rakyat terus tenggelam dalam lumpur birokrasi dan janji kosong. Begitu terdesaknya penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, sehinggakan mereka terpaksa menaiki bas dan mengejar Menteri Besar Selangor sampai ke Tapah, Perak, semata-mata untuk menyerahkan memorandum dan merayu agar banjir yang menghantui kehidupan mereka diberikan perhatian.

Alangkah mudahnya jika masalah di Malaysia boleh diselesaikan dengan pelaburan asing! Inilah ilusi indah yang terikut-ikut oleh segelintir Menteri MADANI, termasuk Rafizi Ramli, yang dengan yakin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) CCUS di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa proses demokratik yang telus dan inklusif.  

PETRONAS pula membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) Kasawari dan Lang Lebah di Sarawak yang dikatakan sebagai “penyelesaian hijau”. Tetapi apakah benar projek ini penyelamat alam sekitar? Atau sekadar “tanggungjawab” yang telah ditunaikan untuk meneruskan industri bahan api fosil? Seribu satu persoalan masih belum dijawab.

  1. Adakah projek ini benar-benar selamat? Apa bukti jangka masa panjang?
  2. Apakah kecekapan sebenar teknologi CCUS di Kasawari dan Lang Lebah?
  3. Adakah projek ini berbaloi jika dibandingkan dengan kos yang digunakan?
  4. Adakah PETRONAS telus dengan data dari CCUS Kasawari dan Lang Lebah tentang keberhasilan projek ini?
  5. Adakah PETRONAS menilai alternatif sebenar yang lebih mampan dari CCUS?
  6. Dan paling penting, mengapakah perbelanjaan, pengurusan dan keuntungan PETRONAS tidak pernah dibahaskan secara terbuka di Parlimen, sedangkan hasil bumi ini milik semua rakyat Malaysia?

Selagi soalan-soalan ini tidak dijawab dengan jujur, CCUS tidak lebih daripada projek kosmetik iklim yang mengekalkan dominasi industri bahan api fosil, sambil memberikan persepsi kononnya kita sedang “beralih ke arah hijau”.

Satu lagi kerisauan ialah apabila kerajaan MADANI kini sedang mempertimbangkan RUUPIN (Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara) yang berkemungkinan sebagai satu lagi pendekatan acah hijau. Di bawah nama perubahan iklim, kerajaan sedang meneroka pelaksanaan perdagangan karbon, satu mekanisme yang pada hakikatnya memberikan lesen mencemarkan alam kepada syarikat besar, asalkan mereka mampu membeli ‘kredit hijau’.

Mekanisme ini tidak menyelesaikan masalah asas pencemaran dan pelepasan karbon. Sebaliknya, ia membuka ruang yang luas untuk manipulasi dan spekulasi pasaran oleh industri yang hanya mahu melindungi keuntungan, bukan planet. RUUPIN yang masih di peringkat perangkaan sudah menimbulkan kebimbangan apabila RUUPIN tidak dibincangkan secara terbuka dan telus. Ini menimbulkan kegusaran bahawa RUUPIN mungkin akan dipercepatkan (“fast-track”) sama seperti RUU CCUS sebelum ini.

Pengurusan hutan di Malaysia terus berada dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tidak telus. Setelah hampir 70 tahun merdeka, kita masih tidak tahu dengan tepat berapa luas sebenarnya hutan negara kita, walaupun semua Menteri Alam Sekitar adalah rakyat Malaysia. Angka keluasan hutan di atas kertas bercampur aduk dengan ladang monokultur seperti kelapa sawit dan getah. Kami percaya bahawa peratusan hutan yang boleh ditebang sebagai “hutan perladangan” kini melebihi peratusan hutan “kekal” yang benar-benar dilindungi.

Komuniti Orang Asli dan Orang Asal yang merupakan pewaris sah hutan ini secara semula jadi terus dipinggirkan atau dihalau atas nama pembangunan dan kemajuan. Hutan mereka digondol, sungai mereka dicemar, dan hak mereka dinafikan di atas dasar projek “ekonomi”.

Keadilan iklim tidak akan tercapai tanpa keadilan sosial. Bumi dan hutan adalah hak rakyat untuk ditentukan kelangsungannya secara demokratik, tidak dimiliki oleh mana-mana golongan elit. Hak untuk hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat adalah hak asasi manusia dan semua kehidupan lain di Bumi.  

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menuntut:

  1. Penangguhan dan semakan semula RUU CCUS melalui proses demokratik yang melibatkan masyarakat sivil.
  2. Moratorium terhadap projek CCUS Petronas di Sarawak dan di mana-mana tempat lain di Malaysia sehingga penilaian bebas dengan laporan penilaian tersebut dikemukakan untuk perbahasan di Parlimen Malaysia.
  3. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Menterinya lebih telus dalam membincangkan kandungan RUUPIN.  
  4. Revolusi dalam pengurusan hutan dengan penyertaan penuh masyarakat sivil, komuniti tempatan dan Orang Asli/Asal.  
  5. Penstrukturan semula subsidi kenderaan elektrik (EV) agar memfokus kepada pengangkutan awam, bukan kenderaan persendirian.
  6. Pelaksanaan segera sistem BRT (bus-rapid-transit) dan pengangkutan awam EV berskala kecil di seluruh negara.

==========

Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *