oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif (CEO) atau pengarah urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP). Rungutan berkaitan pengarah urusan atau CEO sebuah badan berkanun mendapat gaji yang berketerlaluan bukanlah sesuatu yang baharu. 

Pada tahun 2018, arahan daripada Perdana Menteri dikeluarkan untuk menyemak semula gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas mendapati bahawa gaji pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mencecah RM85,000 sebulan. Baru-baru ini pula, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur sebuah agensi kerajaan ketika pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP yang memberi gaji yang berketerlaluan kepada pengerusi sehingga RM79,000 sebulan. 

Situasi sebegini hanya akan memburukkan lagi jurang pendapatan dan ketidaksamaan antara rakyat di negara kita. Bayangkan situasi di mana seorang pengerusi badan berkanun kerajaan dibayar lebih 50 kali ganda gaji bulanan seorang pekerja bergaji minimum RM1,500 dalam organisasi itu ataupun seorang eksekutif dibayar sebanyak RM3,500 sebagai gaji hariannya. 

Penetapan gaji siling untuk sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang baharu. Dikhabarkan negara China akan mempunyai penetapan siling untuk gaji tahunan dalam semua syarikat kewangan yang dimiliki oleh kerajaan. Kita juga dapat tengok terdapat beberapa industri sukan yang mempunyai penetapan gaji siling. 

PSM menyarankan supaya:

  1. Memperkenalkan gaji siling dan struktur gaji pengurusan tertinggi yang terikat dengan gaji minimum organisasi tersebut dalam semua Badan Berkanun, Agensi Kerajaan, Suruhanjaya dan GLC. Gaji pekerja terendah organisasi tersebut haruslah ditingkatkan terlebih dahulu sebelum gaji CEO ditingkatkan. Sebagai contoh, gaji tertinggi dalam sesebuah organisasi sebegini haruslah tidak lebih daripada 10 kali ganda gaji terendah. Dalam pada ini, kemudahan selain gaji seperti bonus, penganugerahan saham dan sebagainya harus diambil kira. 
  2. Gaji dan elaun ahli lembaga pengarah dan pengerusi semua Badan Berkanun Persekutuan dan Negeri, Suruhanjaya dan GLC haruslah telus dan mudah diakses untuk dinilai oleh rakyat dan golongan pekerja. 

Badan berkanun kerajaan diwujudkan supaya kerajaan bertindak lebih efektif dan pantas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan mantapkan pentadbiran. Ia bukanlah suatu tempat untuk golongan profesional atau ahli politik untuk menambahkan kekayaan diri mereka. Adalah lebih baik untuk seorang pekerja bergaji minimum ataupun bergaji median untuk menerima lebihan gaji berbanding seorang daripada lembaga pengarah atau CEO. Pekerja biasa pasti akan membelanjakan gaji berlebihan itu untuk keperluan asas dan duit itu akan berada dalam kitaran ekonomi tempatan berbanding dengan pengarah yang akan mengumpulnya untuk dirinya sahaja.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *