TAPAH, PERAK – 12 APRIL 2025: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan Bawani KS sebagai calonnya.

Suasana di pusat bandar Tapah pada hari ini penuh meriah dengan kehadiran penyokong-penyokong parti politik yang bertanding dalam PRK Ayer Kuning. Penyokong-penyokong PSM melaungkan pelbagai slogan rakyat dan berarak dengan penuh bersemangat ke pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Merdeka Tapah.

Turut hadir bersolidariti dan mengiringi Bawani KS ke pusat penamaan calon pada hari ini termasuklah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi PSM, Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Amira Aisya Abdul Aziz selaku pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang juga merupakan ADUN Puteri Wangsa di Johor, Koh Swe Yong selaku Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), P. Ramasamy yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ramai lagi.  

(foto: PSM)

Selepas tamat tempoh penerimaan kertas penamaan calon, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa terdapat tiga orang calon yang bertanding dalam PRK Ayer Kuning, iaitu:

  1. Dr Mohamad Yusri Bakir – Barisan Nasional (BN)
  2. Abd Muhaimin Malek – Perikatan Nasional (PN)
  3. Bawani KS – Parti Sosialis Malaysia (PSM)

“Bawani telah menerima latihan dalam memahami dan mengendalikan masalah rakyat sejak 20 tahun dahulu semasa dia masih seorang pelajar,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj semasa di luar pusat penamaan calon. “Bawani pernah mengambil bahagian dalam semua kempen PSM, dan selepas dia menjadi peguam pada tahun 2015, dia telah mengambil banyak kes-kes rakyat seperti pekerja kontrak dan petani. Bawani belajar daripada rakyat, maka dia lebih memahami secara mendalam masalah rakyat dan bagaimana mengatasinya. Oleh itu, jelasnya Bawani ialah calon terbaik untuk rakyat di sini!”

“Jika pengundi Ayer Kuning memilih Bawani sebagai ADUN mereka, ia bukan sahaja memanfaatkan penduduk-penduduk kawasan DUN Ayer Kuning, tetapi juga baik untuk seluruh rakyat Perak, kerana dia akan membawa isu-isu rakyat ke dalam DUN Perak,” ulas Dr. Jeyakumar. “Walaupun PSM mempunyai calon yang terbaik, kita akan menghadapi cabaran hebat. Ini kerana masalahnya rakyat di seluruh Malaysia telah diracuni oleh politik perkauman. Rakyat kita telah diperbodohkan oleh sistem politik yang sedia ada, dan dipecah-belahkan mengikut kaum dan agama. Kita harus mula untuk melawan sistem politik begini dari sekarang dengan membina kuasa ketiga. Penyertaan dalam PRK Ayer Kuning ini hanyalah satu langkah dalam perjalanan perjuangan yang berpanjangan ini.”

PRK Ayer Kuning diadakan selepas penyandang jawatan ADUN kawasan ini, Ishsam Shahruddin, meninggal dunia pada 22 Februari 2025. Terdapat sebanyak 31,897 orang pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRK Ayer Kuning kali ini.

(foto: PSM)

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak. Beliau pernah bertanding di kawasan DUN Ayer Kuning semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022 yang menyaksikan pertandingan lima penjuru. Bawani meraih 586 undi, bersamaan 2.5% undi yang sah, menduduki tangga keempat antara 5 orang calon yang bertanding pada masa itu. Kerusi DUN Ayer Kuning dimenangi oleh Ishsam Shahruddin daripada BN semasa PRU-15 dengan meraih 9,088 undi (38.73%), sementara pesaing terdekatnya daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 6,875 undi (29.30%) dan calon daripada PN memperoleh 6,812 (29.03%).

PH, yang pernah menjadi musuh ketat BN tetapi bersekutu dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15, akan terus berkempen untuk calon BN dalam PRK Ayer Kuning.

Berhadapan dengan calon daripada dua buah gabungan politik gergasi, BN-PH dan PN, cabaran untuk PSM dalam PRK Ayer Kuning memang hebat. Namun, PSM bertekad untuk menggunakan kesempatan penyertaan dalam PRK ini untuk mengetengahkan isu-isu rakyat yang penting, di samping menawarkan nafas baharu dan visi alternatif yang lebih baik untuk dijadikan pilihan rakyat demi membina sebuah masyarakat Malaysia yang lebih bebas, adil, saksama, inklusif dan sejahtera.

Bawani KS, calon PSM dalam PRK Ayer Kuning, turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi, termasuk parti-parti politik seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang berkomited untuk berkempen bersama PSM sepanjang PRK Ayer Kuning. Ini boleh dijadikan satu permulaan baharu untuk membina Kuasa Ketiga yang progresif di negara kita, demi memecahkan politik lama yang masih mempermainkan sentimen perkauman dan membiarkan amalan salah guna kuasa.

(Galeri gambar) Sekitar Hari Penamaan Calon untuk PRK Ayer Kuning:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *