oleh Arveent Kathirtchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat penganugerahan kontrak rangkaian 5G kedua Malaysia kepada U Mobile Sdn Bhd sebagai satu langkah yang mencurigakan. Terdapat beberapa persoalan terbuka yang mungkin menggambarkan langkah ini atas sebab hendak memanfaatkan kroni kerajaan MADANI. Persoalan-persoalan ini adalah seperti berikut:
1. Adakah justifikasi penganugerahan kontrak ini kepada U Mobile memadai? Berbanding syarikat telekomunikasi gergasi lain seperti Maxis serta CelcomDigi, U Mobile tidak begitu berpengalaman. Maxis dan CelcomDigi ada pengalaman membina rangkaian tersendiri di seluruh Malaysia manakala U Mobile beroperasi secara Mobile Virtual Network Operator (MVNO) yang bergantung kepada infrastruktur berkongsi.
Dalam pada ini, bagaimanakah sebuah syarikat sebegini dapat melaksanakan tanggungjawab membina rangkaian 5G ini? Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan satu kenyataan baru-baru ini dengan justifikasi mereka atas pilihan ini. Dikatakan kadar kepuasan pelanggan serta kadar aduan diterima untuk U Mobile menjadi antara faktor utama syarikat ini dipilih. Selain itu, prestasi U Mobile dalam pengimplementasian beberapa projek infrastruktur seperti Jendela Fasa 1 juga diambil kira.
Akan tetapi, menurut laporan “Mobile Network Experience Report” oleh OpenSignal, prestasi Celcom, DiGi dan Maxis seakan-akan lebih menarik berbanding U Mobile. Tren yang sama dilihat dalam laporan “Benchmarking Malaysia’s top 8 telcos on customer experience” oleh Twimbit, di mana ketiga-tiga syarikat yang sama mendapat penilaian lebih tinggi dalam kadar kepuasan pelanggan.
Kenyataan SKMM juga menyatakan bahawa U Mobile dibenarkan untuk bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih (Mobile Network Operator, MNO) lain dalam implementasi rangkaian ini. Adakah kenyataan ini menggambarkan bahawa U Mobile sebagai kontraktor utama yang akan mengeluarkan sub-kontrak kepada syarikat lain?
2. Daripada persoalan di atas, kami ingin bertanya, adakah penganugerahan kontrak ini atas sebab nilai tender daripada pihak U Mobile terendah? Jikalau model sub-kontrak digunakan seperti di atas, adakah ini bermaksud nilai sub-kontrak ini juga akan lebih rendah? Adakah kualiti pengeluaran akan terjejas akibat model ini dan apakah penglibatan U Mobile sebagai kontraktor utama yang mengaut keuntungan sahaja?
3. Lebih penting lagi, apakah model pemilikan dan kawalan bagi rangkaian 5G kedua ini? Adakah kuasa lebih besar diberi kepada pihak swasta? Bagaimana pula dengan Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat kenderaan tujuan khas dimiliki oleh Kementerian Digital yang juga ditubuhkan untuk mewujudkan rangkaian 5G? Adakah syarikat yang dimiliki Kerajaan Malaysia akan dianaktirikan untuk memperkasa syarikat swasta?
4. Juga dikhuatiri, baru-baru ini, dikhabarkan U Mobile akan mengumumkan tawaran awam permulaan (Initial Public Offering, IPO) dalam masa terdekat. Penganugerahan kontrak ini berpotensi meningkatkan harga saham U Mobile dalam pada adanya pelbagai persoalan yang masih terbuka.
Semua persoalan di atas timbul akibat ketidaktelusan urusan penganugerahan ini. Dalam pandangan PSM, ini adalah suatu perkara yang tidak menyenangkan dan semua kerja yang kini diluluskan berkaitan tender ini perlu diberhentikan sehingga langkah-langkah di bawah dilaksanakan:
- Maklumat penuh tender serta kontrak perlu didedahkan secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
- Justifikasi pemilihan U Mobile perlu diberi oleh SKMM secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia secara terperinci.
- Sebelum pelaksanaan kontrak ini, butiran-butiran di atas perlu didebat di Parlimen.
- Jikalau model pemilikan dan kawalan atas rangkaian 5G ini memberi kuasa kepada sektor swasta, model ini perlu ditukar kepada sesuatu yang memastikan kerajaan ada kuasa penuh dengan kebebasan maklumat kepada Parlimen.
Pada zaman ini, telekomunikasi bukan sekadar kemewahan, tetapi keperluan setiap individu. Atas sebab ini, status akses kepada teknologi telekomunikasi harus ditingkatkan sebagai hak asasi setiap warga Malaysia. Kerajaan MADANI harus mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan hak ini secara perkhidmatan awam, bukannya menghalalkan model yang hanya mengkayakan sang kapitalis.
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).