(foto: Sinar Harian)

oleh Arveent Kathirtchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum akan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkenaan peruntukan sebanyak RM6,130,719 untuk 33 buah projek pembangunan dan infrastruktur di kawasan Tapah, yang turut merangkumi kawasan DUN Ayer Kuning. Pengumumannya ini dibuat menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning. Jikalau ini berlaku pada tahun 2018, mungkin PSM terkejut, tetapi selepas 7 tahun melihat berapa teruknya merosot agenda reformasi di bawah Pakatan Harapan (PH), kami memang sudah menjangkakannya.

Tradisi menggunakan kuasa kerajaan untuk memanipulasi pilihan raya berasal dari Barisan Nasional (BN). Calon MADANI pada PRK ini pun mewakili parti yang sama. Pada suatu zaman dahulu, apabila BN dilawan PH, pengumuman sebegini pasti dikecam oleh Nga Kor Ming. Anwar Ibrahim pula akan melaungkan retorik reformasi yang kita faham sekarang hanyalah sebagai umpan mendapat undi. PH yang wujud pada hari ini adalah sebuah gabungan parti yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Mereka terdesak sangat untuk mengekalkan kuasa politik sehingga sanggup menggunakan apa jua taktik untuk menang. Reformasi sudah mati.

PRK Ayer Kuning menjadi pentas yang menyaksikan sandiwara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) yang hampir sama. Hanya tona biru yang menjadi penentu, tetapi polisi, pendirian dan cara berfikir semuanya sama. Tidak dilupakan juga bahawa Barisan Nasional pernah bersama Perikatan Nasional pada satu ketika dahulu juga. Sejak kemerdekaan Malaysia, kita dikekang dengan kegagalan BN dan serpihan ideologi mereka yang kian memeras rakyat marhaen.

Biru mana yang hendak kita pilih? Biru Barisan Nasional yang membawa skandal 1MDB atau biru Perikatan Nasional yang membawa kesengsaraan rakyat pada zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Daripada dibelenggu dengan pilihan ini, lebih baik rakyat pilih Merah PSM. Kami menawarkan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani, sekali lagi untuk warga Air Kuning. Kami konsisten dengan perjuangan rakyat yang membuahkan lebih banyak hasil berbanding parti gergasi lain. Akta Gaji Minimum, Skim Insurans Pekerjaan dan 200 buah rumah untuk pekerja ladang di Selangor adalah beberapa kejayaan kami. Ada beratus-ratus lagi sepertinya.

Semua kejayaan ini kami menang bersama rakyat biasa melawan kerajaan-kerajaan yang diterajui parti lawan kami. Zaman Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan MADANI semua membawa penindasan yang sama kepada rakyat marhaen. Hanya perjuangan dan solidariti rakyat yang dibina PSM inilah membuahkan hasil sebesar ini. Untuk kami, amat jelas bahawa dalam PRK ini, satu-satunya jalan perubahan adalah bersama PSM.

Persoalan terbuka kepada rakyat pada masa ini adalah, adakah anda masih percaya pada gabungan yang menggunakan kuasa kerajaan untuk menang pilihan raya? Atau adakah anda bersedia untuk melangkah ke hadapan, membuang cakap kosong MADANI dan Perikatan Nasional, demi menuju reformasi yang nyata? Jom tukar!

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *