
TAPAH, PERAK – 15 APRIL 2025: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, melancarkan manifestonya pada hari ini di hadapan Terminal Bas Tapah. Bawani yang merupakan calon nombor tiga di atas kertas undi PRK Ayer Kuning dan cuba menawarkan kepada pengundi “Kuasa Ketiga” yang progresif, mengemukakan 3 tuntutan yang memfokus pada isu-isu rakyat tempatan.
Bawani KS mengetengahkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk tempatan di kawasan DUN Ayer Kuning, seperti kedudukan pasar awam yang tidak mudah diakses, gangguan elektrik yang kerap berlaku, kekurangan peluang pekerjaan untuk anak muda, rumah yang tidak mampu dibeli rakyat bawahan, kekerapan perkhidmatan bas awam yang tidak mencukupi dan sebagainya.
“Kawasan DUN Ayer Kuning masih ketinggalan dalam banyak aspek dari segi pembangunan dan pelbagai kemudahan di kawasan ini perlu dinaik taraf,” kata Bawani semasa sidang media pelancaran Manifesto PSM untuk PRK Ayer Kuning. “Kenapa isu seperti gangguan elektrik masih tidak boleh diselesaikan di kawasan DUN Ayer Kuning sehingga hari ini. Inilah skop manifesto PSM yang menumpu pada masalah rakyat setempat.”

3 perkara utama yang dibawa dalam Manifesto PSM untuk PRK Ayer Kuning ialah:
1. Pembangunan yang seimbang dan sekata
- Menaik taraf pekan di sekitar kawasan DUN Ayer Kuning;
- Mewujudkan peluang kerja dengan gaji yang setimpal;
- Membina rumah yang mampu dibeli rakyat (dengan harga di bawah RM100 ribu)
2. Sediakan kemudahan asas yang mencukupi
- Menaik taraf pasar awam di Pekan Air Kuning;
- Menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik;
- Menambahkan kekerapan bas awam;
- Menaik taraf liputan telekomunikasi;
- Membina fasiliti seperti pejabat pos, bank dan kemudahan sukan.
3. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cekap
- Menaik taraf sistem perparitan, saliran longkang dan lampu jalan utama;
- Membaik pulih papan tanda yang rosak dan uzur;
- Menyelenggara taman rekreasi dan ruang awam;
- Menukar lot perumahan “hak milik induk” kepada hak milik individu.
Bawani KS juga mencabar dua orang calon yang lain dalam PRK Ayer Kuning untuk mengemukakan manifesto mereka masing-masing, supaya para pengundi dapat membuat perbandingan dan memilih bakal wakil rakyat bagi mereka berdasarkan manifesto yang mampu membawa aspirasi rakyat.




2 thoughts on “Bawani kemukakan Manifesto PSM untuk Ayer Kuning”