oleh Arveent Kathirtchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikuti perkembangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan teliti. Terdapat pelbagai perspektif yang kami mengambil kira, dari segi keperluan rakyat sehingga kekhuatiran akan gentrifikasi. Pandangan kami adalah sedemikian.

Pembaharuan semua bandar memang penting

Tidak dinafikan bahawa banyak kawasan bandar yang kian usang dan buruk. Keadaan sebegini tidak memadai untuk kediaman mana-mana individu, malah mendatangkan pelbagai isu kepada kualiti hidup seseorang. Ia memerlukan rejuvenasi untuk meningkatkan keselamatan, kebersihan dan mutu estetik.

Persoalan penempatan pemilik asal dan penyewa

Persoalan utama dalam akta ini adalah adakah pemilik asal dapat duduk balik di rumah asalnya ataupun dipaksa keluar.

Suatu isu yang dibangkitkan adalah jumlah pemilik yang bersetuju untuk rumah mereka diambil alih bagi tujuan pembaharuan semula. Logik bahawa 100% pemilik perlu bersetuju sebelum apa-apa pembaharuan dilaksanakan mungkin terlalu mengekang dan menyusahkan sebarang aktiviti yang meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat secara keseluruhannya.

Akan tetapi, untuk PSM, mana-mana persetujuan, walau 100% pun, berkemungkinan menindas juga. Bayangkan seorang rakyat marhaen yang memiliki rumah di kawasan bandar. Rumah ini dalam keadaan buruk dan memang memerlukan pembaharuan semula. Pihak kerajaan pula memberi pilihan masih kekal dalam rumah yang buruk atau mengambil duit pampasan dan keluar.

Orang susah yang memang memerlukan duit akan ambil pampasan ini yang tidak mungkin setimpal dengan nilai hartanahnya, terutamanya nilai selepas pembaharuan semula. Walaupun para pemilik dapat membeli rumah di lain tempat, mereka masih kehilangan nilai hartanah serta terpaksa keluar dari bandar. Ini akan menyusahkan generasi akan datang.

Tambahan pula, ramai penduduk di kawasan ini bukannya memiliki rumah tersebut, tetapi hanya mampu menyewa. Adakah ia adil bagi kerajaan menghalau mereka ini? Bagaimana dengan keadaan penghunian mereka?

Adakah akta ini berpaksikan keuntungan?

Dalam pada ini, kerajaan harus menjelaskan, apakah sebab utama akta ini digubal? Adakah untuk memang menolong orang susah atau menghalau mereka supaya hartanah mereka dapat diubah suai dan dijual dengan keuntungan yang besar?

Daripada pandangan kami, peranan kerajaan dalam aspek pemilikan tidak jelas. Adakah hartanah yang ingin dibangunkan semula ini akan dimiliki oleh kerajaan setelah mendapat persetujuan pemilik asal ataupun adakah kerajaan menjadi orang tengah sahaja antara pemilik asal dengan pemaju yang akan memilikinya? Seksyen 9 (2)(a), 12(3) dan 15 seakan-akan memberi lebih banyak kuasa kepada pemaju bermediasi dan membawa cadangan pembangunan semula. Ini memungkinkan pemilik asal mendapat tawaran yang tidak adil.

Bagaimanakah rupanya kawasan yang telah dibangunkan semula? Adakah ia masih menempatkan orang susah yang asal ataupun adakah ia akan dijual kepada orang kaya? Kawasan-kawasan yang dikenal pasti rata-ratanya di lokasi strategik yang dapat mendatangkan keuntungan besar kepada mana-mana pemaju. PSM khuatir bahawa akta ini akan dipergunakan oleh pihak swasta untuk mengaut keuntungan dan pemilik asal pula dihalau keluar.

Syor-syor PSM

Jikalau kerajaan memang ikhlas hendak menolong, PSM mengesyorkan beberapa langkah:

  1. Memastikan sebarang program pembaharuan semula tidak berpaksi keuntungan.
  2. Menubuhkan sebuah lembaga kerajaan, seperti Housing Development Board (HDB) di Singapura, yang akan menjadi pemilik hartanah ini, bukan syarikat pemaju swasta.
  3. Memastikan tawaran kepada pemilik asal adalah lebih baik daripada rumah yang sedia ada dari segi saiz dan memberi keutamaan kepada pemilik asal untuk membeli balik rumahnya bukan dengan harga pasaran tetapi mengikut pendapatan pemilik tersebut atau secara percuma.
  4. Memastikan caj penyelenggaraan tidak membebankan penduduk di kawasan yang telah dibangunkan semula.
  5. Penyewa di kawasan pembaharuan semula perlu mendapat tawaran alternatif bagi penyewaan di kawasan lain.
  6. Penyelenggaraan Flat Kos Rendah mesti diambil alih oleh Majlis Tempatan sepertimana yang dijanji dalam Manifesto Pakatan Harapan.
  7. Jawatankuasa Mediasi Pembaharuan Semula Bandar perlulah bebas daripada kerajaan dengan komposisi neutral seperti seorang hakim bersara, seorang wakil Badan Peguam Malaysia, seorang ADUN kerajaan, seorang ADUN pembangkang dan wakil daripada 2 buah NGO yang berkenaan untuk memastikan kepentingan pemilik terjaga.
  8. Jika kawasan yang dibangunkan semula meningkatkan kepadatan sedia ada atau menambahkan unit perumahan, komposisi kelas pemilik baharu perlu dikekalkan untuk menjaga keharmonian kawasan tersebut

Kemiskinan rakyat adalah kegagalan kerajaan. Sistem menindas yang memaksa rakyat biasa mendapat gaji yang rendah walaupun kos sara hidup semakin tinggi, adalah dalang bagi keadaan mereka. Atas sebab ini, adalah tanggungjawab kerajaan untuk membaik pulih rumah-rumah usang secara ikhlas dan tidak mencari keuntungan dalam kesengsaraan rakyat.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap anggota Biro Kajian Dasar PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *