Golongan berhaluan kiri kembali berkuasa di Uruguay selepas Yamandú Orsi, calon daripada “Fron Meluas” (Frente Amplio atau dalam singkatannya “FA”), sebuah gabungan parti-parti politik berhaluan kiri, muncul sebagai pemenang dalam persaingan sengit Pilihan Raya Presiden Uruguay.

Pengundian pusingan kedua untuk Pilihan Raya Presiden Uruguay diadakan pada 24 November 2024, selepas tiada calon memperolehi undian lebih daripada 50% dalam pengundian pusingan pertama yang diadakan pada 27 Oktober 2024. Namun begitu, Orsi sudah meraih undian sebanyak 46.12%, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, Álvaro Delgado daripada Parti Nasional (PN) yang berhaluan kanan dan merupakan parti pemerintah semasa, yang hanya memperolehi 28.20% undian. Terdapat 11 orang bertanding dalam pengundian pusingan pertama.

Apabila memasuki pengundian pusingan kedua, jelasnya golongan berhaluan kanan cuba menumpukan undian mereka, maka mewujudkan persaingan yang sengit. Walau bagaimanapun, Orsi berjaya meraih 1,212,833 undi (bersamaaan 52% undian) berbanding 1,119,537 (48%) yang diperolehi Delgado.

Peratusan keluar mengundi ialah 89.61% dan 89.35% untuk pusingan pertama dan pusingan kedua masing-masing.

Dalam Pilihan Raya Presiden sebelum ini pada tahun 2019, golongan berhaluan kanan dapat mengumpulkan undian yang cukup besar untuk menyokong calon berhaluan kanan dalam pengundian pusingan kedua dan membolehkan Luis Lacalle Pou menjadi Presiden Uruguay. Namun, trend mengundi dalam kalangan pengundi beralih kepada gabungan parti berhaluan kiri dan memenangkan Orsi dalam Pilihan Raya Presiden kali ini, dan membolehkan golongan kiri kembali berkuasa. Antara faktor utamanya perubahan ini adalah wacana demokrasi sosial yang dibawa oleh Orsi berkenaan dengan menyelamatkan institusi awam dapat meyakinkan lebih banyak pengundi berbanding dasar neoliberal yang dibawa oleh Delgado yang dianggap sebagai lanjutan pentadbiran Lacalle Pou yang tidak popular.

Yamandú Orsi yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Uruguay yang baharu pada 1 Mac 2025, berkata kepada penyokong-penyokongnya dengan nada yang cuba berdamai dengan kuasa politik berhaluan kanan, “Banyak berterima kasih kepada semua yang telah menjayakan kempen pilihan raya yang dapat menjadi contoh ini… Kita mencapai kemenangan… Tetapi terdapat sebahagian lagi rakyat kita hari ini dengan perasaan yang lain. Orang-orang ini juga perlu membantu kita dalam membina sebuah negara yang lebih baik. Kita perlukan mereka juga.”

Frente Amplio (FA) ialah sebuah gabungan parti politik berhaluan kiri daripada spektrum agak luas yang ditubuhkan sejak tahun 1971. FA pernah diharamkan semasa kudeta tentera pada tahun 1973 dan kembali bergerak secara terbuka selepas demokrasi dipulihkan pada tahun 1984. Pada masa ini, FA disertai oleh parti-parti politik seperti Gerakan Penyertaan Popular (MPP), Perhimpunan Uruguay, Parti Sosialis Uruguay, Parti Komunis Uruguay (PCU), Perikatan Progresif, Vertiente Artiguista, Ruang Baharu dan Parti Kemenangan Rakyat (PVP). FA mula memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2004. Sebelum Orsi, sudah terdapat dua orang Presiden Uruguay daripada FA, iaitu Tabaré Vázquez (yang menjadi Presiden dua kali, pada tahun 2005-2010 dan 2015-2020) dan José Mujica (yang berkuasa pada 2010-2015).

FA memenangi 48 daripada 99 kerusi Dewan Perwakilan Uruguay, meningkat sebanyak 6 kerusi berbanding tahun 2019; sementara menguasai 16 daripada 30 kerusi Senat Uruguay, bertambah sebanyak 3 kerusi berbanding pilihan raya yang lalu.

Orsi ialah ahli politik daripada MPP, iaitu parti yang sama dengan José Mujica, bekas Presiden yang agak popular dan terkenal dengan kesederhanaan hidupnya. Orsi yang pernah menjadi guru sejarah mula terlibat dalam aktivisme politik sejak zaman remajanya, dengan pada awalnya menyertai Vertiente Artiguista, dan kemudiannya menganggotai MPP mulai tahun 1990. Orsi pernah dipilih sebagai intendente (ketua eksekutif) wilayah Canelones yang terletak di bahagian selatan Uruguay pada tahun 2015 dan dipilih semula pada tahun 2020.

Bukan mudah untuk parti politik berhaluan kiri memerintah sebuah negara Amerika Latin yang kecil seperti Uruguay di bawah bayangan imperialis Amerika Syarikat (AS) yang agresif dari segi dasarnya di rantau itu, lebih-lebih lagi akan berhadapan dengan pentadbiran yang lebih berhaluan kanan lagi di bawah Donald Trump mulai tahun 2025. Namun begitu, kemenangan golongan progresif untuk memegang kuasa pemerintahan di sebuah lagi negara Amerika Latin, sudah pastinya memberi rangsangan kepada kuasa-kuasa politik berhaluan kiri di rantau itu.

Kemenangan Orsi disambut baik oleh pemimpin-pemimpin berhaluan kiri di rantau Amerika Latin. Lula da Silva, Presiden Brazil menulis dalam hantaran media sosial, “Ini ialah kemenangan untuk seluruh Amerika Latin dan Caribbean. Brazil dan Uruguay akan terus bekerja bersama dalam Mercosur (Pasaran Bersama Selatan) dan forum-forum lain untuk pembangunan, keamanan dan integrasi serantau yang adil dan mampan.”

Claudia Sheinbaum, Presiden Mexico, berkata, “Frente Amplio kembali mentadbir dengan kehendak rakyat Uruguay yang sekali lagi menunjukkan panggilannya yang demokratik dan progresif.”

Xiomara Castro, Presiden Honduras, mengucapkan tahniah kepada Orsi, dengan mengatakan bahawa kemenangan Orsi “mengesahkan semula trend progresif dan demokratik di Amerika Latin”.

Gustavo Petro, Presiden Colombia, juga menyambut kemenangan Orsi dengan menegaskan bahawa perubahan politik secara demokratik adalah berkemungkinan. “Kemenangan ini menunjukkan kehendak rakyat Amerika Latin untuk perpaduan dan perubahan,” kata Petro.

Miguel Díaz-Canel, Presiden Kuba berkata, “Kami menyatakan keinginan kami untuk mengeratkan hubungan dua hala dan persaudaraan antara dua negara.”

Nicolás Maduro, Presiden Venezuela pula berkata, “Saya mengucapkan tanniah kepada rakyat Uruguay untuk pilihan raya yang diadakan pada 24 November lalu, di mana mereka telah memilih Yamandú Orsi, yang saya harapkan dan jangkakan kemenangan terbesar. Marilah kita bergerak ke arah membina hubungan yang saling hormat-menghormati dan positif, untuk kerjasama dan sokongan bersama antara negara-negara kita. Satu pelukan besar Bolivar kepada Frente Amplio dan saudara-saudara Uruguay kita!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *