
oleh Prof. Darren Ong
Ramai rakyat Malaysia berasa tidak puas hati dengan kerajaan Barisan Nasional-Pakatan Harapan sekarang dan pada masa yang sama tidak tertarik dengan pembangkang Perikatan Nasional. Ketidakpuasan hati mereka sangatlah difahami. Kerajaan semasa lambat dalam melaksanakan reformasi yang dijanjikan, dan terutamanya lambat dalam menangani isu rasuah yang telah lama membelenggu Malaysia. Pembangkang Perikatan Nasional pula kelihatan pasif dan tidak berkesan, selain hanya memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan yang memecah-belahkan masyarakat.
Ramai rakyat Malaysia akhirnya memilih untuk tidak mengundi, atau merosakkan undi sebagai cara untuk meluahkan rasa kecewa terhadap kedua-dua pihak.
Saya ingin mencadangkan bahawa mengundi calon parti ketiga atau calon bebas adalah cara yang lebih berkesan untuk menunjukkan protes anda, dan mendorong pihak pemerintah di Malaysia untuk mengambil serius terhadap kebimbangan anda. Kebanyakan pilihan raya di Malaysia sebenarnya mempunyai lebih daripada dua calon di atas kertas undi.
Tindakan tidak mengundi menghantar isyarat yang samar dan mudah disalah tafsir. Malah, kadar keluar mengundi yang rendah sering ditafsirkan sebagai tanda sikap acuh tak acuh, seolah-olah pengundi tidak peduli tentang apa yang sedang berlaku di negara ini. Ahli politik yang korup sangat gembira apabila pengundi tidak ambil peduli, kerana ini bermakna rakyat tidak memberi perhatian terhadap perbuatan rasuah mereka. Maka, dengan tidak mengundi, kita mungkin secara tidak langsung memberi keyakinan kepada ahli politik yang rasuah.
Sebaliknya, jika calon parti ketiga atau calon bebas memperoleh undian yang lebih tinggi daripada jangkaan, walaupun tidak menang, ini merupakan isyarat yang jelas bahawa pengundi sedang mencari alternatif. Ini akan merisaukan ahli politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, kerana jika trend ini berterusan, mereka berisiko kehilangan kerusi dan kuasa mereka.
Tambahan pula, undian yang tinggi kepada parti ketiga dan calon bebas akan menggalakkan lebih ramai calon yang berkualiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Sebagai contohnya, kami di PSM sering dapat mengenal pasti calon yang sangat baik untuk sesebuah kawasan, tetapi calon-calon ini sering keberatan untuk bertanding kerana secara tradisinya, undi untuk parti ketiga dan calon bebas sangat rendah di kawasan tersebut. Jadi, dengan mengundi parti ketiga, anda turut menggalakkan calon yang lebih baik untuk bertanding di kawasan anda dalam pilihan raya seterusnya.
Kadang-kadang pengundi keberatan untuk mengundi calon parti ketiga dan calon bebas kerana mereka tidak begitu mengenali calon-calon ini. Tanpa kekayaan dan sumber seperti parti politik arus perdana, calon-calon ini sering sukar mendapat perhatian. Saya galakkan anda untuk memberi mereka peluang – buat sedikit kajian untuk mengenali siapa mereka dan mengapa mereka bertanding. Selalunya mereka bertanding atas sikap idealistik, dan mereka mungkin mempunyai idea-idea yang baik untuk memperbaiki negeri atau negara – berbeza dengan ahli politik parti besar yang selalunya bertanding kerana ingin menjadikan politik sebagai kerjaya mereka.
Kita adalah sebuah negara yang sangat memerlukan visi dan idea yang segar. Maka daripada tidak mengundi atau merosakkan undi anda, pertimbangkanlah untuk memberi peluang kepada suara-suara baharu, suara calon parti ketiga dan calon bebas untuk masuk ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kita.
==========
Prof. Darren Ong ialah Pengerusi PSM Cawangan Dengkil.