(foto: Ajeng Dinar Ulfiana / Reuters)

Gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh anak muda tercetus di Indonesia apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), iaitu dewan rakyat Parlimen Indonesia, cuba menggubal rang undang-undang pilihan raya yang dianggap melanggar perlembagaan dan mengancam demokrasi di negara itu.

Pada 20 Ogos 2024, Mahkamah Perlembagaan Republik Indonesia membuat dua keputusan penting mengenai undang-undang pilihan raya tempatan (dikenali sebagai pemilihan kepala daerah atau singkatannya “Pilkada”), berkaitan dengan kes tuntutan kehakiman yang dikemukakan oleh Partai Buruh dan Partai Gelombang Rakyat Indonesia (Gelora). Pilkada akan diadakan pada bulan November 2024 untuk memilih gabenor, bupati dan wali kota (iaitu datuk bandar) di 37 buah provinsi, 415 buah kabupaten dan 93 buah bandar.

Keputusan berkenaan kes 60/PUU-XXII/2024 telah menyemak semula ambang batas yang diperlukan untuk pencalonan dalam pilihan raya ketua daerah (Pilkada) di mana sesebuah parti politik atau gabungan parti politik boleh mendaftarkan calon walaupun tidak mempunyai apa-apa kerusi dalam Dewan Perwakilan Rakyat Daerah masing-masing. Keputusan berkenaan kes 70/PUU-XXII/2024 pula membatalkan tafsiran Mahkamah Agung mengenai had umur calon ketua daerah pada bulan Mei 2024 yang dianggap menguntungkan Kaesang Pangarep, anak bongsu Joko “Jokowi” Widodo (Presiden Indonesia) yang hendak bertanding untuk jawatan Gabenor Jakarta tetapi tidak mencapai had umur yang ditetapkan sebelum itu.

(foto: Bay Ismoyo / AFP)

Sehari selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan, iaitu pada 21 Ogos 2024, Badan Legislasi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memanggil sidang pleno untuk meneliti keputusan Mahkamah Perlembangaan mengenai ambang batas penamaan dan had umur calon pilihan raya ketua daerah, dengan niat untuk membatalkan kedua-dua keputusan mahkamah yang tidak berpihak pada kepentingan gabungan parti-parti pemerintah. DPR bercadang untuk meratifikasi Rang Undang-undang (RUU) Pilkada yang bertentangan dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan.

Tindakan DPR untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perlembagaan telah menyemarakkan api kemarahan rakyat dan mencetuskan aksi protes jalanan besar-besaran, bermula pada 22 Ogos 2024. Protes berlaku di banyak tempat di seluruh negara Indonesia, termasuk Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Padang, Surakarta, Surabaya, Semarang, Malang, Makassar, Tasikmalaya, Jambi, Bandar Lampung, Ambon, Bengkulu, Cirebon, Kendari, Palembang, dan Samarinda. Ramai anak muda, termasuk pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah, telah mengambil bahagian dalam aksi protes. Pintu pagar bangunan parlimen di Jakarta dirobohkan oleh para demonstran.

(foto: Hariadhi / Wikipedia)

Kemarahan rakyat Indonesia membara di jalanan kerana mereka tidak mahu ruang demokrasi di negara itu dihakis dengan lebih lanjut lagi oleh golongan elit pemerintah. Tindakan DPR untuk meratifikasi Rang Undang-undang Pilkada yang bertentangan keputusan Mahkamah Perlembagaan dianggap sebagai cubaan untuk menampung rancangan gabungan parti politik yang diterajui oleh Prabowo Subianto, Presiden Terpilih Indonesia, yang hendak memenangi pilihan raya tempatan di Jakarta tanpa persaingan. Tambahan pula, ramai rakyat Indonesia, khususnya golongan anak muda, tidak berpuas hati dengan keadaan ruang demokrasi di negara itu yang semakin terhakis di bawah pemerintahan Presiden Jokowi sepanjang satu dekad yang lalu dan usaha pembinaan dinasti politiknya yang membiak nepotisme.

Gelombang protes besar-besaran terbaru di Indonesia bukan sekadar manisfestasi bantahan terhadap rancangan ratifikasi Rang Undang-undang Pilkada yang bertentangan dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan, tetapi juga merupakan undi tidak percaya melalui aksi protes jalanan terhadap kerajaan baharu pimpinan Prabowo yang bakal mengambil alih kuasa pada 20 Oktober 2024. Prabowo yang berganding bahu dengan calon Naib Presidennya, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung kepada Jokowi, menang dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia pada 14 Februari 2024. Prabowo, seorang bekas jeneral tentera yang mempunyai sejarah menzalimi gerakan demokrasi semasa zaman pemerintahan Suharto, telah menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan Jokowi dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, walaupun pernah bersaing hebat dengan Jokowi dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2014 dan 2019. Kerajaan pimpinan Prabowo dijangka akan memastikan dasar pemerintahan dan dinasti politik Jokowi dapat diteruskan.

(foto: Willy Kurniawan / Reuters)

Aksi protes besar-besaran terbaru di Indonesia berjaya memaksa DPR untuk membatalkan rancangannya yang hendak meratifikasi Rang Undang-undang Pilkada yang bertentangan dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan. Namun, ini tidak bermakna perjuangan rakyat Indonesia untuk mempertahankan demokrasi dan keadilan sosial berhenti setakat itu sahaja. Pihak berkuasa telah bertindak ganas terhadap demonstran jalanan dengan menggunakan pukulan belantan, gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan aksi protes. Ramai orang diburu dan ditangkap oleh pihak polis. Ruang demokrasi di Indonesia masih diancam oleh golongan elit politik yang sanggup menggunakan apa jua cara untuk melindungi kepentingan kelas dan mengekalkan kekuasaan mereka.

Walau bagaimanapun, golongan anak muda Indonesia yang turun berprotes di jalanan telah menunjukkan semangat penentangan yang radikal terhadap golongan elit pemerintah. Semangat penentangan ini boleh menjadi pemangkin kepada gerakan perjuangan rakyat yang lebih hebat lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *